Masjid An-Nur, yang dikenali ramai sebagai ‘Masjid Biru Singapura’ dengan bangunan warna birunya yang terserlah, merupakan mercu tanda yang tidak asing lagi di Marsiling.
Ia berperanan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat masyarakat yang aktif bagi penduduk Islam tempatan dan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Sempena ulang tahun ke-45 dan selepas sedekad tidak menerbitkan sebarang naskhah, Masjid An-Nur tampil dengan buku bacaan santai atau coffee table book bertajuk Cahaya Menara Biru – satu penghargaan terhadap perjalanan spiritual, sosial dan masyarakat yang telah dilaluinya.
Naskhah ini bukan sekadar kompilasi sejarah, malah menjadi simbol kasih sayang, penglibatan masyarakat, dan dedikasi berterusan institusi ini dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam di Singapura.
Ketua Jawatankuasa Penerbitan, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, menjelaskan bahawa buku ini menghimpunkan ‘suara’ dan karya asatizah serta aktivis masyarakat yang telah menyumbang sejak awal penubuhan masjid itu.
“Berbeza daripada penerbitan sebelum ini, buku kali ini membawa pendekatan yang lebih menyeluruh dan reflektif,” ujar beliau, yang juga Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama di Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah.
“Kami gabungkan unsur sejarah, pencapaian serta renungan spiritual yang dihubungkan dengan peranan masjid sejak zaman Rasulullah saw.”
Antara sorotan utama buku ini termasuk dua fasa penting naik taraf infrastruktur masjid – peluasannya pada 1992 dan penaiktarafan menyeluruh bernilai $7.2 juta antara 2011 hingga 2013.
Hasilnya, masjid ini kini mampu menampung sehingga 4,500 anggota jemaah serta menyediakan kemudahan mesra warga emas dan orang kurang upaya, termasuk lif dan laluan tanpa tangga.
Namun bagi Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid, Encik Juraiman Rahim, pencapaian sebenar Masjid An-Nur tidak terletak pada angka atau bangunan semata-mata.
“Mereka (komuniti) tidak dinilai dari sudut ekonomi, keadaan fizikal mahupun tahap pendidikan. Penting untuk wujudkan suasana di mana semua berasa diterima, berani memberikan pandangan, dan saling mempercayai,” katanya.
Beliau percaya kekuatan sebenar Masjid An-Nur ialah keupayaannya membentuk satu ekosistem masyarakat yang harmoni, mesra dan saling menyokong – terutamanya dalam membina identiti belia Islam masa kini.
Usaha tersebut diterjemahkan melalui pelbagai program pendidikan dan pembangunan diri seperti kursus hujung minggu aLIVE, pertandingan Al-Quran, bengkel ilmu, serta aktiviti riadah seperti futsal dan treking – semuanya dengan matlamat melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan bersedia memimpin.
Ketua Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat, Ustaz Muhammad Umaruddin Zainuddin, pula menekankan bahawa kejayaan Masjid An-Nur dalam kekal relevan terletak pada pendekatan dakwahnya yang kontekstual dan inklusif.
“Kami sentiasa memantau isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat Islam, dan menganjurkan program yang menjawab persoalan masyarakat moden secara tuntas dan berhemah,” jelasnya.
Selain menjalin kerjasama dengan institusi Islam seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Masjid An-Nur turut aktif bersama Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (IRCC) dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi menganjurkan program silang budaya dan kesejahteraan warga emas.
Malah, ia juga membuka pintu kepada bukan Muslim untuk turut serta dalam lawatan rumah ibadah dan program kebajikan masyarakat.
Golongan masyarakat terpinggir seperti keluarga berpendapatan rendah dan warga emas kesepian turut disantuni melalui pelbagai bentuk sokongan – bantuan kewangan, bimbingan rohani dan sokongan emosi.
“Sebagai institusi yang berteraskan nilai rahmah dan keterangkuman, masjid ini berperanan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi sebagai pusat sosial yang menyatukan masyarakat,” kata Ustaz Umaruddin.
Cahaya Menara Biru menjadi simbol segala usaha ini – sebuah dokumen visual dan naratif yang memaparkan bagaimana Masjid An-Nur berkembang mengikut peredaran zaman, namun tetap berpaksikan nilai-nilai asas: kasih sayang, ilmu dan perpaduan.
Masjid ini kini disokong oleh 64 orang kakitangan yang berkhidmat merentasi empat jabatan utama: Jabatan Perkhidmatan Korporat, Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah, Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat, serta Jabatan Tadika.
Tadika Masjid An-Nur kini mampu menampung sehingga 230 pelajar, manakala kelas madrasah mingguan (aLIVE) dihadiri lebih 682 pelajar, selain 247 pelajar dari kelas Al-Quran (IQTA).
Bagi generasi yang akan datang, buku ini bukan sekadar catatan sejarah – ia adalah undangan untuk meneruskan legasi, menghayati perjuangan terdahulu dan menyemarakkan semangat cintakan masjid.
“Semoga buku ini menjadi sumber inspirasi yang menyemarakkan lagi semangat cintakan masjid dalam kalangan generasi kini dan akan datang,” kata Ustaz Zuhaili.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg