Anggota Parlimen (AP), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menggalas peranan baru sebagai Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) mulai 1 Julai, menggantikan Encik Mohd Fahmi Aliman, yang menyandang jawatan itu sejak 2023.
Dengan pelantikan baru itu, Encik Zhulkarnain menggariskan keutamaannya termasuk mengukuhkan perancangan strategik dan memperdalam kerjasama dengan rakan kongsi masyarakat dan institusi untuk menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih relevan dan mudah diakses dalam kehidupan harian.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Encik Zhulkarnain berkata:
“Ia merupakan satu penghormatan besar dan saya berasa rendah diri untuk mengambil alih daripada pemimpin terdahulu.
“Alhamdulillah, visi dan pelan kerja untuk tahun ini (2025) telah pun ditetapkan dan kami kini sedang melaksanakannya.”
Sebagai tokoh yang pernah menerajui Bulan Bahasa serta terlibat rapat dalam inisiatif seperti Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) dan penerbitan Sekata, Encik Zhulkarnain tidak asing dalam landskap bahasa tempatan.
Mengimbas kembali asas kukuh yang telah dibina barisan pemimpin terdahulu seperti Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad – yang telah melakarkan visi dan memperkenal inisiatif seperti Mesra untuk mendekatkan masyarakat dengan bahasa Melayu – beliau beriltizam untuk meneruskan legasi tersebut.
Antara matlamat beliau termasuk merangka semula peranan bahasa Melayu dalam masyarakat masa kini.
“Tahun ini, sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60), kita ingin memartabatkan bahasa Melayu bukan sekadar sebagai bahasa kebangsaan, bahkan sebagai bahasa kebanggaan,” katanya, sambil menyeru sokongan padu daripada semua ahli MBMS, rakan kongsi serta individu yang mencintai bahasa ini.
Encik Zhulkarnain turut menekankan kepentingan pendekatan yang lebih terangkum dan realistik dalam usaha memperkasa bahasa, khususnya dalam kalangan belia dan masyarakat bukan Melayu.
“MBMS bukan badan untuk mengukur siapa lebih fasih atau betul, tetapi kita mahu melestarikan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bentuk sama ada melalui seni, budaya atau perbualan seharian,” ujarnya.
Mengakui pengurangan penggunaan bahasa Melayu selepas tahun persekolahan sebagai satu kebimbangan, Encik Zhulkarnain berkata ramai belia melihat bahasa itu sebagai satu lagi mata pelajaran akademik dan bukannya medium ekspresif yang hidup.
Antara keutamaan jangka pendek beliau yang lain termasuk mengukuhkan perancangan strategik, memperdalam perkongsian dengan institusi, dan lebih memperkasa pendidik melalui wadah seperti Agab.
“Saya harap MBMS boleh menjadi tempat rujukan bagi mereka yang meminati kesusasteraan dan budaya Melayu, dan pemangkin kepada gerakan asas yang mengekalkan bahasa itu (agar) relevan dan bersemangat merentas generasi.
“Saya harap kita dapat teruskan menyantuni masyarakat majmuk kita, dengan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, bahkan seluruh rakyat Singapura,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg