“Jah, kita nak assign you (tugaskan anda) dengan socials team (pasukan media sosial) untuk replikasikan apa yang orang buat semasa haji dari segi fizikal.”

Pesanan yang agak tak dijangka daripada penyelia saya itu tiba-tiba muncul dalam WhatsApp.

Alamak, macam mana ya?

Boleh ke?

Perasaan risau terdetik juga dalam hati sebab sudah agak lama saya tidak bersenam... maklum, baru juga balik cuti bersalin.

Tetapi saya tetap bersemangat mahu lakukan cabaran tersebut.

Lagi pun, takkanlah susah sangat, berjalan saja!

Betapa salahnya saya...

Niat saya dan rakan-rakan setugas melakukan cabaran tersebut adalah bagi cuba rasakan sendiri pengalaman perjalanan jemaah haji.

Kami merancang jarak perjalanan yang serupa dengan jarak yang harus ditempuhi jemaah dari satu lokasi ke satu lokasi untuk menyempurnakan ibadah haji mereka.

Kami memulakan perjalanan dari Koridor Kereta Api menuju ke Hutan Simpanan Bukit Timah.

Ini menyerupai perjalanan jemaah dari Mina ke Jamarat.

Anggaran jarak yang perlu dijejaki ialah antara tiga dengan lima kilometer.

Baru sahaja mula perjalanan, saya dan rakan-rakan setugas lain sudah berpeluh.

Tak lama kemudian, mula gerimis, menambah pada rasa bahang yang kami alami.

Penulis (kanan) dan wartawan pelatih, Aishah Effandy, bergambar di Hutan Simpanan Bukit Timah setelah berjalan ke sana dari Koridor Kereta Api.
Penulis (kanan) dan wartawan pelatih, Aishah Effandy, bergambar di Hutan Simpanan Bukit Timah setelah berjalan ke sana dari Koridor Kereta Api. - Foto BH oleh KHADIJAH ALSAGOFF
Wartawan pelatih, Aishah Effandy (kiri), dan Nahwah Aidilreza, melakukan pendakian setinggi 70 meter di Hutan Simpanan Bukit Timah menyerupai pendakian Jabal Rahmah di Arafah.
Wartawan pelatih, Aishah Effandy (kiri), dan Nahwah Aidilreza, melakukan pendakian setinggi 70 meter di Hutan Simpanan Bukit Timah menyerupai pendakian Jabal Rahmah di Arafah. - Foto BH oleh KHADIJAH ALSAGOFF

Setibanya di Hutan Simpanan Bukit Timah pula, kami mendaki setinggi 70 meter menyerupai pendakian Jabal Rahmah di Arafah.

Meskipun bukan syarat wajib haji, mendaki Jabal Rahmah merupakan sesuatu yang boleh dilakukan jemaah jika mereka inginkan.

Seterusnya, kami ke Taman East Coast pula untuk cuba lakukan perjalanan jauh seperti jarak tawaf dan sai.

Wartawan pelatih, Aishah Effandy, menunjukkan nombor 2 setelah berulang-alik dua kali di Taman East Coast serupa jarak melakukan tawaf
Wartawan pelatih, Aishah Effandy, menunjukkan nombor 2 setelah berulang-alik dua kali di Taman East Coast serupa jarak melakukan tawaf - Foto BH oleh KHADIJAH ALSAGOFF

Kami berjalan dari Marine Cove ke gym pod atau pod gim berdekatan dengan jarak sekitar 250 meter sehala sebanyak tujuh kali, untuk menyerupai jarak tawaf.

Satu tawaf (tujuh pusingan) adalah antara sekitar 0.5 kilometer dengan lebih empat kilometer, bergantung pada jumlah orang yang ada di sekeliling Kaabah dan tingkat mana yang digunakan.

Jemaah haji melakukan sai iaitu perjalanan antara bukit Safa dengan Marwah.

Perjalanan kami yang menyerupai jarak sai pula bermula dari Marine Cove ke buaian merah di Raintree Cove, iaitu jarak sekitar 450 meter sehala, sebanyak tujuh kali.

Ini bererti kami berjalan pantas sejauh sekitar 3.15 kilometer.

Tercungap-cungap kami dibuatnya sepanjang keseluruhan perjalanan dan pendakian.

Terfikir juga sedangkan kami orang muda yang sihat dan tidak mempunyai sebarang kekurangan fizikal atau penyakit sudah rasakan keperitan melakukan pendakian dan perjalanan ini, bagaimana pula jemaah warga emas, mereka yang kurang sihat, sedang berbadan dua atau insan kurang upaya?

Kami juga dapat memakai kasut sukan berkusyen sepanjang perjalanan dan pendakian.

Cuaca di Singapura juga tidaklah sepanas terik di Arab Saudi pada masa ini, dan kami juga tidak dikelilingi lautan manusia yang berpusu-pusu dan berasak-asak.

Beberapa hari lalu, pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran cuaca panas melampau dijangka melanda Makkah dan kawasan Tanah Suci sepanjang musim haji 2026 dengan suhu boleh mencecah sehingga 47 darjah Celsius.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi pula berkata keadaan cuaca panas hingga sangat panas itu turut disertai angin berdebu dan ribut pasir terutama pada waktu siang.

Pengalaman saya melakukan cabaran ini dengan rakan setugas betul-betul membuka mata kami tentang peri penting kesihatan jasmani bagi seseorang yang ingin melakukan ibadah haji.

Selain persediaan fizikal, persediaan mental dan emosi juga perlu.

Dari 2025, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan perlunya memenuhi kriteria kesihatan sebelum menjalani ibadah haji.

Bakal jemaah haji perlu mendapatkan sijil kesihatan yang memperakui tahap kecergasan, khususnya untuk memastikan anggota jemaah haji memiliki daya tahan dalam menghadapi suhu tinggi dan keperluan berjalan jauh.

Syarat perubatan tertentu mengecualikan individu daripada menjalani ibadah haji.

Ia termasuk kegagalan organ utama (misalnya, perlu bergantung pada dialisis; penyakit jantung atau paru-paru yang teruk; barah tahap lanjut (sedang menjalani kemoterapi atau radioterapi); isu psikiatri atau kognitif yang teruk (misalnya, demensia); dan kehamilan berisiko tinggi atau berada dalam trimester akhir.

Di tanah air, program Sihat Untuk Haji atau Get Fit For Haj (GFH) diperkenal bagi membantu bakal jemaah membuat persiapan sebelum ke Tanah Suci.

GFH merupakan program tiga bulan, dengan jemaah haji menyertai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran ejen penjualan (GSA) pakej haji serta Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) – merangkumi ceramah kesihatan, senaman dan pemeriksaan kesihatan.

Setelah dapat rasai sendiri secebis ‘pengalaman haji’, saya akur program sedemikian penting dan amat berguna bagi bakal jemaah.

Apa pun, sama ada membuat persediaan menerusi program tersebut atau melakukan latihan sendiri, mustahak untuk jemaah memastikan mereka bersedia bukan sahaja dari segi rohani, bahkan jasmani, demi dapat melakukan ibadah haji yang sempurna.