Mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, bakal berundur daripada lembaga Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) dan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsanya pada 30 Jun, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi baru Temasek Holdings.
Encik Teo berkhidmat dalam Lembaga Pengarah GIC selama 14 tahun, setelah dilantik sebagai pengarah pada 2010 dan kemudian sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa pada 2015.
Beliau ditetapkan untuk menyertai Lembaga Temasek sebagai Timbalan Pengerusi pada 1 Julai, sebelum mengambil alih jawatan pengerusi daripada Encik Lim Boon Heng pada 9 Oktober.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang juga pengerusi GIC, berkata pada 10 Jun bahawa pandangan Encik Teo tentang perkembangan dan risiko geopolitik telah membimbing strategi pelaburan global GIC dan pembangunan rangka kerja pelaburannya, kerana dana kekayaan negara bertindak balas kepada “persekitaran global yang semakin kompleks”.
Encik Lee berkata: “Perspektif berharga (Encik Teo) mengenai Lembaga Pengarah GIC dan bimbingan kepada pengurusan kanan GIC telah meningkatkan keupayaan pelaburan jangka panjang GIC dan daya tahan pertubuhan.
“GIC menerima pakai proses pengurusan pelaburan yang lebih mantap, mengukuhkan disiplin pelaburan dan nilai pertubuhannya, dan membina perkongsian baru, sambil kami menerima pakai strategi baru dan mengharungi cabaran dan peluang baru,” tambah beliau.
Menurut Encik Lee, Lembaga Penasihat Antarabangsa GIC telah menjadi platform berharga bagi penasihat antarabangsa berkongsi perspektif global dan serantau mereka, dan membincangkan perkembangan pasaran jangka panjang dan landskap makroekonomi.
“Di bawah bimbingan (Encik Teo), GIC telah melibatkan penasihat kami untuk merumuskan pandangan kritikal bagi semakan dasar pelaburan kami, rangka kerja pengurusan risiko dan tadbir urus pelaburan.
“Ini telah membantu meningkatkan prestasi GIC selama ini,” katanya.
Ketua Eksekutif GIC, Encik Lim Chow Kiat, berkata Encik Teo telah “bermurah hati dalam menyumbang” pengalamannya dalam dasar awam dan hal ehwal global kepada firma itu.
“Wawasan geopolitik beliau amat penting, memandangkan isu-isu ini semakin rumit dan relevan bagi GIC,” kata Encik Lim.
“Dedikasi Encik Teo kepada Singapura adalah satu lagi aset yang tidak ternilai, membantu GIC sebagai dana kekayaan berdaulat untuk memperkukuh disiplin pelaburan dan nilai pertubuhan kami.”
Encik Teo, tokoh utama dalam kepimpinan generasi ketiga Singapura, telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2019 dan sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dari 2011.
Beliau dilantaik sebagai Menteri Kanan pada 2019.
Beliau memulakan kerjaya dalam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) pada 1972 dan dinaikkan pangkat sebagai Panglima Tentera Laut sebelum meninggalkan RSN pada 1992 untuk menceburi bidang politik.
Peranan pertama beliau dalam Kabinet adalah sebagai Menteri Negara (Kewangan merangkap Perhubungan).
Beliau kemudian memegang portfolio Menteri di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Pertahanan, Pendidikan, dan Alam Sekitar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg