Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mualaf S’pura hadapi cabaran sesuai diri dengan masyarakat lebih luas

Panel prihatin jika norma budaya dan bahasa Melayu dalam kelas agama timbulkan rasa cemas, terpinggir
Nov 21, 2025 | 8:14 PM
Anggota panel, mualaf di Singapura, mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, Pengarah Operasi Akademik di SimplyIslam.sg, Ustaz Muhammad Salleh Abdul Aziz, Ustaz Ahmad Izzilfitri Mohamed Fatris; pensyarah bebas dan asatizah, Ustazah Siti Syariati Sulaiman, kaunselor serta pendidik bebas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa
Anggota panel yang berkongsi pengalaman membimbing dan memperkasa mualaf di Singapura, terdiri daripada (dari kiri) mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan; Pengarah Operasi Akademik di SimplyIslam.sg, Ustaz Muhammad Salleh Abdul Aziz; moderator, Ustaz Ahmad Izzilfitri Mohamed Fatris; pensyarah bebas dan asatizah, Ustazah Siti Syariati Sulaiman; dan kaunselor serta pendidik bebas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebahagian mualaf di Singapura menghadapi kesukaran mencari tempat dalam masyarakat Islam yang lebih luas, kerana ruang dan kelas pengajian Islam cenderung mencerminkan norma budaya dan bahasa Melayu yang lebih dominan.

Ada yang rasa terpinggir atau cemas apabila mereka tidak memahami tingkah laku budaya tertentu, dan ini membuat mereka takut akan kehilangan identiti serta warisan budaya mereka sendiri.

Demikian antara yang dikongsi dalam sesi panel bertajuk, ‘Memanfaatkan Kepelbagaian Budaya untuk Memperkasa Mualaf dengan Tujuan dan Impak’ pada 21 November di Hotel Parkroyal Beach Road.

Panel tersebut dianggotai mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan; Pengarah Operasi Akademik di SimplyIslam.sg, Ustaz Muhammad Salleh Abdul Aziz; pensyarah bebas dan asatizah, Ustazah Siti Syariati Sulaiman; kaunselor dan pendidik bebas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa; serta Ustaz Ahmad Izzilfitri Mohamed Fatris sebagai moderator.

“Mereka (mualaf) kadangkala datang ke kelas dengan rasa cemas disebabkan jangkaan masyarakat tentang bagaimana seorang Muslim sepatutnya dilihat, nama apa yang perlu diambil, cara bercakap, dan juga untuk memahami bahasa Melayu.

“Bagaimana mereka dapat menunaikan solat Jumaat jika mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Melayu?

“Saya percaya orang Melayu juga tidak menjadi Arab apabila mereka memeluk Islam. Mereka tetap mengekalkan akar, budaya, makanan dan seni Melayu mereka.

“Jadi, adalah tidak adil jika saya membawa identiti peribadi, budaya saya, atau budaya Islam saya dan memaksakannya kepada orang dari latar belakang dan kaum yang berbeza,” kongsi Ustazah Syariati, yang juga berpengalaman mengajar di Darul Arqam.

Justeru, beliau menekankan kepentingan mempelajari, menghormati dan mengekalkan kepelbagaian budaya dalam bilik darjah supaya mualaf akan rasa selamat untuk meluahkan pendapat, bertanya soalan, dan bersikap terbuka tentang perkara yang mencetuskan kebimbangan dalam diri mereka.

Panel itu merupakan sebahagian daripada Persidangan Mualaf Rentas Budaya Asia Pasifik (APCCCC), anjuran Darul Arqam Singapura (MCAS), dengan kerjasama Majlis Dakwah Islam Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (Riseap).

Berkongsi cabaran lain yang dihadapi mualaf, Ustaz Salleh juga berkata mereka mungkin menghadapi tekanan untuk menyesuaikan diri agar dapat mengamalkan budaya etnik yang dominan.

“Mereka berasa tertekan. Sebagai contoh mereka beranggapan, mesti memakai baju kurung, memakai songkok, dan makan ketupat...

“Seolah-olah anda perlu memeluk budaya Melayu untuk menjadi Muslim,” kata Ustaz Salleh.

Namun, Ustaz Salleh menambah, kepelbagaian adalah sesuatu yang diraikan di Singapura, di mana rakyatnya menimba kekuatan daripada kepelbagaian dan bukan keseragaman.

Justeru, salah satu cara untuk menyokong mualaf adalah dengan kaedah pengajaran Islam yang sesuai dengan latar belakang yang pelbagai.

Sebagai contoh, penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan menganjurkan kelas agama yang membenarkan sesiapa sahaja hadir dengan seadanya.

Ustazah Kalthom menambah, sokongan berterusan dan berpusatkan manusia adalah penting demi memastikan golongan mualaf dapat meneruskan pembelajaran mereka dan kekal dibimbing serta mendapat hikmah daripada asatizah.

Dalam pada itu, Ustaz Hannan berkata para mualaf mesti menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih besar, termasuk masyarakat bukan Islam serta mereka daripada latar budaya lain seperti Melayu, India dan sebagainya.

“Jika tidak, akan timbul isu stereotaip dan salah faham kerana kita tidak saling mengenali.

“Saya percaya ini adalah satu aset yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat, agar kita belajar untuk mengenali satu sama lain melalui persahabatan,” kata Ustaz Hannan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg