Mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming, dan mantan pengarah di Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang, dilihat turun padang di GRC Punggol yang baru, pada 6 April.
Ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa mereka berkemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Kedua-duanya dilihat bersama Anggota Parlimen (AP) Pasir Ris-Punggol GRC – Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary dan Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, serta AP Encik Sharael Taha dan Cik Yeo Wan Ling – dalam satu acara anjuran DBS Bank.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, yang juga AP SMC Punggol West.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), pada sebelah petang, Encik Goh juga kelihatan menghadiri satu acara di GRC East Coast, bersama dengan AP East Coast, iaitu Menteri Negara Kanan, Encik Tan Kiat How, Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan dan Cik Cheryl Chan.
Di acara pada waktu pagi, yang menyaksikan pelancaran satu daya utama untuk membantu peniaga kejiranan dengan pemasaran digital, Encik Goh berkata:
“Saya telah mengikuti Dr Janil, memahami kerja-kerja akar umbi yang sedang dilakukan di sini, menyertai lawatan blok dan parti blok, serta mendalami masyarakat di Punggol. Ia sangat meriah. Saya sangat menyukai kawasan ini.”
Encik Goh menambah beliau telah menyertai Cik Sun dalam satu acara masyarakat, dan akan menyertai Cik Yeo ketika beliau bertemu penduduk di kawasan Punggol Shore pada minggu hadapan.
Encik Foo pula berkata kehadirannya di acara tersebut adalah sebagai sukarelawan untuk organisasi akar umbi Punggol, yang beliau sertai pada 2 April.
“Kami telah bertemu dengan ramai penduduk dan ia sangat menyeronokkan berinteraksi dengan mereka. Secara keseluruhan, saya rasa kami mendapat sambutan yang sangat positif, dan kami berbual dengan mereka tentang apa yang mereka suka mengenai Punggol,” kata Encik Foo.
Kehadiran mereka di acara 6 April ini turut menguatkan spekulasi bahawa mereka akan bertanding dalam GE 2025, selepas Encik Foo, 40 tahun, dan Encik Goh, 42 tahun, dilihat dalam satu gambar di Facebook pada 4 April bersama Dr Janil dan sukarelawan akar umbi lain di Punggol.
Encik Goh juga dilihat bersama Cik Sun dalam satu gambar Facebook yang dimuat naik pada 5 April bersama sukarelawan lain di satu acara di Punggol West Community Square.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada mereka akan dicalonkan di GRC Punggol dalam GE 2025, kedua-dua Encik Goh dan Encik Foo berkata mereka tidak dapat memberikan komen.
Seorang lagi wajah baru di acara tersebut ialah ketua hal ehwal korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, Cik Valerie Lee, yang sebelum ini dilihat di GRC West Coast dan GRC East Coast.
Sementara itu, Dr Janil dalam temu bual dengan media berkata beliau, Cik Sun dan Cik Yeo – tiga AP yang kini mengawasi GRC Punggol – sedang bekerjasama dan membuat perancangan dengan anggapan bahawa mereka akan terus kekal sebagai satu pasukan.
“Anda pasti akan melihat beberapa wajah baru di sini, dan memang ada beberapa (daripada mereka). Namun, kami belum mendapat pengesahan siapa yang akan menyertai pasukan kami sebagai orang keempat,” kata Dr Janil.
Beliau menambah calon-calon baru sedang mendapatkan pengalaman, berhubung dengan orang ramai, memahami kempen, dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali mereka serta nilai yang mereka perjuangkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg