Parti Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dijangka bertanding di GRC Pasir Ris-Changi, dengan lapan anggotanya mengadakan lawatan di Loyang pada 23 Mac.
Sebahagian besar kawasan itu berada dalam GRC East Coast, namun akan dimasukkan ke dalam GRC Pasir Ris-Changi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
“Kami telah bertanding di Pasir Ris-Punggol sejak 2006 dan kini apabila Changi dimasukkan ke dalam Pasir Ris, saya rasa menjadi tanggungjawab kami untuk meneruskan khidmat kami di sana,” kata pengerusi SDA, Encik Desmond Lim, ketika ditanya sama ada parti itu akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi.
Namun, masih kurang jelas jika SDA akan bertanding di GRC Punggol, di mana Parti Pekerja (WP) telah giat mengadakan lawatan, lapor The Straits Times (ST).
GRC Punggol baru itu dibentuk dengan mengeluarkan estet Punggol daripada GRC Pasir Ris-Punggol dan menggabungkannya dengan SMC Punggol West.
Ketika ditanya, Encik Lim, 57 tahun, berkata setiausaha agung partinya, Encik Abu Mohamed, sedang berhubung dengan WP mengenai sempadan GE baru itu.
Encik Abu Mohamed, 74 tahun, juga merupakan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), salah satu parti dalam perikatan tersebut.
“Keputusan dan hasilnya, akan kami kongsi dengan media pada masa yang sesuai,” tambah Encik Lim.
Lawatan itu dimulakan di medan selera Loyang Point, di mana anggota parti mengedarkan penyangkut pintu dan risalah yang menggariskan matlamat SDA meningkatkan peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, mengurangkan kos sara hidup dan penjagaan kesihatan bermutu bagi rakyat Singapura.
Pasukan itu kemudian membuat lawatan rumah ke rumah di Loyang Rise, kawasan perumahan yang sebelum ini berada di bawah GRC East Coast.
“Kami menantikan GE akan datang, berharap mereka (penduduk Loyang) akan menyokong kami,” kata Encik Lim.
SDA sebelum ini berkata mereka akan “berbincang dengan jujur dan ikhlas” dengan WP mengenai perubahan sempadan.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan pertempuran pelbagai penjuru pada GE2025, Encik Lim berkata sebagai sebuah perikatan, partinya terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.
Ditubuhkan pada 2001, SDA kini terdiri daripada Parti Keadilan Singapura (SJP), yang dipengerusikan oleh Encik Lim dan PKMS.
Parti Rakyat Singapura (SPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) pernah menjadi anggota SDA, namun telah membawa haluan masing-masing pada 2011 dan 2007.
Antara yang hadir di lawatan itu ialah Encik Lim, Encik Abu Mohamed dan ketua operasi SDA, Encik Kuswadi Atnawi – kesemuanya telah bertanding dalam GE2020.
Ia turut dihadiri muka baru, ahli perniagaan, Encik Muhammad Faizal Mohmad, 42 tahun, yang merupakan ahli PKMS sejak 2016.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg