Di tengah-tengah masalah pembuangan kucing di Singapura, Cik Siti Iswani Zainal, mengubah kehidupannya demi menyelamatkan dan melindungi kucing yang terabai.
Bersama suaminya, Encik Hyrizan Jufri, mereka berpindah dari flat tiga bilik di Hougang ke flat lima bilik di Woodlands baru-baru ini.
“Di flat lama, ruang memang tidak cukup. Saya juga menjalankan perniagaan dari rumah (HBB), jadi saya tidak boleh membiarkan kucing berkeliaran merata-rata kerana faktor kebersihan,” jelas Cik Iswani, 45 tahun, yang mempunyai enam orang anak berusia 17 hingga 25 tahun.
“Kami akhirnya memutuskan untuk berpindah ke rumah yang lebih besar. Selepas banyak kali melihat pelbagai pilihan rumah, kami sukakan susunan flat lima bilik ini.
“Separuh ruang tamu kami kini dikhaskan untuk kucing, manakala keluarga kami hanya menggunakan separuh lagi.”
Langkah itu dibuat semata-mata demi kucing yang diselamatkan.
“Mereka lebih tenang di sini. Mereka ada ruang untuk pulih sebelum saya cuba mencari rumah baru untuk mereka,” tambahnya.
Perjalanan Cik Iswani sebagai penyelamat kucing bermula tujuh tahun lalu selepas kehilangan kucing peliharaannya sendiri selama dua bulan.
“Semasa mencarinya, saya ternampak banyak kucing yang sakit, tua dan terabai di Hougang.
“Saya mula memberi mereka makan, membawa mereka ke klinik haiwan, dan kadang-kadang membawa mereka pulang ke rumah.
“Saya tidak sanggup membiarkan mereka mati bersendirian,” luahnya kepada Berita Minggu (BM).
Kini, setiap bulan Cik Iswani dan suaminya yang berusia 54 tahun membelanjakan antara $1,000 dengan $2,000 untuk makanan, ubat-ubatan dan rawatan kucing.
“Dulu saya bekerja sebagai pengurus sukan, jadi saya ada sumber kewangan tetap.
“Sekarang saya hanya menjalankan perniagaan dari rumah membuat kek dan lain-lainnya demi menampung perbelanjaan kucing-kucing ini.
“Saya tidak mahu meminta derma kerana saya rasa penyelamat warga emas lebih memerlukan bantuan itu,” katanya.
Namun, misi ini lebih daripada sekadar menyelamatkan kucing.
Cik Iswani sedih dan turut berasa hampa melihat kes pembuangan kucing yang semakin membimbangkan.
“Ada pemilik kucing yang panik disebabkan peraturan mikrocip dan kembiri. Malah mereka ada masa hingga 2026 untuk mematuhinya.
“Daripada mencari bantuan, mereka buang kucing mereka. Kucing ini tidak tahu bertahan di luar. Mereka mudah diserang anjing atau kucing liar yang lain,” katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang benar-benar ingin memelihara kucing supaya berfikir dengan teliti dan membincangkan hasrat itu bersama keluarga.
“Pertimbangkan kebajikan kucing itu. Jika tidak mampu, jangan malu meminta bantuan untuk mencari pemilik dan rumah baru (untuk) kucing di Facebook.
“Lebih baik meletakkan kesejahteraan kucing dahulu itu berbanding rasa malu,” tegasnya.
Bagi mereka yang sudah terfikir untuk membuang kucing, beliau menasihati:
“Fikirkan apa yang akan terjadi kepada mereka di luar sana. Mereka bukan haiwan liar. Jangan biarkan mereka mati menderita.”
Cik Iswani juga percaya pendidikan harus bermula dari usia muda.
“Saya mahu pergi ke sekolah-sekolah untuk mendidik kanak-kanak supaya sayang kepada haiwan.
“Walaupun ada ibu bapa mereka tidak suka sama kucing atau haiwan-haiwan lain, mereka patut ajar anak-anak supaya tidak menyakiti haiwan,” ujarnya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau bersyukur ada rangkaian kecil pemberi makan dan penyelamat kucing yang saling membantu.
“Kami berkongsi makanan, membantu memelihara dan tukar-tukar nasihat.
“Kucing yang lebih cantik mudah ditempatkan semula, tetapi yang liar mengambil masa.
“Kebanyakan rakan saya di Facebook memang pencinta kucing, jadi mereka juga banyak membantu,” jelasnya.
Cik Iswani berharap penguatkuasaan terhadap pengabaian kucing akan lebih tegas.
“Saya tahu pemerintah sedang lakukan sedikit demi sedikit. Tapi kita juga perlu main peranan.
“Kucing-kucing ini tidak memilih untuk ditinggalkan. Mereka berhak mendapat kasih sayang. Selagi saya mampu, saya akan terus lakukan misi menyelamatkan kucing terbiar,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg