Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dialog posbajet bincang kos sara hidup generasi terhimpit

Zaqy: Pemerintah bantu melalui skim bermanfaat bagi warga emas, kanak-kanak
Mar 22, 2025 | 3:47 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (duduk, tengah), bersama (duduk, dari lima dari kiri) pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Cik Amatul Jameel Suhani Sujari; Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat;  Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah menjawab pelbagai soalan pemimpin masyarakat semasa Dialog Pasca-Belanjawan M³ anjuran PA Mesra di Kelab Masyarakat Tampines West pada 22 Mac.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (duduk, tengah), bersama (duduk, dari lima dari kiri) pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Cik Amatul Jameel Suhani Sujari; Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat;  Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah menjawab pelbagai soalan pemimpin masyarakat semasa Dialog Pasca-Belanjawan M³ anjuran PA Mesra di Kelab Masyarakat Tampines West pada 22 Mac. - Foto PA MESRA

Pemerintah akur anggota generasi terhimpit (sandwiched generation) sedang menghadapi tekanan yang kian meningkat disebabkan peningkatan kos sara hidup serta penduduk semakin menua, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Beliau berkata bantuan telah disediakan bagi menangani isu tekanan yang mereka hadapi melalui skim yang memberi manfaat kepada warga emas dan kanak-kanak.

“Kami cuba membantu dengan pemberian subsidi dan mengurangkan kos sebanyak mungkin dan ia dilakukan melalui pelaburan dalam pendidikan bagi kanak-kanak prasekolah, menyokong golongan berkeperluan khas, serta pelaburan dalam kesihatan,” kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian semasa Dialog Pasca-Belanjawan M Kuasa Tiga (M³) bersama 100 pemimpin masyarakat Melayu/Islam pada 22 Mac di Kelab Masyarakat Tampines West.

Sesi dua jam yang dianjurkan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) itu disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Berita Harian rakan media rasmi dialog itu.

Antara perkara yang turut dibincang dalam dialog itu ialah inisiatif dan skim yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2025, termasuk langkah sokongan bagi keluarga besar dan penjagaan anak, sokongan untuk warga emas, serta sokongan untuk memperkukuh identiti nasional serta ikatan dalam masyarakat.

Antara bantuan tambahan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Februari ialah Skim MediSave Yang Dipadankan untuk membantu warga emas, Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) sebanyak $1,000 setahun bagi setiap anak ketiga, dan Geran MediSave Keluarga Besar (LFMG) bernilai $5,000.

Dr Wan Rizal, antara lain berkata selain beban kewangan, generasi terhimpit mengalami beban tambahan dari segi kesejahteraan emosi dan mental.

“Beban kewangan untuk generasi terhimpit memang tinggi, tetapi sebenarnya tekanan mental dan emosi yang mereka hadapi adalah lebih tinggi.

“Jika kita mengenali seseorang yang mengalami tekanan seperti itu, kita perlu memberi sokongan kepada mereka,” kata Dr Wan Rizal, yang mengalu-alukan lebih ramai orang tampil dan memberi semangat.

Antara saranan yang dikemukakan semasa dialog itu ialah pemerintah meningkatkan kesedaran mengenai peri penting celik kewangan dengan mengadakan pameran bergerak.

Ia bagi memastikan pada jangka panjang masyarakat Melayu/Islam lebih bijak dalam pengurusan kewangan.

Memberi respons, Encik Zaqy bersetuju dan akur celik kewangan adalah penting bagi merubah cara pemikiran dan mengelakkan Singapura menjadi negara kebajikan, atau welfare state.

“Jika kita beralih kepada negara kebajikan dengan manfaat berstruktur, ia akan menimbulkan masalah kerana kadar cukai akan meningkat dan ia harus ditanggung oleh rakyat.

“Ada yang fikir, buat apa bekerja jika kita sudah dapat bantuan daripada pemerintah? Ini adah satu isu pemikiran yang harus diubah,” kata Encik Zaqy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg