Kestabilan kewangan penting demi membolehkan wanita mencapai kesejahteraan diri dan keluarga mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas sesi dialog ‘PPIS Memperkasa Suara’ yang berlangsung pada 13 Jun di Menara Maybank, Cik Aidaroyani menggalakkan lebih ramai wanita menyertai program pemerkasaan kewangan sebagai langkah membina keyakinan diri dan berdikari dalam jangka masa panjang.
“Isu ini tentang melengkapkan wanita dengan kemahiran kewangan supaya mereka dapat mencapai kesejahteraan menyeluruh – demi mengimbangkan aspirasi peribadi dengan kerjaya mereka,” kata beliau.
Beliau merujuk kepada dapatan kajian yang dijalankan PPIS pada 2022, yang menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam program, bengkel dan latihan berkaitan pemerkasaan kewangan masih rendah.
“Penyertaan wanita Melayu/Islam dalam program berkaitan pemerkasaan kewangan masih rendah, kerana ia sering berada di kedudukan bawah dalam senarai keutamaan mereka.
“Kesedaran mengenai kepentingannya juga masih kurang,” tambahnya.
Dapatan ini turut menjadi asas pemilihan tema bagi siri dialog ‘PPIS Memperkasa Suara’, yang diadakan setiap tiga bulan.
Sesi dialog tersebut menghimpunkan wanita berusia antara 18 tahun dengan 44 tahun yang terdiri daripada golongan karyawan, individu yang bekerja sendiri dalam bidang kreatif serta mereka yang sedang melalui peralihan kerjaya, bagi membincangkan isu peranan wanita, pengurusan kewangan dan pembangunan peribadi.
Antara penceramah dialog pada 13 Jun itu ialah pakar perancangan harta, Cik Noor Quek, yang menarik perhatian kepada pentingnya wanita bersikap bertanggungjawab terhadap kewangan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada elaun daripada pemberian suami.
“Wanita mesti bertanggungjawab ke atas kewangan mereka sendiri, sebagaimana mereka menitikberatkan tanggungjawab terhadap keluarga,” kata beliau.
Di samping itu, beliau menggesa wanita supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi merapatkan jurang jantina di tempat kerja.
“Kita (golongan wanita) perlu membina keyakinan dan memperkasa diri melalui ilmu serta sikap yang proaktif.
“Jurang jantina hanya dapat dirapatkan apabila kita berani tampil, bersuara dan mengambil ruang yang sewajarnya,” tegas beliau.
Dengan itu, beliau menggalakkan kerjasama antara kedua-dua jantina.
“Apabila lelaki dan wanita bekerjasama dengan menghargai perbezaan gaya, pendekatan dan cara fikir masing-masing, hasilnya menjadi satu peningkatan yang lebih besar dan bermakna,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Eksekutif Audit Maybank, Cik Farhan Samsudin, turut berkongsi bahawa kestabilan kewangan wanita boleh dicapai dengan keberanian menyuarakan nilai diri serta menyerlahkan pencapaian peribadi.
“Jangan menganggap bahawa usaha kita akan sentiasa disedari.
“Kita perlu berani menampilkan pencapaian kita dan cari peluang baru seperti kenaikan pangkat di tempat kerja,” ujar beliau.
Bagi peserta seperti Cik Sara Azman, 25 tahun, sesi dialog seperti ini membuka ruang bagi beliau lebih memahami kepentingan mengenali dan menonjolkan kekuatan diri sebagai wanita dalam kerjaya.
“Kita tidak boleh sekadar berharap orang akan nampak usaha kita.
“Saya belajar bahawa kita perlu berani ‘menjual’ nilai dan pencapaian diri – bukan dengan harapan, tetapi dengan perancangan dan keyakinan,” kongsi beliau.
Tambah beliau, yang bekerja dalam bidang penciptaan kandungan, sesi dialog tersebut menggalakkan wanita supaya keluar daripada peranan stereotaip dan menghargai keunikan gaya kepimpinan wanita, terutamanya dalam industri yang didominasi lelaki.
“Dialog ini mengingatkan saya bahawa wanita perlu yakin untuk tampil, dan tidak rasa segan mengejar impian masing-masing,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg