Bak pepatah tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Mungkin itu yang dirasakan Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail tatkala kembali ke sekolah menengah di mana beliau habiskan tempoh selaku pelajar di situ.
Jika 30 tahun beliau kali pertama jejakkan kaki sebagai pelajar menengah satu di Sekolah Menengah Dunman, kini Encik Didicazli, 43 tahun, kembali ke sekolah tersebut dengan peranan baru – sebagai anggota Jawatankuasa Penasihat Sekolah.
Encik Didicazli telah berkongsi berita gembira tersebut di laman LinkedIn, pada 15 Oktober menyatakan rasa hormat dan ikatan mendalam terhadap sekolah tersebut.
“Saya merupakan pelajar menengah satu di sekolah tersebut sekitar 30 tahun dahulu, dan sebagai seorang ‘Dunmanite’ (bekas pelajar Dunman), sekolah ini terus memegang tempat istimewa di hati saya... Saya tidak sabar untuk menyumbang kepada sekolah yang telah membantu membentuk diri saya hari ini,” tulis Encik Didicazli, yang juga merupakan pengerusi M³ @ GRC Jalan Besar.
Catatan tersebut turut menyertakan foto beliau bersama pengetua sekolah itu, Encik Toh Thiam Chye dan timbalan pengetua Encik Fathul Rahman Kamsani.
Pelantikan rasmi Encik Didicazli sebagai anggota Jawatankuasa Penasihat sekolah itu berkuat kuasa mulai 16 September, katanya kepada Berita Harian (BH). Surat pelantikan telah diserahkan kepadanya pada 14 Oktober semasa mesyuarat jawatankuasa itu yang pertama.
Menjelaskan peranannya dalam jawatankuasa itu dalam responsnya kepada BH, Encik Didicazli menyatakan bahawa tugas dan tanggungjawabnya akan menyokong pembangunan menyeluruh pelajar.
“Jawatankuasa Penasihat Sekolah Menengah Dunman memberikan nasihat mengenai hala tuju strategik sekolah, dengan memanfaatkan kepakaran profesional dan perspektif yang pelbagai daripada ahli-ahli lain,” katanya.
“Selain peranan memberi nasihat, jawatankuasa itu, terdiri daripada alumni yang berdedikasi dan pemimpin dalam pelbagai bidang, juga berperanan untuk menyokong dan memberi inspirasi kepada pelajar,” katanya lagi.
Sebagai ahli jawatankuasa itu, matlamat utama Encik Didicazli adalah untuk merealisasikan wawasan sekolah bagi melahirkan pemimpin berempati, inidividu yang membawa pembaharuan yang berkesan dan misinya untuk membimbing pelajar Sekolah Menengah Dunman menerajui perubahan dalam masyarakat.
Dengan memanfaatkan pengalaman dalam kepimpinan masyarakat, beliau ingin memperkukuhkan kerjasama antara sekolah dan masyarakat yang lebih luas, mewujudkan platform di mana pelajar dapat belajar dan menyumbang di luar bilik darjah, katanya.
“Bidang tumpuan utama bagi saya adalah menyokong pelajar dengan keperluan yang lebih tinggi dan bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat serta agensi.
“Saya bercita-cita untuk terus memperkukuh perkongsian antara sekolah, alumni, dan masyarakat, membantu pelajar membangunkan perwatakan serta nilai-nilai yang diperlukan untuk berjaya dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg