Hampir sedekad selepas menggenggam segulung ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Perhubungan Massa dari Universiti RMIT Australia, kendalian SIM Global Education, Encik Didicazli Ismail, kembali ke universiti, kali ini sebagai seorang siswa matang.
Impian yang telah lama membara dalam jiwa Encik Didicazli, 43 tahun, akhirnya tercapai jua apabila beliau meraikan kejayaan menggenggam ijazah Sarjana Pentadbiran Awam pada sesi konvokesyen Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 25 Julai.
Lebih membanggakan apabila Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) itu ditempatkan dalam senarai pelajar cemerlang dalam Senarai Pengarah bagi Pusat Nanyang untuk Pentadbiran Awam (NCPA).
Malah, Encik Didicazli, yang lebih awal dikenali sebagai penyanyi dan penggubah lagu, juga dipilih pada Februari 2025 untuk menerajui usaha NTU dalam memperkenalkan program sarjana itu kepada masyarakat lebih luas.
“Saya bersyukur dapat mengambil ijazah sarjana ini.
“Sudah lama saya mendambakan peluang ini tetapi saya terpaksa menangguhkannya kerana peralihan kerjaya saya, serta perjalanan isteri saya melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) untuk mendapatkan anak pertama,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Namun, Encik Didicazli, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Kanan, di Tabung Amal Aidilfitri (TAA), antara April 2018 dengan Oktober 2023, mengakui perjalanan itu tidak mudah.
Sepanjang pengajiannya yang dilakukan secara sambilan, antara Januari 2023 dengan Mei 2025, beliau perlu mengimbangi kerja pada waktu siang, tanggungjawab sebagai suami dan bapa, serta kuliahnya pada waktu malam.
Menurutnya, kuliah itu diadakan sekitar dua kali seminggu pada 6.30 petang dan tamat kira-kira 10 malam.
Ia tidak termasuk waktu yang diketepikan pada hujung minggu untuk melakukan tugasan dan projek.
Semasa awal pengajiannya, Encik Didicazli dan isterinya, Cik Nur Eliyana Norzlan, turut menyambut kelahiran anak kedua mereka, Muhammad Elhan Didicazli, kini dua tahun.
Encik Didicazli berkata pengorbanan terbesarnya sebagai seorang bapa ialah apabila beliau terpaksa mengurangkan masa yang terluang bersama anak perempuannya, Nur Erina Daania Didicazli, yang kini berusia enam tahun dan bakal melangkah ke Darjah 1 pada Januari 2026.
“Anak perempuan saya adalah tiang kekuatan saya. Dia pernah bergurau memberi saya gred A+ kerana katanya saya bekerja keras.
“Setelah menerima ijazah saya, dia cakap: ‘I’m proud of you (saya bangga dengan ayah)’. Itu kata-kata yang sangat bermakna buat saya.
“Niat utama saya untuk mendapatkan ijazah sarjana ini adalah untuk membanggakan keluarga saya dan menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti,” ujarnya.
Bagi Encik Didicazli, yang juga Pengerusi M³@Jalan Besar, pengajian sarjana itu memberi nilai tambah dalam peranannya sebagai pemimpin masyarakat.
Selain memperkukuh kefahaman tentang dasar awam, ia juga membolehkannya memahami cara dasar pemerintah memberi kesan kepada orang ramai.
“Pengalaman saya di 4PM dan M³@Jalan Besar membolehkan saya berinteraksi dengan masyarakat Melayu/Islam dengan rapat sekali.
“Dengan ijazah sarjana ini, saya harap dapat menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat kita dengan dasar pemerintah, serta menjadi penghubung antara pertubuhan masyarakat dengan penggubal dasar,” tegasnya.
Menurutnya, pendekatan itu turut diterapkan menerusi program 4PM, seperti inisiatif menyokong pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam pembelajaran sosial dan emosi di luar bilik darjah.
Menurut Encik Didicazli, program itu sedang dipertingkatkan dan dianggap sebagai program keutamaan pada peringkat nasional mulai suku pertama 2025.
Kini, dengan peranan barunya untuk menerajui usaha NTU dalam memperkenalkan program sarjana itu kepada masyarakat lebih luas, Encik Didicazli berharap lebih ramai individu Melayu/Islam akan mendakap prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
“Adalah sangat penting bagi setiap individu, sama ada di peringkat pertengahan kerjaya atau baru memasuki alam pekerjaan, untuk mempunyai pemikiran berkenaan pembelajaran sepanjang hayat.
“Hanya dengan pemikiran ini, kita boleh memastikan kita terus mendapat manfaat daripada sektor pekerjaan, walaupun berlaku transformasi pekerjaan akibat penyepaduan kecerdasan buatan (AI),” kongsinya.
“
“Sudah lama saya mendambakan peluang ini tetapi saya terpaksa menangguhkannya kerana peralihan kerjaya saya, serta perjalanan isteri saya melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) untuk mendapatkan anak pertama... Niat utama saya untuk mendapatkan ijazah sarjana ini adalah untuk membanggakan keluarga saya dan menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg