Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri ‘bersaing sihat’ genggam ijazah Doktor Pendidikan bersama

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
PhD, pendidikan, Melayu/Islam
Dr Emilia Idris dan Dr Irfan Ismail berjaya bergelar ‘Doktor Pendidikan’ setelah tamat pengajian mereka di NTU-NIE pada 2025. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Cinta berputik ketika mereka masih pelajar muda di Universiti Nasional Singapura (NUS) hampir dua dekad lalu.

Kini, setelah mendirikan rumah tangga bersama dan dikurniakan tiga orang anak, Dr Emilia Idris, 46 tahun, dan Dr Irfan Ismail, 48 tahun, berjaya mengharungi bahtera pengajian bersama-sama sekali lagi dan kali ini menamatkan pengajian Doktor Pendidikan (EdD) di Universiti Teknologi Nanyang dan Institut Pendidikan Nasional (NTU-NIE) pada Julai 2025.

Pencapaian besar mereka bersama adalah hasil kerjasama, kerja keras dan saling menyokong antara satu sama lain dalam mengejar matlamat yang sama.

Dr Emilia memulakan kerjayanya sebagai wartawan dan penerbit media bersama syarikat Mediacorp sebelum menyertai Politeknik Republic (RP) sebagai tenaga pengajar pada 2010.

“Saya dapati merangka bahan pengajaran sama seperti menghasilkan kandungan media... perlu faham audiens, jelas objektif dan kreatif,” katanya.

Minat itu membawanya ke arah penyelidikan pedagogi dan akhirnya mendorongnya menyambung pengajian kedoktoran pada 2018, setahun selepas Dr Irfan memulakan pengajian yang sama.

“Saya memang sedang mencari kursus yang sesuai untuk menyambung pelajaran saya, dan apabila saya dapat tahu suami saya sudah pun mendaftar, saya pun ikuti langkahnya pada tahun berikutnya,” kata Dr Emilia, yang kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan bahagian Pusat Pembangunan Pendidikan di Politeknik Republic.

Suaminya, Dr Irfan, seorang pendidik Pendidikan Jasmani di bawah Kementerian Pendidikan (MOE), pula terdorong selepas terlibat dalam kajian tentang pedagogi inovatif di NIE.

“Pendekatan baru itu seiring dengan falsafah pengajian saya... yang mendorong saya untuk mendalaminya supaya dapat memimpin guru lain dengan lebih berkesan,” jelas Guru Pakar (Master Teacher) di Akademi Guru Pendidikan Jasmani dan Sukan (Pesta) itu.

Walaupun memulakan pengajian pada tahun berbeza, mereka mengaku wujud “persaingan sihat” untuk melihat siapa di kalangan mereka dapat menamatkan tesis terlebih dahulu.

“Saya tak pernah mahu mengalah pada Irfan,” seloroh Dr Emilia manakala suaminya itu pula bergurau bahawa dia telah “memperlahan langkah” supaya mereka dapat menyelesaikannya bersama.

Di sebalik gurauan, sokongan emosi dan praktikal antara mereka sangat penting. Mereka menjadi penyemak awal tugasan masing-masing, berkongsi bahan bacaan, malah membawa komputer riba ketika bercuti untuk mencuri masa menulis.

“Ia seperti mengulang kembali janji temu belajar kami di universiti, cuma kali ini selepas anak-anak tidur,” kata Dr Irfan.

Membahagikan masa antara kerja sepenuh masa, pengajian, dan membesarkan tiga anak bukan mudah.

“Ada masa saya rasa mom guilt (rasa bersalah sebagai ibu), tapi Irfan akan kata ‘relaks, mereka akan okey’,” kata Dr Emilia.

Dr Irfan pula berkongsi falsafah keibubapaan mereka seiring dengan rangka penyelidikan masing-masing: pembelajaran adalah proses tidak ‘linear’, kadangkala bercelaru tetapi penuh peluang untuk berdikari.

“Kami menggalakkan anak-anak kami untuk bertanggungjawab atas keputusan dan usaha mereka sendiri. Jika mereka gagal, tidak apa.

“Kami jarang bertindak untuk menyelesaikan masalah untuk mereka, tetapi kami sentiasa berada di samping mereka untuk berkongsi pengalaman mereka,” kata Dr Irfan.

Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak lelaki – Muhammad Ilhan Irfan, 19 tahun, yang sedang menjalani perkhidmatan negara bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF); Aidan Irfan, 15 tahun, pelajar tahun 12 di Kings College Soto Madrid (penerima biasiswa sukan Unleash The Roar! atau UTR); dan Rayan Irfan, 10 tahun, pelajar darjah empat di Sekolah Rendah Tanjong Katong.

Mereka berdua akui sokongan keluarga besar juga menjadi tulang belakang dan sangat penting dalam perjalanan mereka.

Dr Emilia akui banyak pengorbanan terpaksa dilakukan demi mengejar cita-citanya.

“Rayan masih kecil ketika saya memulakan perjalanan kedoktoran saya, jadi saya tidak dapat menghabiskan banyak masa seperti yang saya inginkan dengannya... itulah yang buat saya rasa agak terkilan.”

Bagi Dr Emilia, cabaran terbesar ialah penolakan demi penolakan dalam proses penulisan tesis.

“Selepas seminar pengesahan pertama, saya terpaksa ubah soalan penyelidikan dan kerangka kajian beberapa kali,” katanya.

Dr Irfan pula mengakui bergelut untuk mengekalkan momentum menulis di tengah-tengah tuntutan kerja dan keluarga.

Namun, mereka menjadikan rumah sebagai ruang perbincangan akademik supaya anak-anak dapat memahami topik penyelidikan ibu bapa mereka.

Bagi Dr Emilia, membentang kertas kerja di dua persidangan antarabangsa termasuk di Sydney, Australia, dan New Zealand serta memenangi anugerah ‘Best Concise Student Paper’ merupakan detik-detik manis yang tidak dapat dilupakan.

Dr Irfan pula bangga menyiapkan tesis dan menerbitkan hasil penyelidikan dalam bentuk bab buku dan jurnal.

“Melalui pengajian ini, saya dapat melihat suami dari sudut baru. Seorang yang benar-benar cinta kepada dunia bola sepak, bukan saja bermain dan melatih, tetapi kini menyumbang melalui penyelidikan,” kata Dr Emilia.

Kedua-duanya sepakat bahawa memilih bidang yang benar-benar diminati adalah kunci.

“Minat itu akan memacu anda ketika melalui detik-detik sukar,” kata Dr Irfan.

Dr Emilia menambah: “Cari kumpulan sokongan, fleksibel dengan perjalanan, dan kalau ada anak kecil, mungkin tunggu mereka sedikit dewasa supaya mereka boleh menghargai usaha anda.”

Bagi pasangan ini, pengajian kedoktoran bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi perjalanan yang penuh bermakna dalam membina ketahanan diri, keluarga serta terus menyumbang kepada masyarakat.

“Bagi saya, menuntut ilmu adalah ibadah,” kata Dr Emilia. “Jika ia memberi manfaat kepada pelajar dan orang lain, itulah kemenangan sebenar.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg