Bagi kebanyakan pasangan, waktu malam lazimnya masa untuk berehat atau keluar makan bersama, tetapi bagi Dr Muhammad Faisal Aman dan Dr Nur Diyanah Anwar, ia masa untuk menelaah teori, membuat analisis dan membincangkan tesis untuk pengajian Doktor Falsafah (PhD) mereka.
Malam seperti itu telah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu apabila mereka memburu impian untuk memperoleh ijazah PhD yang lama didambakan.
Impian itu akhirnya menjadi nyata apabila Dr Faisal, 42 tahun, dan Dr Diyanah, 34, tahun, baru-baru ini meraikan kejayaan menggenggam ijazah masing-masing di majlis konvokesyen Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 24 Julai.
Dr Faisal menghabiskan tujuh tahun dari 2017 hingga 2024 untuk menyelesaikan PhD secara sambilan dalam bidang pembelajaran dewasa dan pembangunan profesional dalam tingkah laku pertubuhan.
Beliau juga berkelulusan sarjana muda (Kepujian) dalam bidang geografi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Sepanjang pengajian PhD-nya, Dr Faisal bekerja di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Kementerian Pendidikan (MOE), Mendaki, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Institut Kepimpinan Modal Insan (HCLI) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Kini bertugas sebagai Pengarah Program untuk jabatan Pembangunan Eksekutif di SMU sejak 2024, Dr Faisal ialah satu-satunya kakitangan Melayu sepenuh masa di sekolah itu yang mengajar di peringkat pascasiswazah dan program eksekutif.
Dalam kerjanya, Dr Faisal berunding dan membimbing pemimpin perniagaan daripada syarikat berbilang negara (MNC) di Indonesia berkenaan aspek perniagaan seperti penilaian psikometrik dan sains tingkah laku.
Dr Diyanah pula mengambil lima tahun dari 2019 hingga 2024 untuk menyelesaikan PhD secara sepenuh masa dalam bidang kepelbagaian budaya dan pembentukan identiti dalam sistem pendidikan.
Beliau juga berkelulusan sarjana muda (Kepujian) dalam bidang sains politik dari NUS.
Dr Diyanah kini seorang Felo Sambilan di Ketua Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Nasional (CENS) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) sejak awal 2025, dan juga telah mengajar secara sambilan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) sejak 2024.
Daripada mengimbangi kerja dan pengajian PhD sehinggalah memastikan mereka mendapat rehat yang cukup, pasangan itu, yang mendirikan rumahtangga pada 2018, telah menempuhi pelbagai cabaran dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai cita-cita mereka.
“Antara pengorbanan yang kami lakukan adalah untuk menangguh menimang cahaya mata. Sebelum kahwin, kami sepakat membuat keputusan itu demi menumpukan perhatian penuh pada pengajian.
“Saya tahu jika saya jadi seorang ibu, segala tumpuan dan fokus saya akan diberikan kepada bayi kami,” jelas Dr Diyanah.
Disebabkan keputusan itu, Dr Faisal berkata beliau dan isterinya menerima tekanan daripada anggota keluarga yang kerap bertanyakan soal zuriat.
“Ibu bapa dan anggota keluarga terdekat sangat menyokong kami, tetapi ada sesetengah anggota keluarga lain yang kata ‘Dah tua pun masih sekolah lagi?’ atau ‘Bila lagi nak ada anak?’ Tetapi komen mereka ibarat pembakar semangat bagi kami.
“Bak pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang, kami mahu selesaikan apa yang kami telah mulakan. Itulah nilai yang kami pelajari dari ibu bapa kami,” tambah Dr Faisal.
Namun begitu, pasangan itu mengakui ia tidak mustahil untuk melakukan PhD dan mendirikan keluarga pada masa yang sama, namun akur ia perlu diiringi dengan pelbagai pengorbanan kerana masing-masing menghadapi cabaran berbeza.
Selain bekerja sepenuh masa dan mengikuti pengajian PhD secara sambilan, Dr Faisal perlu menyara ibu bapanya, serta adik perempuannya yang menghidap masalah kesihatan mental.
“Tipulah kalau saya kata tak penat… saya sering pulang rumah sekitar 1 pagi kerana sambung tugasan PhD selepas tamat kerja pada waktu petang.
“Mengimbangi kesemuanya menguji kesabaran saya dan Diyanah, tetapi kami berdua hanya mampu berdisiplin, buat yang terbaik, banyak bersabar, dan selebihnya terserah kepada Allah,” kongsi Dr Faisal.
Bagi Dr Diyanah pula, beliau terpaksa mengharungi gelombang emosi ketika arwah bapanya sakit dan dimasukkan dalam hospital beberapa kali.
Arwah bapanya meninggal dunia pada 2024, ketika beliau sedang melalui fasa kritikal pengajian PhD-nya itu termasuk tempoh peperiksaan.
“Sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, saya sempat beritahunya saya telah menamatkan PhD saya. Walaupun beliau tak lagi boleh berkomunikasi, saya bersyukur kerana sempat menyampaikan berita itu kepadanya.
“Saya rasa seolah-olah PhD ini adalah hadiah buat ibu bapa saya yang sentiasa menyokong saya dan Faisal dalam mengejar impian kami,” luah Dr Diyanah.
Walaupun pencapaian PhD satu kepuasan peribadi, Dr Faisal dan Dr Diyanah berniat mahu menggunakan ilmu pengajian mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam.
Daripada pengalamannya mengajar di Indonesia, Dr Faisal menyedari bahawa masyarakat di sana menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan usahawan Melayu/Islam Singapura kerana persamaan dari segi agama, bahasa dan budaya.
“Tetapi jambatan kerjasama itu belum wujud sepenuhnya. Jadi saya harap melalui peranan saya, saya dapat menghubungkan Singapura dan masyarakat Melayu/Islam kita dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Diyanah berharap kajian PhD-nya dapat menyumbang kepada kefahaman lebih mendalam tentang isu yang dihadapi golongan minoriti di Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, dalam bidang pendidikan.
“Apa sahaja yang saya mahu lakukan mulai sekarang ia adalah tentang membantu memahami mengapa sesuatu berlaku, dan bagaimana kita boleh menjadikannya bermanfaat atau berfaedah untuk masyarakat yang kononnya penuh dengan wacana,” terangnya.
Dengan tekad untuk menyumbang semula kepada masyarakat, pasangan itu turut meluangkan masa membimbing golongan belia Melayu/Islam dalam bimbingan kerjaya dan mengharungi liku-liku kehidupan.
Dr Faisal merupakan ketua pembimbing Program Masyarakat Peer Kelab Mendaki, manakala Dr Diyanah pula adalah ketua pasukan bagi satu program bimbingan di bawah Kedutaan Amerika Syarikat di mana beliau membimbing pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Pasangan itu juga tidak menganggap pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan dan tidak mengharapkan semua belia menjejaki laluan pengajian tinggi.
“Apa yang lebih penting adalah untuk golongan muda menyedari bahawa kejayaan boleh dicapai dalam pelbagai bentuk.
“Ia tidak semestinya tentang mengejar tahap akademik yang lebih tinggi, tetapi tentang kesungguhan untuk memberi yang terbaik dalam bidang yang diceburi.
“Dengan adanya pemikiran berkembang atau growth mindset, seseorang itu akan sentiasa terdorong untuk memperbaiki diri secara menyeluruh sebagai seorang insan,” nasihat Dr Diyanah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg