Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim disifatkan ramai sebagai lambang keanggunan, kelembutan dan keteguhan wanita Singapura yang berbakti kepada negara dan masyarakat.
Hal itu dikongsi beberapa mantan dan pemimpin masyarakat mengenai Wanita Pertama yang menjadi tonggak kekuatan mantan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak.
Mereka berkata Allahyarhamha yang meninggal dunia pada dini hari 22 April di Hospital Besar Singapura (SGH), merupakan contoh teladan untuk wanita Melayu/Islam Singapura dengan sokongan serta penglibatannya dalam kerja sosial.
Legasi yang ditinggalkan Allahyarhamha diharapkan dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang, kata mereka.
Ketika memberi penghormatan terakhir di Masjid Ba’alwie pada 22 April, mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, berkongsi kepada wartawan bahawa Allahyarhamha akan sentiasa dikenang sebagai Wanita Pertama yang penuh keanggunan dan belas ihsan.
Antaranya, beliau telah menyokong Presiden pertama negara – Allahyarham Presiden Yusof Ishak – dan mengubah Istana agar mencerminkan identiti tempatan Singapura, serta menyumbang secara aktif dalam kerja sosial.
“Beliau telah banyak berjasa kepada Singapura, khususnya dalam memberi sokongan kuat kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak, ketika beliau mengharungi tahun-tahun awal pembangunan negara.
“Puan Noor Aishah juga dikenali dalam pelbagai bidang – keanggunannya, kewibawaannya, dan rasa berbesar hati beliau dalam melaksanakan tugas di sisi suaminya,” kata Puan Halimah.
Pengaruh Allahyarhamha di Istana juga sangat besar apabila beliau menjadikan Istana bernadikan identiti Asia dan berteraskan unsur tempatan, lebih sesuai dengan konteks Singapura.
Puan Halimah berkata perkara itu bukan sahaja dikenang rakyat Singapura, malah masyarakat di seluruh dunia.
Beliau turut menyingkap peranan Allahyarhamha yang memberikan perhatian yang mendalam terhadap Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang terletak di Bukit Batok East, semasa Puan Halimah menjadi Anggota Parlimen (AP) kawasan itu.
“Beliau juga meluangkan masa di sekolah tersebut untuk membantu ia berkembang, maju dan terus bergerak ke hadapan, justeru beliau akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkannya,” tambah Puan Halimah.
Menurutnya lagi, Allahyarhamha Puan Noor Aishah kerap terlibat dalam kerja sosial, yang berterusan walaupun selepas pemergian suaminya meskipun beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan rasmi.
Allahyarhamha Puan Noor Aishah meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Sekitar 500 individu, termasuk beberapa pemimpin akar umbi dan masyarakat, hadir untuk sesi solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir untuknya di Masjid Ba’alwie.
Allahyarhamha dikebumikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji pada 3.30 petang 22 April, bersebelahan suaminya, Allahyarham Presiden Yusof Ishak.
Beliau meninggalkan tiga anak – dua anak perempuan; Cik Orkid Kamariah dan Cik Zuriana; serta seorang anak lelaki, Dr Imran.
Ketika hayatnya, Allahyarhamha merupakan seorang pendukung kuat dalam bidang sosial di Singapura.
Beliau memperjuangkan hak wanita dan berkhidmat sebagai penaung Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Dalam satu kenyataan PPIS pada 22 April, Presidennya, Profesor Madya Razwana Begum, berkata Puan Noor Aishah bukan sahaja merupakan individu yang melambangkan belas ihsan dan harga diri, malah turut menjadi cahaya penunjuk jalan bagi golongan wanita dan keluarga di Singapura.
“Sebagai penaung pertama PPIS dari 1968 hingga 1972, Puan Noor Aishah memainkan peranan penting dalam membentuk asas perjuangan kami pada tahun-tahun awal dan meletakkan landasan bagi usaha yang kami teruskan hingga ke hari ini.
“Keyakinan beliau terhadap potensi wanita dan kepentingan institusi keluarga yang kukuh sangat selari dengan misi kami. Kami tetap menghargai sokongan dan visi beliau, yang terus memberi inspirasi kepada kami untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan empati, ketabahan dan tujuan yang jelas,” ujarnya.
Hal ini turut dipersetujui Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang menjadikan Allahyarhamha sebagai contoh teladan untuknya.
“Puan Noor Aishah adalah seorang ikon negara. Beliau bukan sahaja merupakan Wanita Pertama, tetapi beliau sebagai seorang individu telah mendukung banyak usaha yang penting, terutama sekali dalam mendukung usaha kebajikan dan pembangunan wanita.
“Ini adalah sesuatu sifat yang saya rasa dapat dicontohi oleh anak-anak muda kita dan diharapkan legasinya akan berterusan,” katanya di Masjid Ba’alwie.
Berkongsi sentimen yang sama, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata banyak sumbangan Allahyarhamha sebagai wanita muda merupakan contoh untuk wanita Melayu/Islam Singapura.
Encik Masagos, yang juga berada di Masjid Ba’alwie, turut mengenang Allahyarhamha sebagai seorang insan yang ceria dan sering memberi dorongan kepadanya.
“Kami mengingati beliau bukan hanya kerana jasa beliau kepada masyarakat kita tetapi juga dalam interaksi beliau dengan kami semasa menziarahinya.
“Beliau adalah seorang wanita yang sangat ceria, selalu positif, selalu memberikan sokongan dan dukungan kepada kami supaya kami semua terus berusaha dan memberi jasa kepada masyarakat dan kami memperingati beliau dengan kenangan yang begitu baik sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, turut berdukacita atas pemergian Allahyarham dan menyifatkan Puan Noor Aishah sebagai lambang warisan, kelembutan, serta kewibawaan wanita yang menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya.
Dalam satu catatan Facebook pada 22 April, Dr Maliki berkata:
“Beliau menjadi lambang warisan dan jati diri kita, sering tampil anggun dalam sarung kebaya pada acara kenegaraan, membawa warisan bangsa dengan tenang dan penuh martabat, mengingatkan kita akan nilai-nilai yang kita sanjung.
“Beliau juga melambangkan keunggulan seorang wanita yang memainkan peranan rasmi dan peribadi dengan keihklasan dan kewibawaan yang tiada bandingnya.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, berkata Allahyarhamha merupakan penaung di Masjid Yusof Ishak yang terletak di GRC Sembawang.
Menurutnya, Allahyarhamha merupakan lambang keanggunan, kasih sayang, dan khidmat ikhlas, serta teladan bagi wanita dan masyarakat Melayu.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Puan Noor Aishah.
Dalam satu kenyataan pada 22 April, Muis berkata sumbangan besar beliau kepada masyarakat – terutamanya dalam menyokong golongan kurang upaya dan memperjuangkan hak wanita – telah memberi kesan mendalam kepada kehidupan masyarakat Islam Singapura dan negara itu secara amnya.
Muis turut menambah Puan Noor Aishah telah menyokong pembangunan Masjid Yusof Ishak sejak perancangannya pada 2014 hingga perasmiannya.
Antaranya, membantu dalam usaha pengumpulan dana dan menyumbangkan tumbuhan dari tapak semaiannya sendiri untuk landskap masjid tersebut.
Sejak pembukaan masjid itu di Woodlands pada 2017, Muis menyatakan beliau terus menjadi individu yang dihormati dan dialu-alukan dalam pelbagai acara anjuran masjid berkenaan.
“
Beliau telah banyak berjasa kepada Singapura, khususnya dalam memberi sokongan kuat kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak ketika beliau mengharungi tahun-tahun awal pembangunan negara. Puan Noor Aishah juga dikenali dalam pelbagai bidang – keanggunannya, kewibawaannya, dan rasa bangga beliau dalam melaksanakan tugas di sisi suaminya.“
Kami mengingati beliau bukan hanya kerana jasa beliau kepada masyarakat kita tetapi juga dalam interaksi beliau dengan kami semasa menziarahinya. Beliau adalah seorang yang sangat ceria, selalu positif, selalu memberikan sokongan dan dokongan kepada kami supaya kami semua terus berusaha dan memberi jasa kepada masyarakat dan kami memperingati beliau dengan memori yang begitu baik sekali.“
Puan Noor Aishah adalah seorang ikon negara. Beliau bukan sahaja merupakan Wanita Pertama, tetapi beliau sebagai seorang individu telah mendukung banyak usaha yang penting, terutama sekali dalam mendukung usaha kebajikan dan pembangunan wanita. Ini adalah sesuatu sifat yang saya rasa dapat dicontohi oleh anak-anak muda kita dan diharapkan legasinya akan berterusan.“
Beliau menjadi lambang warisan dan jati diri kita, sering tampil anggun dalam sarung kebaya di acara kenegaraan, membawa warisan bangsa dengan tenang dan penuh martabat, mengingatkan kita akan nilai-nilai yang kita sanjung. Beliau juga melambangkan keunggulan seorang wanita yang memainkan peranan rasmi dan peribadi dengan keihklasan dan kewibawaan yang tiada bandingnya.“
“Sebagai penaung pertama PPIS dari 1968 hingga 1972, Puan Noor Aishah memainkan peranan penting dalam membentuk asas perjuangan kami pada tahun-tahun awal dan meletakkan landasan bagi usaha yang kami teruskan hingga ke hari ini. Keyakinan beliau terhadap potensi wanita dan kepentingan institusi keluarga yang kukuh sangat selari dengan misi kami. Kami tetap menghargai sokongan dan visi beliau, yang terus memberi inspirasi kepada kami untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan empati, ketabahan dan tujuan yang jelasAnda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg