Pengguna kad DBS atau POSB boleh menikmati diskaun $3 untuk jenama beras dan telur terpilih di pasar raya Giant dan Sheng Siong pada hari Sabtu di serata negara di bawah promosi baharu.

Dilancarkan pada 18 Julai, promosi di bawah program DBS Saturday Savings oleh bank terbesar di Singapura itu akan berlangsung hingga 29 Ogos.

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bernilai $10 juta oleh pihak bank bagi membantu rakyat Singapura menangani tekanan kos sara hidup.

Pada September ini, DBS bakal memperkenalkan tawaran pulangan tunai sebanyak $3 bagi mereka yang menggunakan aplikasi PayLah! di pusat penjaja dan kedai-kedai kawasan kejiranan pada hari Sabtu.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menghadiri acara tersebut di Clementi West pada 18 Julai bersama Cik Cassandra Lee (GRC West Coast-Jurong West).

Encik Lee berkata inisiatif DBS itu melengkapi usaha pemerintah untuk mengurangkan tekanan kos yang berpunca daripada konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan.

“Setiap daripada kita, sama ada individu mahupun korporat, akan makmur apabila masyarakat juga makmur,” katanya sambil menambah bahawa beliau berharap perniagaan lain turut tampil untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Singapura.

Bagi promosi pasar raya yang ditawarkan di 129 cawangan ini, barangan yang layak mendapat diskaun ialah Giant Farm Fresh Eggs (30 biji) dan Giant Jasmine Fragrant Rice (5 kilogram) daripada Giant, serta Egg For You Fresh Eggs (30 biji) dan Happy Family Fragrant Jasmine Rice (5kg) daripada Sheng Siong.

Setiap pelanggan terhad kepada satu tebusan bagi setiap barangan setiap hari.

Sebanyak 90,000 tebusan disediakan setiap minggu berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, selagi stok masih ada.