Keluarga yang mempunyai anak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah akan menerima Kredit LifeSG Anak sebanyak $500 bagi setiap anak mulai 14 Julai.

Kredit tersebut boleh digunakan untuk membantu menampung perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, bil utiliti dan barangan farmasi.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 13 Julai.

Keluarga yang mempunyai anak yang lahir antara 2014 dengan 2025 akan menerima kredit berkenaan mulai 14 Julai.

Sementara itu, kredit bagi anak yang lahir pada 2026 akan diagihkan pada April 2027.

Semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan pemberian kredit $500 itu sebagai sebahagian langkah bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam membesarkan anak.

Kredit itu merupakan tambahan kepada tokokan Kredit LifeSG Anak sebanyak $500 yang telah diagihkan kepada lebih 450,000 kanak-kanak pada 2025.

Kredit terkini itu boleh digunakan di kedai fizikal mahupun dalam talian yang menerima pembayaran melalui PayNow UEN QR dan NETS QR.

Kredit berkenaan akan dimasukkan secara automatik kepada akaun pemegang amanah Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi anak yang layak, berdasarkan rekod MSF sehingga tarikh penilaian kelayakan pada 1 Jun.

Tiada permohonan diperlukan. 

Para pemegang amanah boleh mengakses kredit tersebut menerusi aplikasi LifeSG mereka.

Penerima akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas kredit tersebut dimasukkan ke dalam dompet digital mereka dalam aplikasi LifeSG.

Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penipuan, MSF menyatakan bahawa pemberitahuan melalui SMS yang dihantar kepada ibu bapa hanya akan menggunakan nama paparan ‘gov.sg’.

Pesanan tersebut juga hanya akan mengandungi maklumat mengenai status agihan serta ketetapan dan syarat berkaitan.

Pemegang amanah tidak akan diminta membalas SMS tersebut atau memberi sebarang maklumat peribadi.

Pemegang amanah CDA perlu memastikan nombor telefon bimbit dalam profil Singpass masing-masing telah dikemas kini supaya mereka dapat menerima pemberitahuan itu, kata MSF.

Maklumat lanjut boleh didapati di pautan, https://go.gov.sg/clc2026.