Topik diikuti
Pergi ke BHkuDiskaun makanan, perkhidmatan diperkenal bagi penduduk Pasir Ris-Changi
Diskaun makanan, perkhidmatan diperkenal bagi penduduk Pasir Ris-Changi
Diskaun makanan, perkhidmatan diperkenal bagi penduduk Pasir Ris-Changi
Lebih 100,000 penduduk Pasir Ris-Changi akan dapat menikmati diskaun hingga 50 peratus bagi makanan, barangan dan perkhidmatan di bawah sebuah program baru.
Dengan Kad Changi Delights yang dilancarkan oleh Pertubuhan Akar Umbi Changi pada 13 Jun, ia diharapkan dapat menangani kebimbangan penduduk ekoran kos sara hidup yang kian meningkat.
Ia menawarkan diskaun di 27 kedai kejiranan, termasuk kedai makan, pusat penjagaan kanak-kanak, kedai dandanan haiwan peliharaan dan salun kecantikan.
Berucap di acara Hari Keluarga Changi di Loyang Point, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata adalah penting bagi rakan masyarakat tempatan untuk bekerjasama di samping program bantuan pemerintah, seperti baucar CDC, untuk menangani kebimbangan kos sara hidup dan menambah baik kemudahan masyarakat.
“Inilah yang kami maksudkan dengan masyarakat ‘Kita Dahulu’, di mana kita semua bekerjasama rapat - bukan sahaja pemerintah tetapi juga dengan kerjasama sektor perniagaan, kumpulan masyarakat dan rakyat untuk menghasilkan hasil yang baik bagi masyarakat dan warga kita,” katanya.
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, Cik Valerie Lee, yang melawat peniaga dan penduduk di Pusat Penjaja Changi Village dan Loyang Point bersama Encik Chee, berkata program itu juga diinspirasikan daripada pemilik perniagaan kejiranan yang ingin meningkatkan bilangan pengunjung.
Penduduk boleh memohon bagi kad itu secara dalam talian, yang kemudiannya akan dihantar kepada mereka melalui pos.
Lebih ramai peniaga dijangka menyertai inisiatif tersebut dalam beberapa bulan mendatang.
Kos diskaun ditanggung oleh peniaga, kata Cik Lee, sambil menambah bahawa pasukan akar umbi di kawasan undi tersebut akan menampilkan kisah peniaga itu menerusi media sosial.
Usaha untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup penduduk juga akan dipertingkat dengan usaha memperluas inisiatif Changi Care Store untuk menyertakan penduduk yang layak di Changi Village dan Pulau Ubin.
Program yang dilancarkan pada Januari 2026 itu menyediakan barangan runcit bernilai hingga $20 - termasuk beras, kopi, teh, ubat gigi, sabun dan tisu - setiap bulan kepada penduduk yang menghadapi masalah kewangan, penjagaan atau pergerakan.
Setakat ini, barangan runcit bernilai $12,000 telah dihantar kepada 120 penduduk Pasir Ris.
