Rakyat majmuk di Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, mengiktiraf kepentingan melindungi perpaduan dan keharmonian sosial serta tidak membiarkan peristiwa luar memecahbelahkan Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
Mengambil contoh ketegangan berterusan di Timur Tengah, Encik Heng berkata amat menggalakkan melihat rakyat Singapura tidak membiarkan konflik di Gaza menghakis kepercayaan dan muhibah yang dikongsi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Bercakap pada majlis buka puasa tahunan Pertapis yang diadakan di Orchid Country Club (OCC) pada 17 Mac, Encik Heng berkata:
“Saya berbesar hati melihat masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, mengiktiraf kepentingan melindungi perpaduan dan keharmonian sosial kita, serta tidak membiarkan peristiwa luar memecahbelahkan masyarakat kita.”
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa meskipun sudah 18 bulan sejak konflik di Gaza bermula, rakyat Singapura “tidak membiarkan keadaan di sana menghakis kepercayaan dan muhibah yang dikongsi dalam kalangan masyarakat”.
“Sebaliknya, rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama telah bersama-sama menyumbang dengan sepenuh hati ke arah menghulurkan bantuan kemanusiaan kritikal kepada Gaza,” tambahnya sambil memuji usaha Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) yang telah mengumpulkan lebih $13 juta bagi bantuan kemanusiaan di Gaza.
Menurut Encik Heng, ia merupakan cerminan ciri Masyarakat Gemilang, iaitu masyarakat yang bukan sahaja berusaha mempertingkat taraf kehidupan keluarga, malah menyumbang kepada kemajuan sosial secara menyeluruh.
Seperti pertubuhan lain, antara daya usaha Pertapis ialah Iftar Ramadan, acara tahunan yang menghimpunkan masyarakat, serta memupuk semangat kekitaan, kemasyarakatan dan kebersamaan.
Majlis buka puasa itu telah dianjurkan selama lebih 10 tahun dan pada tahun ini (2025), ia dihadiri lebih 1,000 tetamu daripada keluarga berpendapatan rendah dan penerima zakat.
Antaranya ialah Cik Fatimah Fatollah, 78 tahun, yang meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk berbuka puasa bersama yang lain.
“Selalunya saya berbuka dengan dua orang anak dan dua cucu. Namun, hari ini saya berbuka puasa dengan lebih ramai orang.
“Alhamdulillah, lebih meriah rasanya,” kata Cik Fatimah, yang kurang jelas penglihatannya dan sudah sekitar lima tahun lebih bersama Pertapis.
Antara sokongan dan bantuan yang beliau terima daripada Pertapis termasuk sumbangan barangan dapur asas seperti minyak masak, beras, gula dan susu, serta baucar bernilai $50 setiap bulan, kongsi beliau.
“Iftar ini bukan sekadar satu hidangan, malah ia adalah saat kebersamaan, kemuliaan dan kegembiraan yang dikongsi bersama,” ujar Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin.
Semasa majlis, setiap daripada 500 keluarga turut menerima sumbangan wang tunai $300 bagi meringankan beban kewangan mereka serta membolehkan mereka menumpukan lebih perhatian kepada ibadah sepanjang Ramadan, kata Pertapis dalam kenyataannya.
Secara keseluruhannya, jumlah bantuan yang diberikan semasa majlis ialah $150,000.
“
Saya berbesar hati melihat masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, mengiktiraf kepentingan melindungi perpaduan dan keharmonian sosial kita, serta tidak membiarkan peristiwa luar memecahbelahkan masyarakat kita... Sebaliknya, rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama telah bersama-sama menyumbang dengan sepenuh hati ke arah menghulurkan bantuan kemanusiaan kritikal kepada Gaza.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg