Topik diikuti
Pergi ke BHkuDPPMS semak struktur keahlian, perluas penyertaan masyarakat niaga
DPPMS semak struktur keahlian, perluas penyertaan masyarakat niaga
AGM ke-67 turut saksikan pindaan perlembagaan bagi ahli karyawan tanding dalam pemilihan lembaga pengarah
DPPMS semak struktur keahlian, perluas penyertaan masyarakat niaga
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah memperkenalkan struktur keahlian yang disemak dengan pelancaran kad keahlian baru sebagai sebahagian daripada langkah lebih luas untuk membina masyarakat perniagaan yang lebih erat dan kukuh.
Semakan struktur itu juga akan menyediakan akses lebih mudah bagi ahlinya menikmati manfaat dan perkhidmatan mereka serta peluang jalinan rangkaian, kata DPPMS menyusuli mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-67 mereka yang diadakan pada 4 Jun.
Sebelum ini, DPPMS menawarkan keahlian pada peringkat yang berbeza – Perak, Perak (SME), Emas dan Platinum – dengan harga antara $55 dengan $888 setahun dan manfaat yang berlainan.
Di bawah struktur yang disemak itu, keahlian kini dikurangkan kepada satu peringkat sahaja.
Ahli baharu boleh menikmati kadar pengenalan tahun pertama sebanyak $299, manakala pembaharuan tahunan adalah pada kadar $250.
Sementara itu, satu pindaan perlembagaan juga telah dibuat semasa AGM itu untuk membolehkan ahli karyawan bertanding dalam pemilihan lembaga pengarah DPPMS.
Di bawah perlembagaan terdahulu, ahli karyawan dibenarkan mengundi dan boleh dilantik ke dalam lembaga pengarah selepas AGM, tetapi tidak layak untuk bertanding dalam pemilihan lembaga pengarah.
Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata pindaan itu menunjukkan komitmen pihaknya untuk memperluas penyertaan dan memanfaatkan kepakaran lebih luas dalam masyarakat perniagaan.
“Ahli karyawan membawa kepakaran industri dan perspektif profesional yang berharga.
“Langkah membenarkan mereka bertanding dalam pemilihan dapat memperluas kepelbagaian kepakaran dalam lembaga pengarah, serta mencipta lebih banyak peluang bagi pakar bidang khusus untuk menyumbang secara bermakna kepada DPPMS dan masyarakat perniagaan yang lebih luas,” kata beliau.
AGM tersebut turut menyaksikan beberapa perubahan peranan dalam lembaga pengarah DPPMS:
- Encik Fazli Mansor kini menggalas peranan semasanya sebagai Naib Presiden dan juga peranan baru sebagai bendahari kehormat
- Cik Maslina Mohamed, yang sebelum ini penolong setiausaha kehormat, kini dilantik sebagai setiausaha kehormat
- Encik Hasan Abdul Rahman, yang sebelum ini anggota lembaga pengarah yang dilantik, kini penolong setiausaha kehormat
Dalam pada itu, DPPMS berkata ia sedang meneroka cara memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkat khidmat untuk ahlinya, meningkatkan pendekatan digital dan menyediakan lebih banyak akses kepada maklumat dan sokongan.
Ini termasuk memudahkan akses kepada perkhidmatan DPPMS, dan dasar, insentif serta skim bantuan perniagaan pemerintah yang relevan.
