Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu ‘bukan orang masjid’, kini bimbing anak cintakan institusi ibadah
Dulu ‘bukan orang masjid’, kini bimbing anak cintakan institusi ibadah
Langkah pertama Encik Muhammad Dzulkifly Ahmad Kandias Abdul Ghani, 43 tahun, ke ruang suci masjid bukanlah sesuatu yang pernah disengajakannya.
Ini kerana beliau menganggap dirinya ketika kecil sebagai budak nakal dan bukan ‘orang masjid’.
Namun, dek dipaksa ibunya, Cik Samiah Bakar, 73 tahun, untuk menghadiri kelas agama dan solat Tarawih di Masjid En-Naeem di Hougang ketika di bangku sekolah, rasa cintanya terhadap masjid perlahan-lahan mula berputik.
Pada awalnya, masa Encik Dzulkifly di masjid sekadar dihabiskan dengan berjumpa kawan dan bermain sembunyi-sembunyi dengan mereka.
Namun, menjelang usianya 14 tahun, kehadiran rakan-rakan yang positif serta sokongan ‘keluarga di Masjid En-Naeem’ menjadi titik perubahan dalam hidup beliau.
Suasana itulah yang mengikat jiwanya untuk terus dekat dengan masjid dan tolong menolong, dan akhirnya sehingga kini membawa anak-anaknya untuk berjinak-jinak dengan masjid.
“Pada awalnya saya berasa kekok kerana tidak biasa dengan kehidupan di masjid.
“Namun, kawan-kawan saya di masjid bantu saya jadi selesa... sehinggakan kakitangan dan sukarelawan di sana pun saya anggap sebahagian daripada sebuah keluarga,” imbau bapa kepada tiga orang anak lelaki yang berusia antara satu dengan 14 tahun itu.
Pendedahan sulungnya dalam menabur bakti di Masjid En-Naeem bermula pada 1996 sewaktu beliau berusia 14 tahun, apabila beliau terlibat secara langsung dalam ibadah korban dengan membantu menangkap kambing.
Sejak itu, beliau juga giat membantu dalam pelbagai acara masjid antaranya mengatur, membungkus dan mengagihkan makanan kepada jemaah serta acara seperti korban, beriani amal, dan maulid.
Apabila mencapai usia remaja, dorongan rakan-rakan positif di situ pula menjadi pendorong utama untuk beliau membaiki dirinya.
Ketika menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sekitar 2003 hingga 2004, Encik Dzulkifly bersama dua rakannya menubuhkan sebuah program tuisyen percuma di masjid bagi kanak-kanak Darjah 1 hingga 6 yang memerlukan.
“Akibat bergaul dengan rakan yang salah seawal sekolah rendah dan menengah, pelajaran saya pernah terabai hingga tercicir ke aliran Normal Teknikal,” akui beliau.
“Bila tengok kawan saya belajar di politeknik, saya rasa ‘tak nak kalah’.
“Motivasi itulah yang menolak saya. Bila mereka masuk politeknik, saya di ITE; bila mereka masuk universiti, baru saya dapat masuk politeknik,” katanya yang berjaya menamatkan pengajian di ITE dan politeknik.
Malah, Masjid En-Naeem turut menjadi ruang yang menemukannya dengan jodoh beliau.
Encik Dzulkifly mengenali isterinya apabila Cik Karmilah Hafid, 46 tahun, bertugas sebagai Pengetua Madrasah di sana satu ketika dahulu, kongsinya.
Selain Masjid En-Naeem, Encik Dzulkifly turut berkongsi bahawa beliau pernah meluangkan masa berbakti di Masjid Tentera Diraja di Clementi dari 2007 hingga 2020, selama 13 tahun.
Selepas mendapatkan pengalaman di masjid, Encik Dzulkifly, yang kini merupakan pengasas bersama Adam Explorer (ditubuhkan pada 2021) dan The Family Cornerstone (ditubuhkan pada 2026) – sebuah penyedia latihan dan bimbingan bagi belia dan keluarga – mengorak langkah untuk mendaki tangga pendidikan.
Oleh kerana pengalaman luas dalam bidang kerjayanya, Encik Dzulkifly diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Institut Pengurusan & Teknologi Eropah (EIMT) pada 2023.
Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) di EIMT juga.
Sebagai individu yang membesar di masjid, berita mengenai kes gangguan seksual membabitkan seorang pempengaruh agama baru-baru ini mencetuskan kemarahannya.
Namun, Encik Dzulkifly berpandangan bahawa reputasi institusi suci itu tidak wajar terjejas disebabkan perbuatan seorang individu semata-mata.
“Kita tidak boleh ambil satu kenyataan atau insiden lalu membuat andaian umum terhadap keseluruhan sistem masjid.
“Tindakan sedemikian tidak adil buat institusi masjid dan masyarakat kita,” katanya.
Susulan kes tersebut, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa semakan bagi memperkukuh langkah perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan di Parlimen pada 8 September.
Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum, dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, itu antara lain akan menyemak langkah perlindungan dan pemantauan bagi pengajaran agama secara formal dan tidak formal, kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 30 September.
Biarpun sumbangan baktinya di Masjid En-Naeem tidak lagi seperti kerapnya dahulu, Encik Dzulkifly tetap membawa keluarganya menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di masjid tempat beliau membesar itu.
Beliau kekal yakin dengan keselamatan masjid dan berhasrat mendidik anak-anaknya berbakti sejak kecil, antaranya menerusi kegiatan kutipan tabung masjid.
“Anak-anak kecil ini, biarkan mereka mesra dengan masjid dan berlari-lari di dalamnya. Melalui kebiasaan inilah kita membina dan memupuk generasi masa hadapan,” ujarnya.
Membawa harapan itu, Encik Dzulkifly ingin melihat lebih ramai golongan belia tampil berjinak-jinak dengan masjid dan belajar, bermain, serta mengenali satu sama lain melalui institusi tersebut.
“Yang penting sekali, kaki mesti melangkah masuk ke masjid dulu.
“Bila kita dah di dalam masjid, pengaruh dan sokongan kawan-kawan yang baik itulah yang akan menarik kita untuk terus berada di sana,” ujar Encik Dzulkifly.