Lebih tiga dekad lalu, Cik Masita Ghani memulakan kerjaya sebagai pramugari Singapore Airlines (SIA), melayan penumpang pada ketinggian 30,000 kaki dalam pekerjaan yang sering dikaitkan dengan keanggunan dan glamor
Kini, pada usia 56 tahun, beliau memerah keringat sebagai pengendali gerai nasi lemak di Pasar Serangoon Gardens.
Sebagai individu yang pernah bergaya untuk koleksi kalendar SIA sebagai ‘Singapore Girl’ dalam seragam ikonik sarung kebaya batik, keinginan beliau untuk menyarung apron dan menjual nasi lemak dianggap di luar jangkaannya.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) setelah latar belakang pekerjaannya tular di media sosial, Cik Masita, 56 tahun, berkata: “Apabila kenalan saya dapat tahu saya akan bekerja sebagai penjaja, ada yang meragui pilihan itu.
“Ada yang berkata, ‘Kan sayang… Awak kerja di SQ… Kenapa mahu jadi penjaja?’”
Hakikatnya, tidak pernah terdetik dalam benak fikirannya yang beliau akan menguruskan gerai nasi lemak, Aliff Nasi Lemak, bersama suaminya, Encik Mohammad Firuz Samuri, yang berusia 53 tahun.
Begitu juga, tidak pernah terbayang bahawa beliau akan dipilih bekerja sebagai pramugari SIA.
Walaupun tidak dijangka, ibu bapanya menyambut serta menyokong pilihannya bekerja sebagai seorang penjaja.
“Arwah Ayah pernah bertanya, ‘Awak rasa boleh berjaya?’
“Sebab selepas berhenti kerja di SIA, saya pernah bekerja di Sephora dan Chomel, di mana kerjanya stabil dan gajinya pun baik.
“Tapi saya beritahu ayah, saya mesti cuba. Kalau saya tidak cuba, saya tidak akan tahu,” kata Cik Masita.
Beliau yang memulakan kerjayanya sebagai pramugari pada usia 21 tahun dan berkhidmat selama 10 tahun, mendedahkan bahawa beliau meninggalkan pekerjaannya di Sephora dan Chomel, lalu akhirnya mengikuti suaminya untuk menguruskan gerai, demi meluangkan lebih banyak masa bersama anak tunggalnya yang ketika itu di Darjah 1.
Beliau mengakui bekerja sebagai penjaja penuh dengan cabaran.
Namun, pengalamannya bekerja sebagai pramugari telah membekalkan dirinya dengan kemahiran dan sikap ramah untuk berinteraksi dan menjalin hubungan baik dengan pelanggan di gerainya.
“Walaupun mencabar, tetapi jauh di sudut hati saya tertanya, apa yang awak mahu dalam hidup... Adakah awak akan bahagia bekerja?
“Kerana, jika kerja semata-mata kerja, apa gunanya.
“Cuma kadang-kadang, saya stres dengan suami saya sahaja,” katanya berseloroh.
Kini, setelah bekerja selama 10 tahun di gerai tersebut, Cik Masita menzahirkan harapannya untuk mengendalikan sebuah kedai kecil atau kafe yang menjual nasi lemak, mi rebus dan pisang goreng – sambil mengekalkan keaslian pada rasa masakannya.
“Semua ini lebih kepada masa depan anak saya. Hidup di Singapura bukan mudah, ia memerlukan wang yang banyak.
“Jadi saya mahu anak saya dapat kehidupan yang lebih baik. Lebih baik daripada hidup saya.
“Saya beritahunya, tiada apa yang mustahil. Kenapa? Sebab kerja di SIA pun nampak mustahil. Tetapi saya dapat menjadi ‘calendar girl’. Itu pun saya tak pernah terfikir boleh dapat.
“Pilihan ada pada anda. Kalau awak mahu sesuatu, awak mesti bercita-cita. Kalau tidak buat apa-apa pun, memang tidakk akan jadi. Betul tak? Jadi mesti rajin berusaha,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg