Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Asatizah perlu ada ‘DNA S’pura’ tangani isu agama, kontemporari dalam masyarakat

Keupayaan asatizah galas peranan di luar bidang pengajaran agama tradisional, antaranya dalam kerja sosial, kaunseling dan usaha pemulihan bekas banduan bukti sumbangan lebih luas, impak mereka dalam masyarakat
Aug 28, 2025 | 5:30 AM
Faishal, asatizah, ‘DNA S’pura’, kontemporari dalam masyarakat, 100 hari galas tugas Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), berkongsi tentang pelbagai perkembangan dan usaha yang dijalankan untuk mempertingkat masyarakat Melayu/Islam dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos. Bersama beliau ialah sekumpulan tetamu daripada pelbagai bidang di Singapura yang menyertai sesi bersama beliau. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Terdapat lebih ramai asatizah di Singapura hari ini yang menggalas peranan di luar bidang pengajaran agama tradisional termasuk dalam kerja sosial, kaunseling dan usaha pemulihan bagi bekas banduan.

Ini mencerminkan bukan sahaja kejayaan mereka, bahkan sumbangan yang lebih luas dan yang memberikan impak kepada masyarakat, kata Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal berkata membangunkan asatizah dengan ‘DNA Singapura’ yang bukan hanya memiliki kelayakan agama, malah pemahaman kontemporari yang relevan dengan konteks negara majmuk ini mendorong keputusan yang diambil pucuk kepimpinan untuk mempertingkat sektor agama.

Sebagai contoh, ini boleh dilihat dengan pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang dijadual menerima kohort pelajar pertama pada 2028.

“Dengan SCIS, saya yakin asatizah kita pada masa akan datang boleh menyumbang bukan sahaja kepada negara kita, tetapi kepada pembangunan agama Islam dan masyarakat Islam sedunia juga,” kata beliau.

Demikian kata Dr Faishal dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas tugas selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2025.

Buat julung-julung kalinya, wawancara bersama Dr Faishal itu disertai lima tetamu – Encik Jihad Suhaimi, asatizah bebas dan pengasas Membina Community; Encik Nassar Mohamad Zain, presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM); Cik Yulianna Frederika, pengasas Lepak Conversations; dan Cik Hana Dafina Zulkiffli dan Cik Eliya Mohamed Fawzi, pengasas Play4Good, sebuah inisiatif sukan sambil beramal – yang telah berkongsi pandangan dan bertanyakan soalan berkenaan isu-isu yang menjejas masyarakat Melayu/Islam.

Melengkapkan kumpulan di studio itu ialah koresponden BH, Cik Irma Kamarudin, selaku moderator.

Berkongsi pandangannya, Encik Jihad berkata beliau mengalu-alukan berita terkini tentang SCIS yang bakal mempunyai kampusnya sendiri bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Rochor.

Namun, beliau juga telah mengajukan soalan kepada Dr Faishal untuk mendapatkan pendapat beliau tentang bagaimana identiti asatizah dapat dipertingkat pada masa depan supaya mereka dapat menjadi pembimbing agama dan juga warga negara yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan negara.

Menjawab soalan itu, Dr Faishal berkata golongan asatizah semakin berjaya sejak beberapa tahun lalu, dengan lebih ramai yang menggalas peranan di luar bidang pengajaran agama tradisional di samping terdapat usaha yang dijalankan untuk mempertingkat gaji mereka dan wujudnya rangkaian untuk membangunkan kerjaya mereka.

BH pada Mac telah melaporkan gaji purata lebih 80 peratus asatizah dalam sektor masjid dan madrasah telah naik 5 hingga 12 peratus sejak 2023, menyusuli pelaksanaan inisiatif penyesuaian gaji bagi memenuhi Garis Panduan Gaji Umum (CSG).

Bahkan, 72 peratus asatizah kini membawa pulang gaji lebih $3,000 sebulan berbanding hanya 37 peratus pada 2023.

“Saya berharap… kita boleh membuka lebih banyak peluang kepada para asatizah dan ini akhirnya akan menyumbang kepada kemaslahatan kehidupan masyarakat Islam di Singapura dan juga masyarakat Singapura secara amnya,” katanya.

Ditanya apakah perkembangan selanjutnya yang boleh dijangkakan dari segi gaji dan latihan untuk asatizah, Dr Faishal berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus memantau pembangunan asatizah dan kesan daripada langkah-langkah yang telah dilakar sebelum ini.

Beliau menambah bahawa mereka mahu melihat asatizah berkembang maju bukan sahaja dari segi tanggungjawab atau sumbangan yang diberi, tetapi juga dari segi memiliki kemahiran dan kepakaran lebih luas yang membolehkan mereka bekerja dalam sektor lain yang berkaitan dan terus membangunkan institusi agama.

Yang penting, Dr Faishal berkata adalah penting untuk membangunkan asatizah dengan pemahaman Islam yang kontemporari, lebih-lebih lagi dengan masyarakat menghadapi bermacam isu yang lebih rumit dan pelbagai saban hari.

“Yang paling menarik ialah bagaimana SCIS dengan kerjasama SUSS boleh membangunkan asatizah yang mempunyai DNA luar biasa yang mempunyai konteks yang sesuai dengan Singapura.

“Ini kerana dengan kehidupan yang lebih pelbagai dan juga dengan apa yang sedang terjadi di dunia, tahap pemikiran yang berbeza akan semakin mendalam dan justeru, negara-negara akan memerlukan asatizah dan juga mereka yang mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk melihat isu-isu bukan sahaja dari segi agama, malah juga dari segi bagaimana kita boleh menyatukan masyarakat dunia,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg