Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaedah kerjasama baru dengan badan Melayu/Islam diteroka

Aug 28, 2025 | 5:30 AM
Faishal, 100 hari Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, badan Melayu/Islam
Gambar ini menunjukkan kegiatan mengagih daging korban kepada benefisiari oleh Rangkaian Pemulihan MMO pada 29 Jun. Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pihaknya sedang meneroka pilihan memperluas peranan badan Melayu/Islam (MMO), antaranya dengan memberi sumbangan di kededua peringkat nasional dan di peringkat akar umbi. - Foto fail

Cara baru untuk memperdalam kerjasama dan meningkatkan kolaborasi antara badan-badan Melayu/Islam (MMO) dengan agensi pemerintah dan rangkaian M Kuasa Tiga (M³) kini sedang diterokai, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini sebahagian daripada usaha memberi peluang kepada MMO untuk mempunyai peranan lebih luas bukan sahaja di peringkat nasional, malah juga peringkat akar umbi.

Langkah ini akan membantu memastikan sokongan dan bantuan mencapai golongan yang paling memerlukannya, tambah beliau.

“Kadangkala, apabila kita lakukan beberapa kegiatan, masalahnya selalu adalah mengenai last mile connection. Oleh itu, dengan adanya kolaborasi yang lebih mendalam, kerjasama yang lebih erat dan lebih baik, kita boleh sama-sama turun padang, memberikan sokongan dan juga memberi perangsang kepada setiap individu, lebih-lebih lagi belia kita.

“Ini kerana kita mahukan mereka mempunyai masa depan yang lebih baik supaya mereka boleh meneruskan usaha membangunkan Singapura,” kata beliau.

Dr Faishal berkata demikian dalam satu wawancara studio khas bersama Berita Harian (BH) pada 19 Ogos, sempena 100 hari beliau menggalas peranan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei 2025.

Turut hadir dalam wawancara itu ialah lima tetamu daripada bidang berbeza-beza – pendakwah bebas dan pengasas Membina Community, Encik Jihad Suhaimi; presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain; pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika; dan pengasas Play4Good – inisiatif sukan sambil beramal – Cik Hana Dafina Zulkiffli dan Cik Eliya Mohamed Fawzi. Sesi tersebut dikendalikan oleh wartawan BH, Cik Irma Kamarudin, selaku moderator.

Encik Nassar, dalam wawancara itu, telah melahirkan hasratnya bagi MMO bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan agensi pemerintah dan badan-badan bantu diri lain.

Namun, beliau juga menarik perhatian bahawa meskipun kolaborasi antara MMO yang berbeza boleh membantu mengurangkan duplikasi program atau inisiatif, ia kadangkala secara tidak sengaja boleh “mendatangkan lebih banyak keburukan” daripada kebaikan.

Memberi respons, Dr Faishal berkata beliau menghormati tugas yang dijalankan setiap MMO, namun dengan adanya pendekatan bersama, badan-badan dan agensi akan maklum tentang inisiatif yang dilakarkan satu sama lain berdasarkan data yang ada.

“Ada yang saya dapat maklum balas: ‘Oh, kita tak tahu yang mereka juga ditolong oleh badan ini. Kalau kita tahu, kita boleh salurkan wang ini kepada mereka yang lebih memerlukan’.

“Oleh itu, dengan adanya perkongsian data dan juga apabila kita bekerjasama, kita lebih tahu apakah landskap dalam aspek kita mahu menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau.

Ditanya apakah ada kemungkinan skop M³ diperluas menjadi M Kuasa Empat – merangkumi MMO, selain Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) – pada masa depan, Dr Faishal berkata:

“Insya-Allah (nanti) saya akan kongsi. Sistem sokongan itu mesti ada. Jadi bagaimana kita boleh menyokong usaha ini supaya ia menjadi satu realiti dan memberikan ruang yang lebih mantap supaya semua boleh memainkan peranan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg