Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu, Syed Harun pimpin pasukan petugas pembangunan belia Melayu/Islam

Ini bagi perkasa, buka lebih peluang bagi belia Melayu/Islam S’pura
Aug 24, 2025 | 4:40 PM
Rahayu Mahzam, Syed Harun
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (kanan) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi akan menerajui Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebuah Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam baru akan diwujudkan bagi memperkasakan belia Melayu/Islam serta memberi mereka peluang dan sokongan pada fasa berbeza dalam kehidupan mereka.

Pasukan itu akan diketuai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, serta disokong oleh pelbagai agensi pemerintah dan kumpulan belia tempatan lain.

Ini diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa sesi dialog ‘Teh Tarik Bersama Dr Faishal’ anjuran M³@Geylang Serai dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan di Saffrons Wisma Geylang Serai pada 24 Ogos.

Bercakap kepada media selepas acara itu, Dr Faishal berkata: “Rahayu dan Syed Harun akan bekerjasama dengan pelbagai persekitaran belia – formal, tidak formal, serta di peringkat tempatan dan nasional – untuk melihat bagaimana kita boleh membangunkan pelan belia untuk belia Melayu/Islam”.

Dr Faishal kali pertama mengumumkan inisiatif tersebut semasa berucap di Pesta Belia M Kuasa Tiga (M³) 2025 di Wisma Geylang Serai pada 12 Julai.

Dalam ucapannya ketika itu, beliau berkata sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi memperkukuh pembangunan dan mendekati belia Melayu/Islam bagi memahami dan membantu mencapai aspirasi golongan ini.

Pasukan tersebut akan menyokong Pelan Belia SG, sebuah rancangan tindakan lima tahun di peringkat nasional untuk memperkasa belia menjadi versi terbaik diri mereka dan mencapai aspirasi mereka.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Cik Rahayu berkata usaha pasukan petugas itu akan membina daripada usaha sedia ada dan melibatkan lebih ramai belia untuk memberikan pandangan dan saranan mereka.

Ia juga akan memastikan Pelan Belia SG Nasional, yang diusahakan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan rakan kongsi lain, akan saling melengkapi dan menyokong nuansa dan aspirasi belia Melayu/Islam.

“Saya amat gembira dapat memimpin bersama pasukan petugas ini yang akan mendekati dan meneliti keprihatinan dan aspirasi para belia kita.

“Seperti masyarakat lain, anak muda kita juga berasa bimbang tentang peluang pendidikan dan pekerjaan masa depan. Tapi pada masa yang sama, kami juga akur terdapat keprihatinan yang unik di kalangan masyarakat Melayu/Islam kita.

“Justeru, kami ingin meningkatkan jangkauan kami dan mendekati lebih ramai belia kita agar mereka dapat diberi platform untuk didengari, menggapai peluang baru dan menulis Kisah Singapura mereka bersama rakyat-rakyat yang lain,” kata Cik Rahayu.

Semasa dihubungi BH juga, Dr Syed Harun berkata beliau terharu dengan pengumuman Dr Faishal atas kepercayaannya untuk melibatkan dirinya dalam isu berkepentingan belia.

Menjelaskan tentang peranannya pula, Dr Syed Harun berkata beliau ingin membawa pengalamannya berkhidmat di NYC serta badan-badan masyarakat untuk mencipta lebih banyak peluang bagi belia.

Ini termasuk bagi anak muda yang masih di bangku sekolah, yang sedang mencari peluang kerjaya ataupun yang mempunyai keperluan khusus dalam membina keluarga sendiri.

“Saya sangat teruja melihat bagaimana kita boleh terus melibatkan belia masyarakat Melayu/Islam untuk mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang idea-idea baik mereka untuk mengukir masa depan bersama.

“Selain daripada menyokong keperluan belia, saya juga melihat banyak peluang untuk belia kita, seterusnya, untuk mengambil bahagian secara aktif dalam wacana kebangsaan dan menyumbang dengan kuat kepada hal ehwal masyarakat, mahupun negara,” kata Dr Syed Harun.

Pengerusi Belia Mesra, Encik Iylia Shukor, berkata beliau berharap pasukan petugas baru itu akan melibatkan lebih ramai belia dari latar belakang yang berbeza.

Ini agar para belia dapat berusaha ke arah visi yang sama, bukan sahaja untuk membantu masyarakat Melayu/Islam, malah bagi seluruh rakyat Singapura juga, katanya.

“Saya harap dengan pasukan petugas baru, kami akan mendapat lebih banyak idea yang unik dan segar dari belia-belia dari latar belakang yang berbeza.

“Kepimpinan dan pengalaman Cik Rahayu dan Dr Syed Harun akan membantu mengemudi pasukan petugas untuk memastikan belia kita saling dilengkapi untuk mengharungi landskap masyarakat kita yang semakin berubah,” kata Encik Iylia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, berkata pemerkasaan positif boleh membawa manfaat kepada belia, lebih-lebih lagi apabila mereka berasa dipercayai dan diberi peluang.

“Saya fikir adalah sangat penting untuk mengambil pendekatan bernuansa budaya dan agama.

“Saya berharap pasukan petugas akan memberi tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk golongan muda, dan memperkasakan mereka untuk menerajui dalam menangani isu-isu yang penting kepada komuniti mereka,” katanya.

“Seperti masyarakat lain, anak muda kita juga berasa bimbang tentang peluang pendidikan dan pekerjaan masa depan. Tapi pada masa yang sama, kami juga akur terdapat keprihatinan yang unik di kalangan masyarakat Melayu/Islam kita. Justeru, kami ingin meningkatkan jangkaun kami dan mendekati lebih ramai belia kita agar mereka dapat diberi platform untuk didengari, menggapai peluang baru dan menulis Kisah Singapura mereka bersama rakyat-rakyat yang lain” 
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

“Saya sangat teruja melihat bagaimana kita boleh terus melibatkan belia masyarakat Melayu/Islam untuk mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang idea-idea baik mereka untuk mengukir masa depan bersama. Selain daripada menyokong keperluan belia, saya juga melihat banyak peluang untuk belia kita, seterusnya, untuk mengambil bahagian secara aktif dalam wacana kebangsaan dan menyumbang dengan kuat kepada hal ehwal masyarakat, mahupun negara”
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg