Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Mendaki bina keupayaan, profesionalisme sepanjang 5 tahun lalu

Jun 14, 2025 | 7:57 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, merakam mesej menerusi video sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) Mendaki, yang berlangsung pada 14 Jun.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, merakam mesej menerusi video sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) Mendaki, yang berlangsung pada 14 Jun. - Foto FACEBOOK DR FAISHAL IBRAHIM

Yayasan Mendaki telah membuat perubahan besar dalam membina keupayaan dan profesionalisme sepanjang lima tahun lalu, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook pada 14 Jun, Dr Faishal berkata ini telah dicapai di bawah bimbingan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, selaku timbalan pengerusi Mendaki yang mengambil alih sebagai pengerusi pada 23 Mei lalu, dan juga di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.

Video itu dirakam sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) Mendaki, yang berlangsung pada 14 Jun. Dr Faishal tidak dapat hadir di AGM itu kerana menghadiri majlis tamat pengajian anak lelakinya.

Dalam video tersebut, Dr Faishal turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kerana telah meletakkan asas yang kukuh sebagai mantan pengerusi Mendaki sepanjang tujuh tahun lalu.

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat yang terus menyumbang kepada Mendaki, dengan ada yang meskipun telah bersara, terus berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.

“Inilah kekuatan pemimpin masyarakat kita. Tidak kira apa yang anda lakukan sekarang, kasih sayang dan keprihatinan anda sentiasa bersama masyarakat.

“Dan pada masa yang sama, saya teruja dengan aspirasi untuk masyarakat daripada pemimpin muda kita.

“Idea baru, cara baru untuk berhubung bukan hanya membawa masyarakat ke hadapan, malah membawa kita ke hadapan sebagai satu negara.

“Hanya dengan minat semua, perpaduan dan sokongan aktif ramai rakan kongsi, akan kita jadi lebih kukuh,” kata beliau.

Dalam video itu, beliau turut berkata bahawa Rangkaian Karyawan Mendaki yang telah dibentuk baru-baru ini bagi sektor pertumbuhan adalah idea baik yang memperluaskan sokongan untuk masyarakat mengikut peredaran masa.

“Ia memanfaatkan keinginan karyawan kita untuk berkembang maju dan menyumbang melalui kerjaya mereka, dan pada masa yang sama, mengetengahkan idea baik untuk mempertingkat masyarakat.

“Marilah kita terus mempertingkat masyarakat kita bersama: membantu ibu bapa memberi anak-anak permulaan awal, menggalak pelajar melakukan yang terbaik di sekolah, membantu pekerja menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dengan pembelajaran sepanjang hayat, serta karyawan kita untuk menyumbang kepada masyarakat dengan semangat sama seperti generasi lebih awal kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg