Yayasan Mendaki merancang meluaskan tawaran bagi dermasiswa, pinjaman pelajaran dan biasiswa supaya dapat membantu masyarakat Melayu mengakses peluang bukan sahaja di Singapura, bahkan di luar negara.
Rancangan ini sebahagian usaha untuk memupuk pemimpin dalam industri, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, ketika menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM) tentang strategi baru yang bakal dilaksanakan setelah mengambil alih sebagai pengerusi badan bantu diri itu.
“Apabila kita fikir tentang pemimpin masa lalu, kita fikir tentang pemimpin masyarakat, tetapi kini, kami sedang memikirkan sama ada kepimpinan industri adalah sesuatu yang kami ingin dorong kerana anda mahu bina generasi seterusnya yang bukan hanya terdiri daripada pemimpin masyarakat, bahkan pakar dalam ekonomi juga,” kata Encik Zaqy.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media yang diadakan di Wisma Mendaki pada 14 Jun setelah mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-36 Mendaki.
Encik Zaqy juga berharap Mendaki dapat memainkan peranan dalam menyokong masyarakat Melayu mencapai aspirasi tersebut, antaranya dengan meluaskan tawaran biasiswa.
“Kita melihat semakin ramai anak muda Melayu/Islam yang sebenarnya mampu mendapat kelayakan untuk masuk universiti peringkat tinggi di serata dunia. Tidak semua orang dapat menerima biasiswa Presiden atau biasiswa pemerintah. Kita mahu lihat sama ada kita boleh memberi sokongan supaya ada yang boleh menjadi pemimpin industri,” ujarnya.
Seiring itu, beliau berharap dapat meluaskan tawaran dermasiswa dan pinjaman pelajaran supaya dapat menyokong lebih ramai masyarakat Melayu untuk melanjutkan pengajian mereka mahupun menimba kemahiran baru.
Contohnya, beliau menyarankan agar pinjaman pelajaran – yang kini diluluskan bagi diploma atau ijazah pertama – dapat diluaskan kepada mereka yang ingin menuntut diploma atau ijazah kedua, termasuk juga golongan yang ingin membuat peralihan kepada bidang baru ketika berada di tahap pertengahan kerjaya.
Saranan tersebut, katanya, akan dibincangkan sewaktu rundingan bersama pelbagai pihak berkepentingan sepanjang tiga bulan ini.
Ini termasuk anggota lembaga, pemimpin industri kanan, karyawan, kementerian, rakan masyarakat dan Anggota Parlimen (AP) yang akan sama-sama melakar pelan kerja Mendaki bagi fasa seterusnya dari 2026 hingga 2030.
Pada 14 Jun, Mendaki juga melantik empat anggota baru yang akan menyertai lembaga pengarah Mendaki.
Mereka ialah Encik Mahmud Ahmad, daripada Jamiyah Singapura; Cik Norhaida Kamaludin, daripada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS); Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim daripada Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS); dan Ustazah Dr Rohana Ithnin, daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Anggota yang dipilih semula ialah Encik Ahmed Meeran Mohamed Bilal daripada Persekutuan India Muslim dan Encik Muhammad Hairudin Abdul Hamid daripada Perdaus.
Encik Zaqy menggalas peranan sebagai pengerusi Mendaki sejak 23 Mei lalu, mengambil alih daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Ini diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei lalu semasa membentangkan Kabinet barunya.
SEKILAS PENCAPAIAN MENDAKI
– Penerima bantuan program kendalian Mendaki meningkat 80 peratus dari 2021 hingga 2024.
– Sembilan dalam 10 pelajar program KelasMateMatika (KMM) masuk sekolah rendah tanpa memerlukan sokongan pembelajaran tambahan bagi mata pelajaran Matematik.
– Pada 2023, hampir 65 peratus pelajar Program Tuisyen Mendaki (MTP) lulus dengan baik untuk Matematik PSLE, peningkatan 7 peratus dari 2021, dan lebih 75 peratus pelajar lulus dengan baik untuk GCE Normal Teknikal Matematik, setanding dengan keputusan kebangsaan.
– Sembilan dalam 10 mentee dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di bawah program pementoran #amPowered@ITE berjaya maju ke tahun dua.
– Bilangan anggota dalam rangkaian profesional melonjak kepada lebih 850 pada 2024 berbanding 30 pada 2022, dengan 60 peratus menyumbang secara aktif menerusi pelbagai program.
– Sekitar 200 daripada 550 peserta program Wanita di Tempat Kerja (W@W) berjaya mendapat pekerjaan sejak 2021.
PELANTIKAN LEMBAGA PENGARAH MENDAKI
Anggota baru:
- Encik Mahmud Ahmad, daripada Jamiyah Singapura
- Cik Norhaida Kamaludin, daripada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS)
- Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, daripada Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
- Ustazah Dr Rohana Ithnin, daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas)
Dipilih semula:
- Encik Ahmed Meeran Mohamed Bilal, daripada Persekutuan India Muslim
- Encik Muhammad Hairudin Abdul Hamid, daripada Perdaus
Bersara:
- Cik Hazlina Abdul Halim, daripada PPIS
- Dr Hirman Mohamed Khamis, daripada Guru-Guru Melayu Koperatif Berhad (SGM)
- Ustazah Nur Khadijah Ramli, daripada Pergas
- Encik Rohan Nizam Basheer, daripada KGMS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg