Badan bantu diri Yayasan Mendaki melaporkan lonjakan sebanyak 80 peratus dari segi bilangan individu yang meraih manfaat daripada program dan inisiatif yang dikendalikannya sepanjang empat tahun lalu.
Pada 2024, terdapat lebih 130,000 penerima bantuan berbanding 73,300 pada 2021, yang juga tahun pertama pelan kerja Mendaki selama lima tahun di bawah kepimpinan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang waktu itu juga pengerusi Mendaki.
Kini, Mendaki berada pada tahun terakhir pelan kerja tersebut, dan sedang dalam proses melakar pelan kerja lima tahun akan datang di bawah pemimpin baru, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang sudah mengambil alih sebagai pengerusi baru Mendaki.
Dalam sidang media yang diadakan di Wisma Mendaki pada 14 Jun setelah mesyuarat agung tahunan ke-36 badan bantu diri itu, Encik Zaqy berkata pencapaian tersebut merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan.
Berkat usaha berterusan Mendaki yang ternyata membuahkan hasil, lebih ramai individu kini berpendidikan tinggi, menikmati kejayaan dalam kerjaya mereka dan mencapai tahap kehidupan lebih tinggi, menurutnya.
“Belia kita lebih berkeyakinan, lebih peka akan sekitaran global dan lebih berdaya saing dengan peluang yang wujud bukan hanya di Singapura, tetapi juga di peringkat global.
“Kini kita mempunyai peluang untuk membentuk semula naratif bagi masyarakat Melayu sedang Mendaki melakar hala tuju masa depan,” ujarnya.
Dalam laporan tahunannya, Mendaki menyorot kemajuan program KelasMateMatika (KMM), di mana sembilan dalam 10 pelajar yang menghadiri program tersebut masuk sekolah rendah tanpa memerlukan sokongan pembelajaran tambahan bagi mata pelajaran Matematik.
Dari segi rangkaian profesional, bilangan anggota melonjak kepada lebih 850 pada 2024 berbanding 30 pada 2022, dengan 60 peratus menyumbang secara aktif menerusi pelbagai program dan inisiatif Mendaki.
Selain itu, sekitar 200 daripada 550 wanita yang menyertai program Wanita di Tempat Kerja (W@W) berjaya mendapat pekerjaan sejak 2021.
Bagaimanapun, Encik Zaqy berkata lebih banyak yang perlu dilakukan melebihi pencapaian akademik memandangkan takrif kejayaan sudah berubah.
Ijazah, jelasnya, tidak semestinya menjadi penentu untuk berjaya dalam kerjaya, khususnya pekerjaan yang memberi penekanan terhadap kemahiran seperti bidang teknologi.
“Ekonomi semakin luas. Definisi kejayaan semakin luas. Kita perlu menyokong belia dan anak muda kita dalam pelbagai cara dan membimbing mereka kerana jika mereka tidak sedar akan peluang yang ada... tentang sektor yang sedang tumbuh, mereka akan ketinggalan.
“Ada di antaranya memerlukan mereka untuk membuat keputusan tertentu pada tahap awal. Ada sektor memerlukan anda untuk mahir dalam sains dan fizik jika mahu menjadi juruterbang atau jurutera. Jika mereka mahu berkecimpung dalam bidang teknologi, mereka perlu pandai dalam pengekodan, dan ini bermula dari kecil,” katanya.
Dalam usaha tersebut, Mendaki akan terus bekerjasama dengan rakan korporat, kata Encik Zaqy sambil menambah bahawa sokongan industri penting dalam memastikan anak Melayu berada dalam sektor yang tumbuh dan dapat mengakses peluang bukan sahaja di Singapura tetapi juga di luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg