Ejen yang berminat menawarkan pakej haji pada 2026 telah menghantar permohonan masing-masing untuk berbuat demikian kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kata Setiausaha Kehormat, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad.
Menjawab soalan Berita Harian (BH), beliau berkata belum ada sebarang ejen penjualan (GSA) pakej haji sedemikian yang diberi kelulusan oleh Muis untuk menjual pakej masing-masing.
Muis, pada 30 Oktober, memberitahu BH ia sedang menilai usulan pakej haji yang dikemukakan GSA dan akan mengumumkan senarai GSA yang dilantik, serta pakej haji yang diluluskan sekurang-kurangnya seminggu sebelum Surat Tawaran dikeluarkan.
Dalam kenyataannya pada 24 Oktober, Muis berkata ia akan mengeluarkan Surat Tawaran kepada bakal jemaah haji 2026 pada 1 Disember.
Ia turut mengingatkan bakal jemaah supaya memperoleh khidmat berhubung haji, termasuk pakej haji dan badal haji hanya daripada ejen pelancongan yang diluluskan Muis.
“Muis tegas menggesa agar semua bakal jemaah membeli pakej haji hanya daripada ejen pelancongan rasmi yang dilantik Muis.
“Mendapatkan khidmat ejen pelancongan yang tidak dilantik secara rasmi atau tidak berlesen boleh mengakibatkan aturan perjalanan tidak sah, tidak dibenarkan masuk ke kerajaan Arab Saudi dan berpotensi (mengalami) kerugian (daripada segi) kewangan,” kata Muis.
Bakal jemaah bagi musim haji 2026 dijangka menerima e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai 31 Oktober untuk mendapatkan Surat Hasrat (LOI) di laman web, MyHajSG.
Mereka boleh mengakses akaun peribadi menggunakan Singpass.
Susulan itu, mereka mempunyai tempoh sehingga 21 November, untuk menyatakan hasrat, iaitu sama ada untuk menunaikan ibadah haji pada 2026, menangguh ibadah itu ke tarikh lain atau membatalkan hasrat sama sekali.
Bakal jemaah yang berhasrat menunaikan haji pada 2026 perlu mengambil langkah tambahan sebelum 21 November, iaitu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan sijil kesihatan.
Menyusuli itu, bakal jemaah yang mendapat sijil kesihatan daripada doktor boleh mengesahkan hasrat menunaikan haji pada 2026 di MyHajSg.
Mereka yang disahkan kurang sihat oleh doktor untuk menunaikan haji pada 2026 pula boleh menyatakan hasrat mereka untuk menganjak tarikh haji atau membatalkan hasrat menunaikan haji di laman web yang sama.
Justeru, mereka yang dipilih untuk menunaikan ibadah haji pada 2026 akan menerima surat tawaran.
Ustazah Juyda memberitahu BH pihak Amtas akan berunding dengan GSA yang dilantik untuk menentukan langkah terbaik bagi membantu jemaah haji selepas mereka menerima LOI masing-masing.
“Amtas bersama Muis sedia membantu jemaah yang memerlukan penjelasan lanjut atau ingin mengetahui proses seterusnya,” ujar Ustazah Juyda.
Syarat menunaikan haji untuk musim 2026 mendapat perhatian tambahan kali ini selepas Muis mengumumkan peruntukan syarat baru mendapatkan sijil kesihatan daripada doktor pada 24 Oktober.
Pada hari sama, Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa terkini yang membenarkan individu yang tidak diberikan visa haji disebabkan masalah kesihatan menangguh ibadah haji mereka sehingga sembuh.
Golongan yang disifatkan doktor tidak berkemungkinan sembuh pula dibenarkan mewakilkan orang lain untuk menunaikan haji atau badal haji.
Ia sejajar syarat lebih ketat yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 2026 baru-baru ini.
Sijil kesihatan tersebut, yang diperlukan untuk mendapatkan Visa Haji – dokumen wajib untuk menunaikan haji – antara lain mengesahkan bakal jemaah bebas daripada penyakit kronik seperti buah pinggang dan masalah jantung.
Bakal haji juga dimestikan mampu melaksanakan ibadah haji secara berdikari.
Apabila dihubungi, Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata langkah ketat itu adalah demi kemaslahatan individu terhadap kemampuan fizikal dan kesihatan diri.
Beliau berkata sejauh ini, pihaknya belum menerima sebarang pertanyaan berkenaan syarat baru kerana masih terlalu awal.
Namun, jumlah persoalan dijangka bertambah apabila individu mula menerima LOI masing-masing.
Beberapa GSA lain yang dihubungi BH enggan mengulas lanjut mengenai rancangan mereka membantu bakal jemaah berhubung syarat kesihatan baru.
Meskipun dengan syarat baru yang lebih ketat, kesannya terhadap pengurusan ibadah haji dijangka tidak begitu ketara, kata Ustazah Juyda, yang juga pengurus ejen pelancongan, Noor Mohamad Services & Travel.
“Amtas akan terus bekerjasama dengan Muis serta organisasi lain yang terlibat – sama ada secara langsung atau tidak langsung – dalam pengurusan ibadah haji.
“Memandangkan berita ini masih baru, Amtas dan Muis sedang melakar proses yang akan diikuti oleh jemaah selepas mereka menerima LOI tersebut,” ujarnya.
Musim haji 2026 dijangka bermula pada penghujung Mei 2026, dengan Hari Arafah, iaitu kemuncak haji, dijangka pada 25 Mei atau 26 Mei, bergantung pada pengumuman pihak berkuasa di Saudi.
Singapura boleh menghantar 900 bakal jemaah haji pada 2026, berdasarkan kuota yang diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 24 Oktober.
Dalam pada itu, Muis dalam kenyataannya mengumumkan pemohon haji berusia 70 tahun ke atas yang telah menerima LOI serta disahkan sihat akan diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada 2026.
Ia menambah pihaknya akan menyemak dan menyesuaikan pendekatan itu mengikut keperluan bagi proses pemilihan haji pada masa hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg