Faishal: S’pura tidak abai warisan meski buru kemajuan
Faishal: S’pura tidak abai warisan meski buru kemajuan
Masyarakat Melayu/Islam perlu ambil peluang bangun program di ruang budaya seperti Taman Warisan Melayu, Geylang Serai
Sedang Singapura memburu kemajuan dalam sektor yang berkembang pesat, pemerintah tidak mengabaikan warisan dan budaya kita sebagai masyarakat berbilang kaum, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurutnya, ikon seperti Taman Warisan Melayu, yang disifatkan sebagai aset masyarakat Melayu/Islam, tetap dilihat sebagai aset negara.
Berkongsi kepada wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 12 Februari di Parlimen, Dr Faishal menggesa masyarakat Melayu/Islam agar mengambil peluang dan membangunkan program di ruang ikon budaya seperti Taman Warisan Melayu dan Geylang Serai.
Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata demikian ketika mengulas pengumuman Encik Wong yang menyifatkan pembukaan Taman Warisan Melayu pada April, sebagai antara usaha dalam memperkukuh seni dan budaya Singapura.
Dr Faishal berkata: “Pada saya, amat menarik apabila kita tidak lupakan warisan dan jati diri.
“Maka, saya harap ini adalah satu isyarat bagaimana pemerintah, walaupun mahu maju dalam sektor-sektor yang membangun dengan pesat, tidak lupa dengan diri kita – setiap bangsa, budaya dan warisan.
“Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang dengan apa yang kita boleh lakarkan ataupun bangunkan program di Taman Warisan Melayu dan di daerah Geylang Serai, yang dikira sebagai aset masyarakat kita (Melayu/Islam) yang turut diiktiraf sebagai aset negara.”
Dalam ucapan Belanjawan 2026, Encik Wong berkata masyarakat berbilang budaya juga merupakan sebahagian penting daripada identiti Singapura.
Lantas, langkah akan diambil untuk memperkukuh institusi budaya dan warisan.
Sebagai contoh, Taman Warisan Melayu, yang telah ditutup sejak 2022 bagi kerja pemulihan dan pembangunan semula, akan dibuka semula pada lewat 2026.
Pemerintah juga akan bekerjasama dengan Pusat Kebudayaan Cina Singapura untuk memperluaskan jangkauan dan penglibatannya, serta menyokong Pusat Warisan India bagi mempertingkat usaha mendekati masyarakat dan programnya, umum Encik Wong.
Selain perihal budaya, Dr Faishal turut menggesa masyarakat agar meningkatkan kecekapan dan membina komuniti yang bersatu di Singapura, terutama dengan isu geopolitik sedang bergelora.
“Selaras dengan hasrat Encik Wong, pembangunan tidak seharusnya tertumpu pada peningkatan kecekapan semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana sebagai sebuah masyarakat Singapura, kita terus memelihara keamanan, keharmonian serta menjaga kedaulatan negara.
“Kita harus bangunkan kecekapan kita dan bagaimana kita boleh melestarikan pembangunan masyarakat yang bersatu padu di Singapura,” ujar beliau.
Dr Faishal turut menggariskan inisiatif kecerdasan buatan (AI) sebagai satu usaha yang harus dimanfaatkan masyarakat Melayu/Islam.
Dalam Belanjawan 2026, Encik Wong turut mengumumkan Singapura akan menubuhkan Majlis AI Kebangsaan yang baru bagi menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI negara, dengan beliau sendiri mempengerusikan majlis tersebut.
Akur akan menerima pelbagai luahan kebimbangan, terutamanya daripada ibu bapa mengenai bagaimana membimbing anak-anak agar menggunakan AI dengan bertanggungjawab di rumah dan di sekolah, Dr Faishal berkata:
“Kita mahu anak-anak kita bukan hanya menggunakan AI, tetapi memanfaatkannya dengan bijak dan beretika.
“Maka, saya menyokong usaha untuk memperkukuh keupayaan AI di peringkat nasional.”
Beliau juga menjelaskan pemerintah melihat AI sebagai satu kelebihan strategik untuk negara dan ini selaras dengan Semakan Strategi Ekonomi, yang diumumkan baru-baru ini.
Ia sejajar dengan usaha pemerintah untuk menggalakkan perusahaan dan pekerja, supaya mendakap AI agar Singapura dapat kekal relevan dan berdaya saing di mata dunia, katanya.
Antara langkah yang diumumkan Encik Wong ialah pembentukan Majlis AI Kebangsaan yang baru bagi memacu transformasi AI dalam sektor utama ekonomi negara.
“Kita akan mempergiatkan penggunaannya dalam sektor-sektor utama seperti perkilangan, kesinambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.
“Ini akan memastikan ada peluang pekerjaan untuk melalui peningkatan kemahiran dan keupayaan menghadapi perubahan teknologi termasuk AI,” kata Dr Faishal.
“
“Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang dengan apa yang kita boleh lakarkan ataupun bangunkan program di Taman Warisan Melayu dan di daerah Geylang Serai, yang dikira sebagai aset masyarakat kita (Melayu/Islam) yang turut diiktiraf sebagai aset negara.”
