Lembaga pengelola, jawatankuasa pemandu SCIS diumum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lembaga pengelola, jawatankuasa pemandu SCIS diumum

Faishal: Kedua-dua badan tadbir urus akan sumbang pelbagai kepakaran dalam bentuk pembangunan SCIS
Jan 27, 2026 | 8:04 PM

Lembaga pengelola, jawatankuasa pemandu SCIS diumum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), bersama (dari kiri) anggota Lembaga Pengelola SCIS yang juga Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; Lembaga Pengelola SCIS yang juga mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi; Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; dan Panel Penasihat SCIS yang juga Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), bersama (dari kiri) anggota Lembaga Pengelola SCIS yang juga Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; Lembaga Pengelola SCIS yang juga mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi; Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; dan Panel Penasihat SCIS yang juga Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pakar daripada pelbagai bidang – termasuk agama, ahli akademik berpengalaman dan ketua pertubuhan Melayu/Islam – akan membentuk Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; asatizah mapan, Ustaz Pasuni Maulan; dan Timbalan Setiausaha (Masyarakat dan Belia), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Amy Hing akan membentuk sebahagian daripada 12 anggota Lembaga Pengelola SCIS.

Jawatankuasa Pemandu pula akan merangkumi 19 anggota yang antara lain dianggotai Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad; Anggota Lembaga Pemegang Amanah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Ang Bee Lian; Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis merangkap Pengarah Eksekutif Andalus Corporation, Ustaz Fathurrahman Dawoed; dan Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Profesor Madya Dr Suzaina Kadir.

Penubuhan kedua-dua badan tadbir urus itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Simposium SCIS di Pusat Konvensyen Raffles City pada 27 Januari.

Dr Faishal berkata, kededua kumpulan tersebut akan menyumbangkan kepakaran mereka yang pelbagai dalam membentuk pembangunan SCIS.

“Badan-badan ini terdiri daripada wakil-wakil masyarakat merentasi pelbagai lapisan, termasuk para asatizah mapan, ahli akademik berpengalaman, pembangun kurikulum serta pakar industri, yang akan menyumbangkan kepakaran pelbagai disiplin bagi membentuk pembangunan SCIS.

“Bersama Panel Penasihat SCIS yang telah ditubuhkan pada Jun lalu (2025), mereka akan menyediakan bimbingan kukuh dalam usaha membangunkan SCIS sebagai sebuah institusi yang berwibawa,” katanya.

Menurut Dr Faishal lagi, Lembaga Pengelola akan dipengerusikan oleh mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi; sementara Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu institut itu. 

Lembaga Pengelola SCIS bertujuan untuk menyediakan pengawasan strategik terhadap tadbir urus, hala tuju akademik dan pembangunan institusi SCIS, kata kenyataan media Muis pada 27 Januari.

Antara tanggungjawab utamanya termasuk mengesahkan program akademik dan inisiatif penyelidikan, memastikan kecemerlangan pendidikan yang selaras dengan nilai dan piawaian Singapura, memelihara tadbir urus kewangan serta integriti institusi, dan memupuk ketelusan serta akauntabiliti dalam semua operasi.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu SCIS pula menyelia penubuhan operasi serta pelaksanaan program, dasar dan rangka kerja institusi SCIS, tambah Muis.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menterjemahkan visi strategik Lembaga Pengelola kepada pelan tindakan yang konkrit serta memastikan penyampaian program dilaksanakan dengan berkesan.

Ia juga memastikan setiap operasi kolej selaras dengan prinsip pendidikan Islam, di samping memenuhi piawaian akademik serta keperluan kawal selia Singapura.

Simposium selama satu hari itu menampilkan 350 hadirin – cendekiawan tempatan dan luar negara, pendidik, dan pelajar madrasah yang layak menyertai SCIS pada kali pertama ia dibuka pada suku ketiga 2028.

Ia merangkumi plenari daripada tokoh tempatan dan luar negara, antaranya Profesor Sultan Oman dalam Pengajian Arab dan Islam serta Profesor Terkemuka Redmond Barry, Universiti Melbourne, Profesor Abdullah Saeed.

Selain itu, sesi kumpulan kecil juga diadakan untuk memberi hadirin sekilas gambaran tentang pengalaman pembelajaran SCIS.

Antaranya, bagaimana umat Islam Singapura boleh memanfaatkan warisan agama, tradisi etika, dan pengalaman hidup mereka untuk memperkukuh keharmonian sosial dalam masyarakat berbilang budaya.

Ini di samping penggunaan praktikal Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengajian Islam, dan bagaimana masyarakat beragama menguruskan identiti, tadbir urus, dan pluralisme dalam masyarakat berbilang budaya.

Sekitar 300 hadirin yang menghadiri Simposium Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) termasuk cendekiawan tempatan dan luar negara, pendidik, dan pelajar madrasah yang layak menyertai SCIS pada kali pertama ia dibuka pada suku ketiga 2028.
Sekitar 300 hadirin yang menghadiri Simposium Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) termasuk cendekiawan tempatan dan luar negara, pendidik, dan pelajar madrasah yang layak menyertai SCIS pada kali pertama ia dibuka pada suku ketiga 2028. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bercakap kepada wartawan di simposium itu, Dr Nazirudin berkata, latihan yang perlu diakses oleh pelajar di SCIS harus bersifat pelbagai disiplin disebabkan cabaran masa depan yang semakin kompleks dan pelbagai dimensi.

“Penting untuk ambil kira pandangan dan perspektif yang pelbagai dalam pembangunan kolej, bagi memastikan kolej diurus dengan baik serta menawarkan kurikulum yang kaya dengan pelbagai perspektif tersebut.”

“Pada masa yang sama, para pelajar dibekalkan asas yang kukuh dalam ilmu Islam, sambil dipersiapkan untuk menghadapi dunia moden serta menangani isu-isu dengan keberanian dan kebijaksanaan,” katanya.

Dr Nazirudin menambah bahawa disebabkan hal itu, Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu merangkumi mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran yang pelbagai.

Ini termasuk dalam pembangunan kemahiran dan kompetensi, serta dalam konteks pendidikan tinggi di pelbagai institusi di Singapura.

“Mereka disertakan untuk berikan pandangan, nasihat, dan cadangan bagi memastikan kolej mampu menawarkan program yang dinamik dan dapat melatih bakal pemimpin agama masa depan kita,” ujarnya.

Salah seorang Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Salah seorang Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Ustaz Fathurrahman Dawoed. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Ustaz Fathurrahman pula, yang akan menumpukan pada bidang kurikulum bagi Jawatankuasa Pemandu, berkata kepada Berita Harian (BH), bahawa mereka akan memastikan kurikulum yang dibangunkan berteraskan kepada ciri-ciri agama.

Selain itu, ia juga berdasarkan pendekatan kontekstual, katanya.

“Mereka (pelajar) memahami bahawa kita berada di Singapura, negara yang majmuk, pelbagai agama dan pelbagai bangsa, dan penyelesaian yang ditawarkan juga dapat menyelesaikan masalah khusus di Singapura dan juga boleh menjadi contoh kepada negara-negara yang lain,” kata Ustaz Fathurrahman.

Beliau menambah, kurikulum juga akan bersifat pelbagai bidang agar pendekatan penyelesaian dapat dilihat secara menyeluruh.

Senarai penuh Anggota Lembaga Pengelola:

1. Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi (Pengerusi)

2. Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen

3. Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Nasir

4. Mantan CEO Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah

5. Mantan Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah, Ustaz Pasuni Maulan

6. Pengerusi NHB dan Penasihat Kanan MCCY, Cik Yeoh Chee Yan

7. CFO Kumpulan, Real Kaiten Consultancy & Investments, Encik Azriman Mansor

8. Provos dan Profesor SUSS, Professor Robbie Goh

9. Timbalan Setiausaha (Masyarakat dan Belia), MCCY, Cik Amy Hing

10. Penasihat Kanan MSF, Cik Ang Bee Lian

11. CEO Kumpulan, M Kapital Holdings, Cik Kohe Hassan

12. Ketua Eksekutif SkillsFuture Singapore, Encik Tan Kok Yam

Senarai penuh Anggota Jawatankuasa Pemandu SCIS:

1. Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Nasir (Pengerusi)

2. Timbalan Ketua Eksekutif (Projek Khas), Muis, Dr Albakri Ahmad

3. Penasihat Kanan, MSF, Cik Ang Bee Lian

4. Timbalan Provos, SUSS, Prof Madya Allan Chia

5. Pengarah Kanan, Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan, Muis, Ustazah Farah Mahamood Aljunied

6. Naib Pengerusi, Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd, Ustaz Fathurrahman Dawoed

7. Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar

8. Zamil Kanan di RSIS, NTU, Ustaz Dr Mohamed Ali

9. Timbalan Mufti, Muis, Ustaz Dr Mohd Murat Aris

10. Pengarah Bertanggungjawab bagi Kelompok; Kewangan dan Perkhidmatan Haji, Muis, Cik Norhayati Haron

11. Naib Presiden (Korporat) di SUSS, Dr Winston Ong

12. Pensyarah Kanan dan Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustazah Dr Rohana Ithnin

13. Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Professor Madya Dr Suzaina Kadir.

14. Pengerusi NHB dan Penasihat Kanan, MCCY, Cik Yeoh Chee Yan

15. Mantan CEO Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah

16. Zamil di Pejabat SUSS-IAL, Dr Gog Soon Joo

17. Provos dan Profesor SUSS, Professor Robbie Goh

18. Profesor di RSIS, NTU, Professor Paul Hedges

19. Pensyarah Kanan, NIE, Dr Kang Lu Ming, Trivina

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg