Mufti: Kurikulum SCIS berteras pengetahuan antara disiplin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti: Kurikulum SCIS berteras pengetahuan antara disiplin

Bangun golongan asatizah yang ambil pendekatan holistik dalam tangani isu
Jan 27, 2026 | 8:51 PM

Mufti: Kurikulum SCIS berteras pengetahuan antara disiplin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Simposium SCIS, Singapura, kolej pengajian islam
Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (tengah) berkata penting bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) membantu pelajar untuk menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dan perspektif dalam perbincangan antara satu sama lain. Beliau turut ditemani Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang juga merupakan anggota jawatankuasa pemandu SCIS, Encik Khairul Anwar (kanan) dan ilmuwan Islam dari Universiti Melbourne, Australia, Profesor Abdullah Saeed pada sesi soal jawab di Simposium SCIS. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kurikulum Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan berteraskan pengetahuan antara disiplin bagi membentuk asatizah masa depan yang mengamalkan pendekatan lebih holistik dalam menangani isu-isu masyarakat, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Beliau berkata demikian di Simposium SCIS pada 27 Januari di Pusat Konvensyen Raffles City sambil menekankan kurikulum itu dicorak sebegitu dengan tujuan asatizah tidak mendekati isu-isu tersebut hanya dari satu perspektif – iaitu teks agama semata-mata – tetapi turut mengambil kira perspektif lain seperti Sosiologi.

Beliau menambah tanpa penerapan perspektif tersebut, isu berkaitan keluarga, anak-anak, kewangan atau pembangunan sosial sukar ditangani secara menyeluruh kerana punca masalah sedemikian lazimnya bersifat pelbagai dimensi.

Keadaan ini sekali gus menjadikan usaha membantu keluarga yang berdepan cabaran kurang berkesan.

Bercakap kepada wartawan di simposium yang dihadiri sekitar 350 hadirin itu, Dr Nazirudin berkata:

“Dalam kita mempersiapkan asatizah masa depan untuk menangani isu-isu yang rumit seperti itu, kita perlu membantu mereka untuk mempertimbangkan perspektif-perspektif berbeza dalam isu yang mereka hadapi.

“Pendekatan pengetahuan antara disiplin bermaksud mereka bukan hanya melihat kepada sesuatu isu dari perspektif Fikah sahaja, tetapi sudut Al-Quran, Hadith, Akhlak dan selainnya perlu disepadukan sebagai satu pendekatan yang menyeluruh supaya mereka dapat mengeluarkan panduan bagi masyarakat yang berkesan.”

Dr Nazirudin menambah penting bagi SCIS membantu pelajar menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dan perspektif dalam perbincangan antara satu sama lain.

Beliau berkata: “Ini agar, apabila mereka menghadapi cabaran pada masa depan, mereka mampu melihat cabaran tersebut dengan pemikiran yang lebih luas, serta menawarkan penyelesaian yang berkesan dan mampu memajukan masyarakat, baik dalam kehidupan sosial dan keagamaan.”

Dalam sesi perbincangan beliau, yang menumpukan pada ‘Pengajian Islam Berbilang Disiplin: Pendekatan SCIS’, Dr Nazirudin akur dalam pendekatan antara disiplin ini, terdapat kebimbangan terhadap kehilangan dan pudarnya ilmu-ilmu klasik serta kaitannya dengan keaslian dalam pengajian Islam.

Beliau menegaskan ia bukanlah satu kebimbangan yang remeh, lantas, Dr Nazirudin menambah sebarang program akademik baru dalam pengajian Islam perlu mengambil kira dua perkara dengan serius.

Ini termasuk bagaimana dan di manakah disiplin klasik disertakan dalam kurikulumnya serta bagaimana ia disampaikan kepada pelajar dan pihak berkepentingan lain.

Bukan sahaja pelajar, tetapi juga ibu bapa, guru, dan masyarakat, agar kebimbangan tentang keaslian tidak timbul atau berlarutan.

“Tiada manfaatnya menawarkan pendekatan baru walaupun ia lebih berkesan dan kukuh dari segi pendidikan, tetapi ia disambut dengan keraguan bahkan tidak boleh diterima oleh golongan yang sepatutnya mendapat manfaat.

“Maka, perancangan pendekatan berbilang disiplin kepada disiplin klasik pengajian Islam dan sebaliknya, merupakan proses yang sangat penting dalam mereka semula kurikulum pengajian Islam,” ujar beliau lagi.

Turut menghadiri simposium tersebut ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan beberapa pemimpin agama dan akademik tempatan dan luar negara.

Salah seorang panel, yang juga anggota Jawatankuasa Pemandu SCIS, Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Profesor Madya Dr Suzaina Kadir, berkongsi kini, terdapat masalah sosial dan budaya yang sukar diselesaikan kerana ia sangat kompleks dan saling berkaitan.

Beliau menjelaskan penyelesaiannya memerlukan pengetahuan merentasi pelbagai disiplin kerana masalah tersebut tidak boleh difahami atau diselesaikan melalui satu disiplin sahaja.

Ketika sesi soal jawab, terdapat persoalan daripada hadirin mengenai sama ada pendekatan pengetahuan antara disiplin merupakan sesuatu yang bercita-cita tinggi untuk program sarjana muda.

Panel Penasihat SCIS, yang juga Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong, menasihati masyarakat agar tidak memandang rendah kemampuan belia Singapura.

Beliau, yang merupakan salah seorang panel seminar itu, menjawab: “Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya sama ada mereka bersedia untuk sesuatu yang baru seperti ini.

“Tetapi dengan program yang baik dan guru yang baik, mereka akan menyesuaikan diri.

“Ini adalah ketakutan terhadap sesuatu yang tidak diketahui… tetapi kadangkala kita perlu mencuba, kemudian menjadikannya berhasil dan bersedia untuk berkembang,” tambahnya.

“Pendekatan pengetahuan antara disiplin bermaksud mereka bukan hanya melihat kepada sesuatu isu dari perspektif Fikah sahaja, tetapi sudut Al-Quran, Hadith, Akhlak, dan selainnya perlu disepadukan sebagai satu pendekatan yang menyeluruh supaya mereka dapat mengeluarkan panduan bagi masyarakat yang berkesan.”
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg