Menggubal fatwa berkaitan isu kontemporari adalah satu proses yang rumit dan memerlukan pemahaman mendalam terhadap isu yang dihadapi serta penguasaan kukuh terhadap prinsip Islam, kata Timbalan Mufti Singapura, Dr Izal Mustafa pada 23 Jun.
Bercakap kepada media di Simposium Makmal Fatwa 2025, Dr Izal berkata cabaran utama pertama terletak pada memahami sepenuhnya sifat teknikal dan pelbagai lapisan isu-isu moden – bermula daripada kebimbangan saintifik kepada etika – yang memerlukan perundingan dengan pakar dalam bidang berkaitan agar mengelakkan salah pertimbangan.
Cabaran seterusnya pula melibatkan penerapan prinsip Islam kepada perkara baru dan belum pernah ditangani secara langsung oleh ulama klasik.
Mengakui yang memahami isu dengan lebih tepat sebagai satu cabaran, Dr Izal berkata:
“Untuk menghasilkan fatwa yang tepat, perkara paling utama adalah memahami isu tersebut dengan jelas dan mendalam.
“Kami akan berbincang dengan para pakar agar tidak berlaku sebarang kesilapan dalam membuat satu kesimpulan dan sebagainya.”
Lantaran itu, dalam menghasilkan fatwa berkaitan dengan isu kontemporari adalah penting untuk memahami prinsip agama berkaitan sesuatu isu dengan tepat dalam mengkaji isu kontemporari.
Antara yang diketengahkan semasa simposium itu ialah etika bioperubatan dan kewangan digital – bidang yang belum wujud pada masa lalu – yang memerlukan penilaian semula berdasarkan prinsip syariah dalam konteks kontemporari.
Jelas Dr Izal, adalah penting untuk memastikan fatwa terus relevan dalam memberikan panduan yang jelas kepada masyarakat Islam, khususnya dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
“Fatwa memberi panduan keagamaan kepada masyarakat.
“Selagi mana kehidupan itu ada, selagi itulah masyarakat akan memerlukan panduan agama,” tambah beliau.
Di Singapura, fatwa tidak dikeluarkan oleh seorang individu tetapi melalui proses kerjasama yang ketat.
Satu fatwa itu akan dibincangkan antara jawatankuasa fatwa dan asatizah tempatan sebelum ia diumumkan secara rasmi kepada masyarakat, tambah beliau.
Semasa simposium, Dr Izal telah menjelaskan bagaimana prinsip etika Islam boleh diterapkan dalam teknologi reproduktif moden bagi membimbing pasangan Muslim membuat keputusan berkaitan kesihatan reproduktif.
Pakar Perunding Kanan dalam Perkhidmatan Genetik di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) Dr Saumya Shekhar Jamuar, yang juga Pengarah Institut Perubatan Ketepatan SingHealth Duke-NUS; serta Pengarah Pusat KKIVF dan Bank Sperma Nasional Singapura, Dr Liu Shuling, yang juga Perunding Kanan, Jabatan Perubatan Reproduktif di KKH, membentangkan perkembangan penting dalam bidang kesihatan reproduktif dari sudut perubatan.
Anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), simposium tahunan yang diadakan kali kedua itu menangani keperluan masyarakat Islam yang kian berkembang dalam konteks kehidupan moden.
Turut hadir ialah Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Ayyad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg