Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makmal Fatwa pergiat usaha tarik asatizah, pupuk kepimpinan agama masa depan

Jun 23, 2025 | 8:50 PM
Dr Nazirudin Mohd Nasir, makmal fatwa, simposium
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan peranan Makmal Fatwa dalam melatih generasi pemimpin agama dan menangani isu-isu jangka panjang yang memberi kesan kepada kehidupan beragama. - Foto BH oleh KHALID BABA

Usaha untuk menarik lebih ramai asatizah menyertai Makmal Fatwa sedang dipertingkatkan, kata Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir. 

Ini kerana Makmal Fatwa adalah platform penting untuk memupuk generasi pemimpin agama seterusnya dan menangani cabaran jangka panjang rumit yang dihadapi oleh masyarakat Islam, kata beliau kepada media di Simposium Makmal Fatwa 2025 yang diadakan di Fairmont Singapore pada 23 Jun.

Ditubuhkan pada 2024, Makmal Fatwa bukan sahaja merupakan inisiatif tepat pada masanya bahkan juga penting untuk pembangunan kehidupan beragama di Singapura, tambahnya.

“Ia bukan hanya ruang penyelidikan, malah peluang membentuk kepimpinan agama masa depan – bermula dari isu sebenar yang rumit dan penting kepada masyarakat,” kata beliau.

Sejak penubuhannya, Makmal Fatwa telah menyaksikan “penyertaan aktif daripada asatizah muda”, yang bekerja dalam pasukan untuk mengkaji isu utama dan merumuskan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Fatwa.

Ini termasuk cabaran sejagat dan jangka panjang seperti perubahan iklim, keselamatan makanan, dan kesan cuaca melampau terhadap amalan keagamaan seperti haji.

“Kehidupan beragama kita tidak terlepas daripada perubahan persekitaran. Kita telah melihat bagaimana cuaca ekstrem telah menjejas jemaah menunaikan ibadah di tanah suci.

“Lantaran, Makmal Fatwa memberi ruang kepada kita untuk menjangka perubahan tersebut dan berfikir ke hadapan agar kehidupan beragama kita kekal bermakna dan berdaya tahan,” ujarnya.

Dr Nazirudin menegaskan bahawa cabaran sedemikian tidak boleh ditangani hanya selepas keadaan menjadi kritikal.

Sebaliknya cabaran itu harus dijangkakan dan huraian perlu difikirkan dengan berasaskan prinsip syariah.

Ini termasuk meneroka sumber baru makanan halal sebagai tindak balas kepada anjakan dalam kemampanan pertanian dan pengeluaran ternakan, yang mungkin terjejas oleh pemanasan sejagat.

Matlamatnya adalah untuk memastikan bimbingan agama bukan sahaja kukuh dari segi teori, bahkan juga relevan secara praktikal dan bersedia untuk masa hadapan, tambahnya.

Walaupun sambutan daripada lulusan muda amat menggalakkan, Dr Nazirudin mengakui bahawa inisiatif itu masih dalam fasa awal.

Bagi memastikan kesinambungan jangka panjang Makmal Fatwa, usaha perlu ditumpukan kepada membina kumpulan pengkaji yang terlatih dalam bidang syariah serta memahami konteks semasa dan cabaran masa hadapan.

“Kami sedang meneroka cara untuk mengembangkan usaha ini dan membawa lebih ramai asatizah ke dalam Makmal Fatwa.

“Inisiatif ini bukan sahaja tepat pada masanya – ia penting untuk pembangunan kehidupan beragama di Singapura,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg