Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerak tari penyatu hati penduduk berbilang kaum

Naib Pengerusi Rangkaian Penduduk Compassvale Cape teruja pelajari budaya Cina dan India, melalui peranan sebagai jurutari
Aug 7, 2025 | 3:29 PM
 Rohana Arman,  MAEC Kelab Masyarakat Sengkang, tarian berbilang budaya
Naib Pengerusi Rangkaian Penduduk (RN) Compassvale Cape, Cik Rohana Arman, yang juga Anggota Eksekutif Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Sengkang mengetuai serta menggubah koreografi bagi satu kumpulan tarian berbilang budaya, Kumpulan Tarian Berbilang Budaya Sengkang North. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi sesetengah orang, tarian mungkin sekadar satu bentuk hiburan menceriakan hati.

Namun bagi Cik Rohana Arman, 47 tahun, setiap lenggok langkah dan gerak irama membawa makna lebih mendalam.

Ia bak jambatan yang menghubungkan hati lagi menyatukan masyarakat berbilang latar belakang.

Naib Pengerusi Rangkaian Penduduk (RN) Compassvale Cape itu mengetuai serta menggubah koreografi bagi sebuah kumpulan tarian berbilang budaya yang terdiri daripada peserta pelbagai usia dan kaum, termasuk pesilat, wakil Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (IAEC) Kelab Masyarakat (CC) Sengkang, serta Jawatankuasa Eksekutif Warga Emas (SCEC) CC tersebut.

Kumpulan itu, yang dikenali sebagai Kumpulan Tarian Berbilang Budaya Sengkang North, membuat persembahan sulung mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan di gelanggang Hardcourt CC Sengkang pada 2 Ogos.

Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi salah satu sesi latihan yang diadakan, kelihatan setiap penari bersemangat mengayun tangan, dengan derapan kaki yang selari dengan rentak irama.

Inilah suasana yang menghidupkan dewan setiap Rabu malam, dari 8 malam hingga 9.30 malam, sejak Jun lalu.

Mengenai penyertaan peserta berusia semuda enam tahun hingga mereka yang berusia dalam lingkungan 70-an tahun, Cik Rohana, yang juga Anggota Eksekutif Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Sengkang, berkata: “Saya mahu semua orang rasa mereka dialu-alukan di sini.

“Tak kira bangsa, umur atau pengalaman, asalkan ada minat dan keterbukaan hati untuk datang bersama menari untuk sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-60, kami mengalu-alukan kehadiran mereka.”

Mentor belia berkeperluan khas itu turut melahirkan rasa bangga tatkala melihat mereka bersatu.

“Selalunya persembahan dibuat secara berasingan.

“Contohnya, peserta persembahan silat akan tampil dahulu dan berakhir di situ sahaja, diikuti pula dengan tarian Cina, namun tidak pernah semua persembahan digabungkan.

“Kali ini, saya diminta untuk membantu menggubah sebuah persembahan yang menggabungkan tarian Inggeris untuk silat, Bollywood oleh IAEC, dan tarian Cina oleh SCEC dalam satu lagu, agar semua peserta dapat berinteraksi bersama,” jelas beliau.

Meskipun peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia, Cik Rohana berkata beliau tidak pernah berdepan dengan sebarang perasaan janggal sepanjang mengajar kelas tersebut.

“Setiap bangsa ada lenggok tarian yang berbeza, namun tidak pernah sekali pun saya dengar mereka enggan mencuba dan berkata ‘tak boleh’.

“Mereka sentiasa bersikap terbuka dan positif. Sepanjang saya mengajar, tidak pernah timbul sebarang perasaan negatif,” kata beliau lagi.

Minat Cik Rohanna terhadap tarian berputik sejak sekolah menengah apabila beliau menyertai tarian Melayu sebagai kegiatan kokurikulum (CCA).

Ia terus berkembang apabila beliau mula meneroka budaya lain, termasuk tarian klasik Cina dan Bollywood.

“Saya rasa tarian yang terhasil sangat ekspresif dan cantik.

“Walaupun sudah lama tinggal di Singapura, saya sendiri tak pernah dengar beberapa lagu yang mengiringi persembahan kami. Jadi, saya dapat belajar sesuatu yang baru,” katanya, merujuk kepada pengalaman mempelajari tarian Cina.

Malah, beliau turut belajar melalui YouTube dan bergantung pada jentera terjemahan Google Translate bagi memastikan koreografi yang dihasilkan menghormati keaslian budaya asing itu.

“Saya bergabung dengan guru tarian Cina dan India. Saya juga pastikan saya buat terjemahan yang betul dari segi memahami konteks sesebuah lagu.

“Guru tari Cina dan India ini kemudian memberikan takrifan mereka pula. Inilah kepentingan kita memahami budaya mereka dan menghormati tarian mereka,” ujar Cik Rohana lagi.

Bahkan, apa yang diraih jauh lebih baik.

“Saya bukan saja mengajar tarian, tapi saya sendiri pun banyak belajar, tentang budaya mereka, pakaian tradisional, aksesori seperti kipas dan payung.

“Kita (masyarakat Melayu) pun ada tarian yang menggunakan payung.

“Jadi menarik bila lihat ada elemen yang serupa dalam tarian mereka. Cuma pendekatannya berbeza sedikit.

“Itu yang buatkan pengalamannya lebih menarik,” ujar beliau.

Menerusi persembahan kumpulan ini, Cik Rohana berharap ia “mampu menyampaikan bahawa walaupun masyarakat Singapura berbilang bangsa dan agama, kita boleh bersatu, bekerjasama dan bergembira bersama dengan penuh kejayaan”.

Kali ini, saya diminta untuk membantu menggubah sebuah persembahan yang menggabungkan tarian Inggeris untuk silat, Bollywood oleh IAEC, dan tarian Cina oleh SCEC dalam satu lagu, agar semua peserta dapat berinteraksi bersama.
Cik Rohana Arman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg