Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Sokongan pada acara Golf Amal BH-AMP usaha bangun masyarakat prihatin

Jun 3, 2025 | 6:27 PM
golf amal anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura, Zaqy
Selaku tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura yang akan diadakan di Orchid Country Club pada 22 Julai, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berharap acara tersebut yang diadakan sempena sambutan SG60 dapat meraih sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mencapai sasaran kutipan sebanyak $300,000 untuk tujuan yang amat bermakna. - Foto fail

Menyokong inisiatif seperti acara Golf Amal anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura sempena ulang tahun ke-60 Singapura (SG60) bukan sekadar soal memberi masa, tenaga dan wang ringgit.

Tetapi, ia lebih pada usaha tampil dengan penuh keprihatinan dan kepimpinan untuk membina masyarakat yang lebih penyayang.

Ini lebih-lebih lagi apabila setiap sumbangan membawa selangkah lebih dekat dalam mengubah kehidupan dan memberi harapan kepada mereka yang memerlukan.

Demikian jelas Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, sambil menggesa para penaja dan penderma untuk membantu mencapai sasaran kutipan dana sejumlah $300,000 bagi menyokong keluarga yang memerlukan.

Beliau adalah tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal di Orchid Country Club pada 22 Julai.

“Setiap sumbangan mendekatkan kita kepada usaha murni untuk mengubah kehidupan mereka yang memerlukan.

“Inisiatif seperti ini juga memberi peluang kepada sektor korporat dan individu untuk tampil ke hadapan. Ia bukan sekadar memberi sumbangan, tetapi menunjukkan kepimpinan dan nilai keprihatinan,” kongsi Encik Zaqy kepada Berita Harian (BH) sewaktu dihubungi dalam talian pada 3 Jun.

Demi memenuhi sasaran untuk mengumpul dana daripada penaja korporat dan individu, pelbagai pakej tajaan disediakan untuk penderma, dari peringkat Berlian (Diamond) hingga Individu.

Bagi Tajaan Berlian, mereka akan menerima pengiktirafan eksklusif dalam bahan publisiti, tiga ‘flight’ (kumpulan) dengan 12 pemain (setiap kumpulan mempunyai empat pemain) dan 10 tempat duduk di majlis Makan Malam Gala di Orchid Country Club pada 22 Julai.

Peringkat tertinggi pula dihadkan kepada tiga penaja yang menyumbang $60,000 atau lebih.

Bagi penaja di peringkat Platinum pula, mereka perlu menyumbang sekurang-kurangnya $30,000 dan akan menerima dua ‘flight’ (kumpulan) untuk lapan pemain, 10 tempat duduk di majlis makan malam, serta pengiktirafan dalam bahan promosi acara.

Peringkat ini terhad bagi lima penaja sahaja.

Sementara itu, Tajaan Emas (Gold) memerlukan sumbangan sekurang-kurangnya $10,000 dan terhad kepada tujuh penaja dan Tajaan Perak (Silver) ditawarkan kepada sembilan penaja dengan sumbangan minimum $5,000.

Penaja Individu pula boleh menyumbang $500.

Sumbangan akan kemudian dibahagikan dua antara AMP dan BH, di mana AMP akan menyalurkan dananya kepada benefisiari badan itu, sementara BH akan menyalurkan dananya kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) dan juga dalam bentuk hadiah buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Acara golf amal ini dipengerusikan bersama oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid. Penaung acara ialah mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.

Menurut Encik Nazry, acara tersebut merupakan satu usaha penting dalam meringankan beban golongan memerlukan, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Dana yang dikumpulkan menerusi acara golf amal ini penting untuk menyokong keluarga dan individu, dengan membantu mereka menampung kos sara hidup, berlatarbelakangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Ia sebahagian usaha Berita Harian untuk berbakti kepada masyarakat dan kami komited berkongsi kegembiraan bersama dan membina masyarakat yang inklusif,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Encik Zaqy menyifatkan acara itu sebagai satu peluang bermakna untuk berganding bahu membantu golongan memerlukan, sambil mengukuhkan semangat kekitaan dalam masyarakat.

“Kepada para penaja dan penderma yang sedang mempertimbangkan untuk menyumbang, sokongan anda boleh membawa perubahan besar dan berkekalan.

“Apabila kita bersatu untuk tujuan kebajikan seperti ini, kita bukan sahaja membina dana, tetapi juga menyemai harapan dan semangat perpaduan dalam masyarakat kita,” ujar beliau, yang akan menjadi tetamu terhormat bagi permulaan pusingan golf amal tersebut.

Mereka yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghantar e-mel ke BHAMPcharitygolf@amp.org.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg