Sebanyak $3.995 bilion baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan baucar SG60 telah dibelanjakan sepanjang empat tahun lalu, sejak 2021.
Daripada jumlah tersebut, $2.127 bilion dibelanjakan di gerai penjaja dan kedai kawasan kejiranan, manakala $1.868 bilion dibelanjakan di pasar raya.
Jumlah peniaga kawasan kejiranan dan gerai penjaja yang mengambil bahagian juga telah meningkat daripada 10,000 pada 2021, ketika skim baucar CDC dilancarkan, kepada lebih 24,000.
Terdapat lapan pasar raya dengan lebih 400 cawangan pula menyertai skim itu.
Bercakap kepada media semasa majlis pelancaran baucar CDC terkini di Kelab Masyarakat Punggol 21 pada 2 Januari, Pengerusi Jawatankuasa Mayor, yang juga Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling, berkata skim baucar CDC telah digunakan secara meluas dan terus mendapat sokongan kukuh daripada rakyat Singapura.
Ini dengan kadar tebusan melebihi 97.7 peratus merentasi tujuh peruntukan baucar CDC yang lalu, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Bagi peruntukan baucar CDC terkini, setiap isi rumah rakyat Singapura menerima baucar CDC bernilai $300 mulai 2 Januari.
Baucar CDC tersebut boleh diperolehi dalam talian di go.gov.sg/cdcv.
Pada 2025, isi rumah rakyat Singapura telah menerima baucar CDC bernilai $300 pada Januari, dan tambahan $500 baucar CDC pada Mei.
Semua rakyat Singapura yang layak juga menerima baucar SG60 pada 2025, dengan $800 diberikan kepada mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas, dan $600 kepada rakyat Singapura berumur antara 21 dengan 59 tahun.
Dalam tempoh 12 bulan lalu, jumlah perbelanjaan baucar CDC dan baucar SG60 mencecah lebih $2.398 bilion, dengan $1.22 bilion dibelanjakan di gerai penjaja dan kedai kawasan kejiranan, manakala $1.178 bilion dibelanjakan di pasar raya.
Sebanyak 89 peratus daripada $2.398 bilion itu telah dibelanjakan untuk makanan dan minuman, hidangan harian serta barangan keperluan seharian.
Menurut Cik Low, ia adalah satu petanda skim itu telah mencapai matlamatnya dalam membantu rakyat Singapura memenuhi keperluan harian mereka.
“Ia menunjukkan suntikan perbelanjaan berterusan sebanyak $2.398 bilion sepanjang 12 bulan lalu sememangnya meningkatkan perniagaan kedai kawasan kejiranan dan gerai penjaja.
“Selain peningkatan ekonomi, ia juga telah membawa kepada penghargaan lebih mendalam terhadap kedai kawasan kejiranan dan tawaran tempatan,” kongsi beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).
Cik Low menambah, pelbagai peruntukan baucar itu telah menggalakkan transformasi digital, membolehkan rakyat Singapura serta sebahagian peniaga yang sebelum ini kurang celik digital menerima dan menggunakan baucar secara digital sepanjang empat tahun lalu.
Bagi baucar CDC bernilai $300 yang diagihkan pada Januari 2025, lebih 1.343 juta isi rumah rakyat Singapura – atau 98.8 peratus – telah menebus baucar tersebut sehingga 31 Disember 2025.
Lebih $396 juta telah dibelanjakan, dengan $197 juta digunakan di gerai penjaja dan kedai kawasan kejiranan, manakala baki $199 juta digunakan di pasar raya.
Bagi baucar CDC bernilai $500 yang diagihkan pada Mei 2025, lebih 1.334 juta isi rumah rakyat Singapura – atau 98.1 peratus – telah memperolehi baucar tersebut.
Lebih $652 juta telah dibelanjakan, dengan $325 juta dibelanjakan di gerai penjaja dan kedai kawasan kejiranan, dan $327 juta dibelanjakan di pasar raya sehingga 31 Disember 2025.
Beberapa rantaian pasar raya besar di Singapura akan melengkapi usaha pemerintah membantu rakyat Singapura menguruskan kos yang meningkat melalui skim baucar CDC.
Antaranya, pelanggan di semua pasar raya Giant akan menerima baucar pulangan bernilai $6 apabila berbelanja sekurang-kurangnya $60 dengan menggunakan baucar CDC atau SG60 dari 3 hingga 9 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg