Beberapa rantaian pasar raya besar di Singapura akan melengkapi usaha pemerintah dalam membantu rakyat Singapura menguruskan kos yang meningkat melalui skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Setiap isi rumah rakyat Singapura akan menerima baucar CDC sejumlah $300 mulai 2 Januari.
Jumlah baucar itu diagihkan sama rata untuk digunakan di pasar raya serta gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan yang menyertai skim ini.
Baucar yang sah sehingga 31 Disember ini (2026) boleh diperolehi dalam talian menerusi go.gov.sg/cdcv.
Pelanggan di semua pasar raya Giant akan menerima baucar pulangan bernilai $6 apabila berbelanja sekurang-kurangnya $60 dengan menggunakan baucar CDC atau SG60 dari 3 hingga 9 Januari, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Baucar pulangan ini boleh digunakan dari 4 hingga 18 Januari, tanpa had perbelanjaan minimum.
Pelanggan juga akan menerima baucar pulangan bernilai $6 bagi setiap perbelanjaan $60 apabila menggunakan baucar CDC dalam satu transaksi di mana-mana pasar raya FairPrice.
Ini termasuk FairPrice, FairPrice Finest dan FairPrice Xtra, dari 2 hingga 11 Januari.
Tiada perbelanjaan minimum diperlukan untuk menggunakan baucar pulangan, dan beberapa baucar boleh digunakan dalam satu transaksi.
Baucar pulangan ini sah untuk digunakan dari hari ia dikeluarkan sehingga 27 Februari (2026).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, berkata:
“Apabila keluarga memulakan tahun baru, kami berharap baucar pulangan ini dapat memberikan sedikit sokongan dan membantu meringankan perbelanjaan harian.
“Ini hanyalah usaha permulaan kami sepanjang tahun, ketika kami terus berkembang bersama Singapura dan mencari cara-cara bermakna, besar atau kecil, untuk menjadikan setiap hari lebih baik sedikit bagi masyarakat yang kami berikan khidmat.”
Kumpulan FairPrice juga memperkenalkan inisiatif lain yang bertujuan membantu rakyat Singapura menjimatkan wang.
Ini termasuk melanjutkan skim diskaun harian bagi warga emas, pemegang kad Perintis, Generasi Merdeka, dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) sehingga 31 Disember.
Sheng Siong tidak menawarkan diskaun khas untuk skim baucar CDC, tetapi melanjutkan diskaun 4 peratus sedia ada untuk warga emas sehingga 31 Disember.
Diskaun ini khusus bagi mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas pada Selasa dan Rabu, dengan had perbelanjaan $200 bagi setiap resit sehari.
Diskaun 4 peratus bagi pemegang kad Chas biru pada Khamis akan diteruskan sehingga 30 Jun, manakala diskaun baru 4 peratus bagi pemegang kad Chas jingga setiap Jumaat telah diperkenalkan sehingga 30 Jun.
Isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang antara $1,501 dengan $2,300 layak memohon kad jingga, manakala isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang sejumlah $1,500 dan ke bawah boleh memohon kad biru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg