Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerima dermasiswa LBKM hampir 4 dekad lalu, kini bakti sebagai Presiden
Terima dermasiswa LBKM hampir 4 dekad lalu, kini bakti sebagai Presiden
Abdul Rohim Sarip terajui Majlis Eksekutif LBKM bagi penggal 2026–2028
Terima dermasiswa LBKM hampir 4 dekad lalu, kini bakti sebagai Presiden
Sijil dermasiswa pertama kurniaan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 1987, masih disimpan rapi dengan penuh bangga oleh Encik Abdul Rohim Sarip, 63 tahun.
Dana berjumlah $1,000 amat bermakna buat beliau yang ketika itu menuntut dalam jurusan undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), di samping gigih memberikan kelas tuisyen demi menampung perbelanjaan pengajiannya.
Kini, setelah hampir empat dekad, detik bermakna tercipta buat Encik Rohim pada 23 Mei.
Beliau diamanahkan untuk menerajui Majlis Eksekutif LBKM sebagai Presiden bagi penggal 2026–2028, sekali gus mengambil alih Encik Djuanda Kamid.
Pelantikan itu dirasmikan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) LBKM ke-45 di Holiday Inn Singapore Atrium.
Selain menghargai kepercayaan besar yang diamanahkan kepadanya, Encik Rohim menyatakan azamnya untuk memperkukuhkan hubungan dengan penerima bantuan masa lalu dan sekarang, sekali gus membina ekosistem sokongan yang lebih mantap.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Rohim, yang juga Pengarah Urusan firma guaman A. Rohim LLC, berkata:
“Menerima dermasiswa itu dahulu telah memupuk dorongan dalam diri saya untuk menabur bakti kepada masyarakat dalam apa jua bentuk yang saya mampu.
“Kini, saya mahu menyuburkan semangat serupa dalam kalangan para penerima bantuan kami, sekali gus memperhebat ekosistem sokongan yang sedia ada.
“Kami berhasrat mencapai ini melalui lebih sesi penglibatan bersama para penerima bantuan kami, untuk meneliti cara berbeza kami boleh menggembleng pengalaman serta kepakaran mereka.”
Ia termasuk menggembleng pengalaman serta kepakaran sekitar 20,000 penerima biasiswa dan dermasiswa LBKM dalam tempoh 10 tahun lalu.
Encik Rohim telah berkhidmat di LBKM sejak 2018 sebagai ahli Majlis Eksekutif.
Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dari 2009 hingga 2013, serta menerajui pertubuhan perlindungan mangsa keganasan keluarga, Casa Raudha, dari 2019 hingga 2021.
Dalam ucapannya di AGM, Encik Rohim menyatakan bahawa pelajar kini perlu mengemudi cabaran dan persekitaran pendidikan yang semakin kompleks.
“Laluan pendidikan tidak lagi mengikut laluan yang lurus atau mudah diramal. Anak-anak muda kini meniti laluan yang berbeza dan berdepan kepayahan pada detik yang berlainan.”
Justeru, beliau melahirkan visi untuk memastikan LBKM bukan sekadar membantu melalui hubungan ‘memberi dan menerima’, malah memperluas jaringan sokongan mereka demi memperkukuh landskap pendidikan buat jangka panjang.
Ia termasuk memperkukuh jalinan bersama pertubuhan Melayu/Muslim (MMO), agensi perkhidmatan sosial (SSA), sekolah dan rangkaian keluarga untuk menjadi ‘rakan kedermawanan’ demi mencapai matlamat itu.
Sementara itu, Majlis Eksekutif LBKM juga akan meneroka lecerdasan buatan (AI) sebagai kaedah untuk mempertingkatkan khidmat lembaga itu.
Dalam pada itu, LBKM mendedahkan semasa AGM bahawa ia telah mengagihkan bantuan kewangan sebanyak $2,728,950 kepada pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sokongan itu diagihkan kepada lebih 2,000 para pelajar menerusi pelbagai skim seperti dermasiswa, biasiswa serta skim bantuan pendidikan yang lain.
LBKM juga melancarkan Program Penajaan Prasiswazah Maybank Islamic Berhad, yang menyaksikan seramai 15 pelajar masing-masing menerima dana sebanyak $10,000.
Encik Rohim yakin bahawa 11 ahli Majlis Eksekutif yang telah dilantik merupakan gandingan antara pakar berpengalaman dengan baharu yang baik untuk memperhebat khidmat LBKM secara berkesan.
Barisan anggota ini mempunyai kepakaran dalam pelbagai sektor termasuk perundangan, isu perubahan iklim dan kemampanan, kewangan, hal ehwal agama, korporat serta bidang-bidang lain.
Majlis Eksekutif LBKM (2026 – 2028)
Presiden: Encik Abdul Rohim Sarip
Ahli Majlis Eksekutif:
1. Cik Attiya Ashraf Ali
2. Encik Mohammad Haireez Mohameed Jufferie
3. Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid
4. Cik Rahayu Mohamad
5. Encik Ridhwan Mohd Basor
6. Cik Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid
7. Cik Zulaifah Abdul Ghani
8. Encik Fathuddin Abdul Hamid
9. Encik Muhammad Nuzaihan Hamdan
10. Cik Nur Khairah Abdul Rahim
11. Cik Nurhazimah Abdul Halim
