Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesan arwah ibu pembakar semangat penerima perintis geran LBKM, Maybank

Nov 15, 2025 | 8:30 PM
Muhammad Hakim Mohd Raziff, LBKM, Maybank
Encik Muhammad Hakim Mohd Raziff adalah antara tujuh penerima perintis bagi Program Tajaan MIB, hasil kerjasama sulung Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Maybank Singapura, yang disampaikan kepada pelajar kursus ijazah Sarjana Muda dari universiti tempatan.  - Foto BM oleh DESMOND WEE

Proses menyelami selok-belok mata pelajaran Prinsip Perakaunan (POA) tidak bermula di sekolah, tetapi di meja makan rumah Encik Muhammad Hakim Mohd Raziff, di sisi ibunya, Allahyarhamha Haslinah Ramli, yang sabar dan tekun membimbingnya.

Minat Encik Hakim, kini 22 tahun, dalam subjek Matematik memang sudah menyerlah tetapi kerjaya arwah ibunya sebagai seorang bekas akauntan lebih memupuk cintanya terhadap angka dan dunia perakaunan di samping merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak.

Sejak 2021, Allahyarhamha Haslinah berjuang melawan barah paru-paru dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Oktober, hanya sehari sebelum hari lahir Encik Hakim yang ke-22.

Gambar keluarga Encik Hakim (kiri) pada 2021 semasa majlis perkahwinan abang sulungya, Encik Muhammad Haziq Mohd Raziff.
Gambar keluarga Encik Hakim (kiri) pada 2021 semasa majlis perkahwinan abang sulungya, Encik Muhammad Haziq Mohd Raziff. - Foto ihsan MUHAMMAD HAKIM MOHD RAZIFF

“Saya bukan sahaja kehilangan seorang ibu. Tetapi juga pendamping dan rakan baik saya.

“Dialah tempat saya mengadu dan segalanya buat saya,” ujar anak kedua dalam tiga beradik itu kepada Berita Minggu (BM), dengan kelopak matanya bergenangan air mata.

Encik Hakim akur pemergian ibunya yang berusia 52 tahun itu, satu peristiwa paling sukar dalam kehidupannya dan pahit ditelan.

Pada tempoh itu, beliau masih lagi menyesuaikan diri dengan rutin dan pelajaran sebagai mahasiswa tahun pertama di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam bidang perakaunan terutama.

Banyak penyesuaian perlu dibuat memandangkan beliau kembali ke dewan kuliah setelah dua tahun menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Namun, sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk teruskan kehidupan, Encik Hakim masih mengingati bagaimana arwah ibunya sering mengulangi nasihat yang kini menjadi pegangannya, iaitu “Kalau kita buat sesuatu, buatlah betul-betul dan dengan sempurna.”

Encik Hakim (kiri) menerima geran $10,000 dalam membantu kos perbelanjaan universitinya. Bersama dalam gambar ialah Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Encik Hakim (kiri) menerima geran $10,000 dalam membantu kos perbelanjaan universitinya. Bersama dalam gambar ialah Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Pesanan itu bukan sahaja menjadi panduan belajar, tetapi menjadi prinsip hidup yang membentuk disiplin dan keazamannya.

Daya tahan dan tekad itu jugalah yang membolehkan Encik Hakim diiktiraf Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), apabila beliau diumumkan sebagai salah seorang penerima geran baru di bawah Program Tajaan MIB, pada Majlis Anugerah Biasiswa Tahunan LBKM ke-60, di Pusat Konvensyen Suntec pada 15 November.

Beliau merupakan antara tujuh penerima perintis program hasil kerjasama LBKM dan Maybank Singapura, yang menaja mahasiswa kursus ijazah Sarjana Muda dari universiti tempatan di Singapura.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, telah menyampaikan geran bernilai $10,000 seorang yang bertujuan membentuk bakat dalam bidang kewangan sambil memupuk semangat relawan dan sumbangan masyarakat.

Pada 2025, LBKM menyalurkan $1.37 juta kepada 656 pelajar — jumlah penerima dan agihan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Ketika ditemui BM, Encik Hakim melahirkan kesyukurannya kerana geran tersebut dapat meringankan kos perbelanjaan serta yuran sekolahnya.

Pemangku Presiden LBKM, Encik Djuanda Kamid, dalam ucapannya menyorot perjalanan Encik Hakim sebagai contoh ketabahan dan kasih sayang keluarga yang membentuk perwatakan seorang pelajar contoh.

“Hakim adalah antara penerima perintis Program Tajaan MIB, dan haluan yang dipilihnya bukan secara rambang. Ia adalah penghormatan penuh kasih kepada arwah ibunya, seorang bekas akauntan yang membimbingnya sejak di bangku sekolah.

“Perjalanan Hakim mengingatkan kita bahawa ukuran sebenar kejayaan bukan hanya pada sijil, tetapi pada kasih dan ketahanan yang diwarisi daripada insan yang telah membuka jalan untuk kita,” ujar Encik Djuanda.

Menyentuh peranan LBKM, beliau menegaskan sokongan pertubuhan itu jauh melangkaui bantuan kewangan semata-mata.

“LBKM bukan hanya sebuah pertubuhan yang memberi bantuan kewangan. Kami merupakan satu ekosistem yang saling terhubung, memastikan setiap anak muda mendapat apa yang mereka perlukan untuk berkembang dengan kukuh,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg