Meskipun penyesuaian harga berdasarkan keadaan pasaran semasa dan permintaan, julat harga bagi pelbagai daging korban kekal stabil sejak 2024, kata SalamSG.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), SalamSG berkata harga ternakan tahunan ditentukan dengan teliti, mengimbangi kadar pasaran, kos logistik, dan akses masyarakat bagi memastikan setiap keluarga Muslim boleh mengambil bahagian.
Dalam pada itu, penyedia khidmat korban persendirian seperti Aliyah Rizq Farm, Qurban Now, dan Korban Singapore juga telah mengekalkan harga, dengan antaranya secara aktif meneroka cara menjadikan korban lebih mampu milik.
Ini termasuk usaha menurunkan harga secara beransur-ansur atau menyerap kos yang semakin meningkat.
SalamSG berkata: “Kami bekerjasama rapat dengan vendor bagi merundingkan harga kompetitif agar setiap keluarga Muslim, tanpa mengira keadaan kewangan mereka, dapat melaksanakan kewajipan agama yang penting ini.
“Harga ternakan tahunan ditentukan melalui pertimbangan teliti pelbagai faktor, mengimbangi kadar pasaran dan kos logistik sambil mengutamakan kebolehcapaian masyarakat.”
Untuk 2025, SalamSG menawarkan kambing pada harga $360 seekor, kambing biri-biri pada harga $365 seekor, dan lembu (satu daripada tujuh bahagian) pada harga $365.
Harga kambing biri-biri dikekalkan pada $360 seekor sejak 2023, sementara harga seekor kambing dan lembu (satu daripada tujuh bahagian) turun sedikit – daripada $375 pada 2024 dan $380 pada 2023 – mengikut perubahan pasaran dan permintaan semasa, tambah SalamSG.
Sekitar 60 peratus daripada mereka yang melakukan ibadah korban, memilih untuk mendermakan keseluruhan daging korban mereka pada 2023 dan 2024, berbanding mengambil daging korban tersebut.
“Kami yakin trend ini akan berterusan dan membolehkan kami memperkayakan kehidupan lebih ramai umat Islam, baik di Singapura mahupun di peringkat global, khususnya dalam usaha membantu golongan yang memerlukan,” kata SalamSG.
Penyedia perkhidmatan korban persendirian turut melaporkan trend harga yang stabil serta permintaan yang berterusan, dengan Aliyah Rizq Farm mencatatkan penurunan harga kambing korban tempatan daripada $675 pada 2023, kepada $667 pada 2024, dan kini $659 pada 2025.
Pengarahnya, Cik Nabilah Bagarib berkata: “Usaha menurunkan harga setiap tahun adalah bagi memastikan perkhidmatan kekal mampu diakses oleh masyarakat.
“Walaupun kos operasi meningkat, kami sentiasa mencari jalan menurunkan harga bagi menjadikannya lebih mampu milik.”
Harga ditentukan secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor-faktor seperti permintaan dan bekalan, cukai, kos makanan ternakan, logistik, harga haiwan, serta perbelanjaan operasi dan tenaga kerja secara keseluruhan, jelas beliau.
Aliyah Rizq Farm telah menyaksikan permintaan tempatan meningkat daripada 320 ekor haiwan pada 2021 kepada 850 pada 2024, dengan sasaran sebanyak 1,050 ekor pada 2025.
Qurban Now pula mengekalkan tumpuan pada pasaran Afrika sejak 2020, dengan harga kambing bernilai $160 dan $590 bagi lembu (keseluruhan tujuh bahagian) pada 2025.
Pengasas Qurban Now, Encik Farehan Hussein, berkata: “Kami menyerap sebahagian besar kenaikan kos untuk memastikan ibadah ini kekal mampu bagi masyarakat.”
Beliau akur bahawa kenaikan kos global dan ketidaktentuan antarabangsa, termasuk perang perdagangan yang berlaku, boleh memberi kesan kepada kos logistik.
Namun, Qurban Now telah “mengurus pelarasan harga dengan teliti selama ini agar tidak membebankan pelanggan dengan kos tambahan”.
Korban Singapore pula menyaksikan permintaan yang stabil sejak 2021, kata Encik Meeran, dengan sebahagian besar daripada pelanggannya memilih untuk mengagihkan daging korban ke luar negara seperti Myanmar, Indonesia dan Burkina Faso.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg