Hasrat sambut ulang tahun perkahwinan tukar tragedi ngeri bagi pempengaruh media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasrat sambut ulang tahun perkahwinan tukar tragedi ngeri bagi pempengaruh media sosial

Kereta dipandu terlibat dalam nahas di lebuhraya dekat Seremban; mujur kededua alami cedera ringan namun terus dipalit trauma
Mar 8, 2026 | 10:57 PM

Hasrat sambut ulang tahun perkahwinan tukar tragedi ngeri bagi pempengaruh media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ulang tahun perkahwinan, tragedi ngeri,  pempengaruh media sosial
Encik Raja Razie bersama isterinya, Cik Nursyah Amran. - Foto tangkap layar INSTAGRAM RAJA RAZIE

Hasrat ingin berbelanja untuk Hari Raya dan sambut ulang tahun perkahwinan yang ke-18 bertukar menjadi pengalaman mengerikan bagi pempengaruh media sosial, Encik Raja Razie dan isterinya, Cik Nursyah Amran.

Ini selepas kereta SUV yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di lebuhraya sekitar Seremban sehingga kenderaan itu tergolek beberapa kali dan tercampak ke laluan bertentangan, pada 6 Mac.

Mujur kedua-dua mereka hanya mengalami kecederaan ringan namun sehingga kini mereka masih mengalami trauma.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Encik Razie berkata isterinya masih mengalami trauma yang mendalam sehingga tidak boleh duduk diam di hotel dan perlu terus berjalan, selain sering menangis serta kerap terjaga daripada tidur pada waktu malam.

“Beliau mengalami trauma klaustrofobia yang teruk sebab terperangkap di dalam kereta yang remuk dan tidak bergerak ketika kemalangan itu berlaku.

“Setiap kali ada yang menghantar mesej atau call, beliau pasti akan menangis.

“Beliau cenderung untuk fikir macam-macam, terutamanya what if, kadangkala perkara-perkara ngeri itu tetap bermain dalam fikirannya,” ujar Encik Razie.

Walau bagaimanapun, Encik Razie bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku padanya dan keluarganya.

Kereta Encik Raja Razie selepas mengalai kemalangan di sekitar Bandar Ainsdale – Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan (267.7 kilometer) pada 6 Mac.
Kereta Encik Raja Razie selepas mengalai kemalangan di sekitar Bandar Ainsdale – Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan (267.7 kilometer) pada 6 Mac. - Foto tangkap layar INSTAGRAM RAJA RAZIE

Ia bermula sebagai perjalanan biasa ke Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun perkahwinan ke-18 mereka yang jatuh pada 7 Mac.

Selain meluangkan masa bersama, pasangan itu juga berhasrat untuk membeli-belah persiapan Hari Raya.

Pasangan yang mempunyai empat anak itu memulakan perjalanan dari Singapura sekitar 11 pagi pada 6 Mac.

Segalanya berubah apabila mereka berada sekitar Bandar Ainsdale – Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan (267.7 kilometer), menghampiri Nilai.

Sekitar 2.30 hingga 2.45 petang, Encik Razie yang memandu di lorong kedua dari kanan cuba mengelak sebuah kereta berwarna biru yang tiba-tiba memasuki laluannya dari lorong ketiga.

Akibat terperanjat, beliau memusingkan stereng ke kanan sehingga kenderaannya tergelincir laju, namun cubaan balas untuk mengawal semula kereta ke arah kiri menyebabkan ia berpusing laju lalu merempuh sebuah lori putih di lorong keempat.

Impak rempuhan itu mengakibatkan SUV beliau tergolek beberapa kali sebelum tercampak ke laluan bertentangan.

Menerusi satu hantaran Instagram, Encik Razie memuat naikkan rakaman kamera papan pemuka salah satu pemandu kereta di mana ia memaparkan kereta beliau dan lori putih itu turut tergolek.

“Ketika itu, saya dapat rasakan kereta saya tergolek beberapa kali, dan isteri saya sudah terpekik.

“Saya sudah mengucapkan kalimah syahadah dan memikirkan... ini adalah pengakhiran saya,” katanya yang masih berada di Kuala Lumpur semasa dihubungi wartawan.

Manakan tidak, dalam satu lagi video yang dimuatnaikkan Encik Razie di Instagram, keretanya remuk hancur.

Bahagian depan kereta remuk, beberapa tingkap bahagian belakang pecah dan barangannya seperti kerusi lipatnya tercampak keluar.

“Kami bernasib baik memakai tali keledar, dapat juga tahan kami daripada tercampak,” tambahnya.

View post on Instagram
 

Kata-kata syukur tidak lekang daripada bibir Encik Razie sepanjang wawancara bersama BH.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji pengguna jalan raya Malaysia yang sangat perihatin dan membantu beliau dan isterinya.

Menurutnya, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, terdapat pasangan India dari Malaysia yang cuba membantu.

Pasangan India itu kemudian menumpangkan mereka berdua untuk ke toll yang berhampiran bagi membuat laporan polis.

“Setibanya kami di toll, sekumpulan warga Malaysia, salah seorang daripada mereka namanya Apit, pula datang dan berkata mereka akan menolong saya tunda kereta saya balik ke Singapura,” kata Encik Razie yang berkongsi bahawa keretanya sudah pun tiba di salah satu bengkel di sini.

Mereka kemudian menaiki Grab untuk ke Kuala Lumpur.

Apabila pasangan itu menjalani pemeriksaan di klinik berdekatan, mereka didapati hanya mengalami kecederaan ringan, antaranya gusi bengkak dan bibir Cik Nursyah luka.

Bagaimanapun, Encik Razie dan isteri merancang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di hospital Singapura sebaik pulang ke tanah air bagi memantau sebarang risiko kecederaan dalaman yang tersembunyi.

Beliau juga akan menguruskan kenderaannya – sama ada ia masih boleh dibaiki oleh pihak bengkel atau perlu dikira sebagai rugi secara keseluruhan.

Apabila ditanya bagaimana pasangan itu akan pulang ke Singapura, Encik Razie berkongsi bahawa sejurus selepas beliau memuat naikkan kejadian itu di Instagram, sepasang suami isteri dari sini telah menawarkan diri untuk memandu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menjemput dan membawa mereka pulang.

Mereka ialah Encik Shah Yusof dan Cik Tisha Salim dan setakat 8 Mac, mereka sudah dalam perjalanan pulang ke Singapura.

“Selepas mereka ketahui mengenai kejadian itu, mereka terus hubungi kami dan tanyakan khabar.

“Mereka sebenarnya berada di Absolut Bazaar pada 7 Mac dan berkata ‘Ok 2 pagi nanti kami akan pergi ke Kuala Lumpur’. Saya sangat menghargai bantuan yang dihulurkan ini,” katanya yang menghargai setiap doa daripada pengikutnya.

Di sebalik detik cemas yang menimpa, Encik Razie memanjatkan rasa syukur kerana mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan yang mengancam nyawa.

Beliau mengakui tidak sanggup membayangkan nasib keempat-empat anaknya sekiranya perkara yang lebih buruk berlaku kepada mereka sekeluarga.

Encik Razie mendedahkan bahawa tragedi tersebut mungkin menjadi lebih parah jika anak-anak mereka turut ikut serta.

Beliau pada awalnya ingin membawa mereka bersama namun, Cik Nursyah tidak bersetuju memandangkan mereka perlu ke sekolah pada Isnin itu.

“Saya bersyukur Allah beri saya peluang sekali lagi.

“Saya tidak dapat membayangkan sekiranya mereka sudah tiada, saya bersyukur kerana anak-anaknya tidak ikut serta.

“Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku pada keluarga saya,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg