Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan meriah yang diraikan bersama keluarga, dengan kunjung-mengunjungi sanak saudara untuk mengeratkan silaturahim.
Namun, tidak semua orang dapat menikmati suasana syahdu Lebaran bersama keluarga.
Bagi segelintir anak-anak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Hari Raya mereka disambut di rumah kebajikan tersebut, jauh daripada pangkuan keluarga tersayang.
Meskipun tidak di samping keluarga, Hari Raya Aidilfitri mereka tidak sepi.
Ketua rumah tersebut, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, seiring kakitangan RKM, sama-sama membawa keceriaan kepada penghuni tersebut dengan mengatur kegiatan sepanjang hari untuk mereka.
Ia termasuk menyediakan lauk-pauk Hari Raya pada malam dan pagi Raya, bermain bunga api, solat bersama di pagi Raya, mengadakan tayangan filem, dan mengajak mereka berjalan Raya ke rumah kakitangan.
Bahkan, beberapa kakitangan RKM turut mengorbankan masa bersama keluarga untuk menemani anak-anak tersebut pada Hari Raya.
“Bagi keluarga biasa, kita ada keluarga di rumah dan bila Hari Raya, kita berkumpul bersama. Tetapi untuk anak-anak di sini, tak semua yang dapat pengalaman begitu.
“Ada yang kehilangan ibu bapa, dan ada yang tidak dapat kembali kepada keluarga atas dasar-dasar keselamatan dan sebagainya,” kata Cik Rahmatunnisa, yang telah berkhidmat di RKM selama tiga dekad.
“Oleh itu, antara kegiatan yang kita adakan adalah untuk menyediakan makanan Hari Raya, main bunga api dan sebagainya, untuk menghidupkan suasana Hari Raya.
“Itu antara yang kita lakukan di sini supaya mereka rasa normal, mereka rasa ada orang prihatin kepada mereka dan mereka dapat menjalani hidup seperti biasa.”
Cik Rahmatunnisa berkongsi bahawa dahulu, bilangan anak-anak RKM yang tidak dapat pulang ke rumah semasa Hari Raya tidak begitu ramai.
Oleh itu, kakitangan rumah kebajikan tersebut dapat membawa pulang anak-anak tersebut supaya mereka dapat beraya bersama keluarga kakitangan, dan rumah tersebut dapat ditutup untuk beberapa hari.
Namun, sejak Covid-19 dan mereka berpindah ke lokasi baru di 101 Pasir Ris Road pada 2021, profil penghuni mereka telah berubah.
Dahulu rumah itu menempatkan lebih ramai profil pesalah juvenil dan golongan yang tidak dapat dikawal ibu bapa.
Namun hari ini, penghuni mereka lebih kepada anak-anak yang kurang bernasib baik, dianiaya atau diabaikan, dan tidak mempunyai tempat tinggal yang kondusif – yang bermakna ramai yang tidak dapat pulang ke rumah atas dasar keselamatan, jelas Cik Rahmatunnisa.
Bahkan, terdapat sekitar 14 daripada 40 penghuni RKM yang tidak dapat pulang ke rumah untuk beraya pada 2025.
Cik Rahmatunnisa berkata tidak dapat dinafikan ada antara anak-anak itu yang rindu pada keluarga mereka.
Namun, beliau dan kakitangan RKM cuba sedaya upaya untuk mewujudkan suasana menyambut Hari Raya seperti satu keluarga besar di rumah itu.
“Kami di RKM ibarat keluarga yang besar. Bagi kakitangan yang lebih dewasa, mereka dianggap sebagai ibu dan bapa, dan yang lebih muda pula sebagai abang dan kakak kepada anak-anak di sini.
“Jadi, ia seperti keluarga besar. Kami selalu memberi perhatian dan menjaga keperluan anak-anak supaya mereka rasa mereka disayangi di sini,” kata beliau.
Terdapat juga sukarelawan yang datang menyerikan lagi suasana Hari Raya untuk penghuni, dengan mereka membawa habuan seperti aiskrim, kata Cik Rahmatunnisa.
RKM juga mempunyai tradisi tahunan apabila mereka menghantarkan lauk-pauk Hari Raya dan habuan lain, seperti barang keperluan dapur dan baju Hari Raya, ke rumah anak-anak yang dapat pulang ke rumah.
Ia merupakan hasil pemberian oleh penderma dan rakan-rakan RKM, kongsi beliau.
“Beberapa tahun lalu, pernah kami tanya anak-anak apa yang mereka makan waktu Hari Raya apabila mereka pulang ke rumah. Ada anak yang mengatakan ibunya tidak masak dan dia makan mi segera pada Hari Raya.
“Jadi, kami pun mendapatkan penaja untuk menghantar lauk-pauk Raya ke rumah keluarga yang tidak mampu, dan tradisi itu diteruskan hingga hari ini,” katanya.
Bertugas dalam rumah kebajikan yang memerlukan perhatian sepanjang masa bermakna banyak pengorbanan dan penyesuaian yang perlu dilakukan Cik Rahmatunnisa dan kakitangan RKM.
Bagi mereka, menjaga anak-anak di RKM itu merupakan tanggungjawab dan amanah berat yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin, meskipun jika mereka terpaksa berkorban masa dengan keluarga dan anak-anak sendiri di rumah.
Untuk Cik Rahmatunnisa sendiri, beliau berpegang teguh pada pesanan yang ditinggalkan mentor beliau, Allahyarham Kapten (Bersara) Shaik Adam Abdul Rahman.
“Beliau pesan pada saya dan kita semua (di RKM) bahawa ‘Awak jaga anak orang, Allah akan jaga anak-anak kita’. Saya berpegang teguh pada falsafah itu.
“Kita semua ada tanggungjawab sendiri di rumah, tetapi dengan falsafah itu, ia membakar semangat kami untuk terus berbakti kepada anak-anak di sini dan dengan secara tidak langsung, kepada masyarakat kita, insya-Allah,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg