Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu tunggal tetap semangat sara keluarga sendirian walau berkerusi roda

Turut curah tenaga sebagai sukarelawan walau hidap barah buah dada
Mar 31, 2025 | 5:30 AM
Cik Tuty Ayu Ibrahim (tengah), 49 tahun, menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada empat orang anaknya, (dari kanan, mengikut putaran jam)  Encik Kamarrul Aidil Abdullah, 31 tahun; Mellina Shahira Ardi Yanto, 16 tahun; Melissa Shahirah Ardi Yanto, 17 tahun; dan Encik Ardi Hiryanto Ardi Yanto, 22 tahun; setelah bergelar ibu tunggal sejak 14 tahun lalu.
Cik Tuty Ayu Ibrahim (tengah), 49 tahun, menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada empat orang anaknya, (dari kanan, mengikut putaran jam) Encik Kamarrul Aidil Abdullah, 31 tahun; Mellina Shahira Ardi Yanto, 16 tahun; Melissa Shahirah Ardi Yanto, 17 tahun; dan Encik Ardi Hiryanto Ardi Yanto, 22 tahun; setelah bergelar ibu tunggal sejak 14 tahun lalu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga – itulah hakikat pahit yang dilalui seorang ibu tunggal, Cik Tuty Ayu Ibrahim, 49 tahun.

Selain membesarkan empat anak bersendirian, termasuk seorang anak perempuan berkeperluan khas, beliau turut menjaga ibunya yang mengalami cedera parah di kepala dan terpaksa berkerusi roda, ketika itu, susulan kemalangan pada 2019. 

Seolah-olah tanggungjawab itu belum cukup berat untuk dipikul, Cik Tuty disahkan menghidap penyakit barah buah dada tahap tiga pada 2023.

Kini bergantung pada kerusi roda yang menjadi teman hidupnya, beliau tetap mengutamakan keperluan keluarganya dan masih mampu mencurahkan tenaga untuk masyarakat sebagai sukarelawan di Kelab Masyarakat (CC) Whampoa di bawah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), selagi kudrat mengizinkan. 

Walaupun menghadapi pelbagai ujian, Cik Tuty tetap tabah.

“Saya tak pernah rasa nak give up (berputus asa). Saya tahu ujian ini Allah beri, dan saya perlu teruskan… demi anak-anak, demi mak, dan demi diri saya sendiri,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Berita Harian.

Beliau berpisah dengan suaminya sejak anak bongsunya berumur dua tahun pada 2011.

“Sayalah mak dan saya jugalah bapa kepada anak-anak.

“Banyak cabaran yang saya hadapi,” tambah beliau semasa ditemui di rumah flat satu biliknya.

Cik Tuty tidak mempunyai pendapatan tetap dan berhempas-pulas bertukar pekerjaan – sebagai atendan tempat letak kereta dan kemudian sebagai penyelaras pengeluaran di Singapore Airport Terminal Services (Sats) sehingga 2019 – demi mencari sesuap nasi.

“Sebelum ini, saya bekerja dua pekerjaan untuk menyara anak-anak saya.

“Namun, syarikat yang saya bertugas memberhentikan pekerja dan mungkin memang tak ada rezeki saya,” singkap Cik Tuty, yang kini tidak bekerja lagi akibat keadaan kesihatannya.

Kini, beliau bergantung pada bantuan beberapa pertubuhan sosial yang membantunya menyara anak-anak, yang antaranya masih bersekolah, di samping memastikan keperluan harian mereka terjaga.

Tangannya yang kaku menyukarkan beliau menyalin pakaian sendiri – kadangkala terpaksa dibantu anak-anak.

Namun, beliau masih cuba berdikari seboleh mungkin.

Terletak di Jalan Tenteram, flat sewa satu bilik itulah menjadi saksi ketabahan seorang ibu tunggal yang tidak pernah berhenti berjuang selama 14 tahun.

Ruang tamunya yang kecil dipenuhi dengan pelbagai barangan keperluan harian, ubat-ubatan, laci bertingkat plastik dan tilam semuanya berhimpit di ruang yang terhad. 

Flat kecil itulah menjadi rumah syurga buat beliau dan empat cahaya mata – Encik Kamarrul Aidil Abdullah, 31 tahun; Encik Ardi Hiryanto Ardi Yanto, 22 tahun; Melissa Shahirah Ardi Yanto, 17 tahun; dan Mellina Shahira Ardi Yanto, 16 tahun – serta menantu perempuan dan cucu lelakinya. 

Di samping itu, Melissa mempunyai keupayaan intelek yang rendah dan memerlukan perhatian dan sokongan tambahan, termasuk diiringi ke sekolah setiap hari.

Menyara keluarganya seorang diri seolah-olah tidak mencukupi, beliau turut menjaga ibunya, Cik Jaimah Ibrahim, apabila ibunya terlibat dalam satu nahas pada 2019.

Cik Jaimah, kini 69 tahun, lantas bergantung kepada lima anaknya untuk menjaganya, termasuk Cik Tuty, yang merupakan anak sulung.

“Mak dilanggar kereta dan cedera parah di kepala. Saya dan adik-beradik lain bergilir menjaganya, daripada Mak dimasukkan ICU (Unit Jagaan Rapi) untuk beberapa hari sampailah Mak dibenarkan pulang.

“Masa itu, Mak berkerusi roda… sayalah yang menolaknya ke sana sini, sehinggalah Mak boleh berjalan kembali seperti sedia kala,” terang beliau mengimbas kenangan.

Sebaik sahaja ibunya beransur pulih dan kini boleh berjalan semula, takdir sekali lagi menguji Cik Tuty apabila beliau pula disahkan menghidap barah buah dada tahap tiga pada 2023. 

“Saya mula tahu tentang barah ini apabila ada perubahan pada tubuh saya. Sebenarnya, kita tak rasa apa-apa. Ia bukanlah sakit yang jelas atau terasa bisanya. 

“Bila doktor sahkan barah buah dada tahap tiga, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.

“Soalan pertama saya tanya diri saya: ‘Adakah aku akan mati? Ya Allah, adakah aku akan pergi’?” ujarnya dengan suara bergetar. 

Kini, sudah hampir setahun Cik Tuty menjalani rawatan kemoterapi, mengambil ubat, menjalani pemeriksaan secara berkala di hospital.

Walau kekuatan fizikal menyusut, semangatnya kekal utuh demi anak-anak yang memanggilnya ‘Mama’.

Namun dalam derita, pengorbanannya demi anak-anak tidak akan terhenti selagi masih bernyawa.

“Selagi saya ada, saya akan berusaha sedaya upaya untuk anak-anak saya,” katanya, dengan suara yang bergetar menahan sebak.

Paling menyentuh hati, walau dalam keadaan sebegitu, beliau masih mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

Antara kerja sukarela yang beliau sertai adalah acara pengagihan makanan Ramadan anjuran bersama Rangkaian Penduduk (RN) Whampoa Drive, MAEC Whampoa dan M³@Jalan Besar pada 16 Mac.

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa di CC Whampoa, sering terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan lain.

Berkat dedikasinya menabur bakti bersama MAEC, beliau menerima anugerah penghargaan atas khidmat selama sedekad.

Kesihatannya tidak menghalang beliau untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Malah beliau “bersyukur Allah swt kurniakan kesihatan” kerana beliau sedia menyingsing lengan tatkala terdapat kerja kemasyarakatan yang boleh beliau sertai. 

Walaupun menempuh pelbagai dugaan dan sesekali menitiskan air mata sepanjang temu bual, Cik Tuty tetap memancarkan aura positif dan semangat kental – satu kekuatan dalaman yang jelas dapat dirasai. 

Apabila ditanya dari mana datangnya kekuatan itu, beliau mengakui, “ibu menjadi tonggak kekuatan”. 

Disebabkan Cik Tuty Ayu Ibrahim (kanan) tinggal di blok yang sama dengan ibunya, Cik Jaimah Ibrahim, di Jalan Tenteram, Whampoa, mereka saling menjaga antara satu sama lain.
Disebabkan Cik Tuty Ayu Ibrahim (kanan) tinggal di blok yang sama dengan ibunya, Cik Jaimah Ibrahim, di Jalan Tenteram, Whampoa, mereka saling menjaga antara satu sama lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Daripada rasa tak kuat, saya boleh menjadi lebih kuat sebab ibu selalu pesan, “Kuat, kuat, kuat! Jangan lemahkan diri sendiri”.

Semasa temu bual, beliau memanggil anak-anaknya sambil berkata: “Mama doakan semua impian anak-anak Mama tercapai, dan kamu akan berjaya dan menjadi anak-anak soleh dan solehah… insya-Allah, amin.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg