Tidak lama lagi, orang ramai boleh melaporkan pertukaran alamat secara dalam talian bagi diri sendiri bersama sekumpulan individu lain, sehingga empat orang, yang berpindah ke alamat yang sama, menerusi ciri baru dalam perkhidmatan pertukaran alamat elektronik (eCOA).
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), dalam kenyataannya pada 4 Ogos, berkata ciri baru itu, yang bakal dilancarkan pada 15 Ogos, menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi berbanding modul sebelum ini iaitu, “Saya dan anggota keluarga saya” dan “Lain-lain”.
Di bawah ciri “kumpulan” baru itu, pemohon utama tidak boleh menukar alamat individu lain, tanpa memohon untuk menukar alamat bagi dirinya sendiri pada masa yang sama.
Persetujuan daripada pemohon tambahan turut diperlukan.
Perkhidmatan eCOA membenarkan warga Singapura, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang yang dikeluarkan ICA, termasuk mereka yang tinggal di luar negara, melaporkan pertukaran alamat kediaman kepada ICA secara dalam talian.
Menerusi ciri baru itu, pemohon boleh menambah sehingga empat pemohon tambahan dan menukar alamat mereka dalam satu permohonan.
Setiap pemohon tambahan kemudian akan dimaklumkan melalui SMS untuk memberikan persetujuan dalam tempoh lima hari.
Status persetujuan boleh dipantau pada papan pemuka perkhidmatan eCOA pemohon utama.
Beberapa hari selepas tempoh lima hari itu, nombor PIN fizikal akan dihantar ke alamat baru pemohon utama.
PIN tersebut perlu dimasukkan ke dalam sistem eCOA bagi tujuan pengesahan.
Setelah disahkan, pelekat yang mengandungi alamat baru akan dihantar ke alamat tersebut, dan pemohon dinasihatkan menampalnya pada kad pengenalan (NRIC) mereka mengikut arahan yang disertakan.
Bagi pemohon tambahan yang tidak memberikan persetujuan mereka dalam tempoh lima hari pertama itu, alamat mereka tidak akan dikemas kini dalam pangkalan data ICA dan mereka tidak akan menerima pelekat tersebut.
Ciri baru itu diperkenalkan ekoran penggantungan modul “Saya sendiri”, “Saya dan anggota keluarga saya” dan “Lain-lain” pada Januari 2025, selepas ICA menemui beberapa percubaan tanpa kebenaran untuk menukar alamat kediaman.
Modul “Saya sendiri” telah diaktifkan semula pada 14 Januari dengan penambahan ciri keselamatan yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan sistem pengesahan muka Singpass, semasa log masuk menggunakan akaun Singpass.
Bagi individu yang tidak dapat memohon untuk menukar alamat secara dalam talian melalui perkhidmatan eCOA, mereka boleh menghantar permintaan kepada ICA melalui FormSG, atau mendapatkan bantuan secara fizikal di pusat ServiceSG atau Pusat Perkhidmatan ICA.
FormSG boleh diakses daripada laman web utama perkhidmatan eCOA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg