Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian jadi Komander Perbarisan NDP tercapai

Jun 12, 2025 | 8:37 PM
NDP 2025, LTC Mohamed Firdaus Ghazali
Dalam menyaksikan usaha anggota kontinjen semasa latihan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sejak April, Komander Perbarisan, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Ghazali amat terdorong oleh komitmen tinggi dan hubungan erat yang terjalin antara mereka, yang merentasi pelbagai generasi. - Foto ST

Impian Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Ghazali untuk menjadi Komander Perbarisan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 telah tertanam sejak usianya 15 tahun lagi.

Bapa dua anak lelaki berusia empat dan lapan tahun itu pernah menyertai segmen akhir persembahan semasa NDP 2002 sebagai salah seorang daripada 700 pelajar dari Sekolah Menengah Temasek yang melakukan persembahan tarian di padang Stadium Negara.

Lantaran itu, apabila diminta menggalas amanah sebagai Komander NDP 2025, LTC Firdaus, 38 tahun, daripada Angkatan Bersenjata Singapura, menganggapnya bak pucuk dicita, ulam mendatang.

Pegawai Pemerintah Pusat Latihan Batalion Infantri Bermotor 1 itu akan mengetuai 2,100 peserta dalam 40 kontinjen bagi segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) semasa perbarisan pada 2025, yang juga menandakan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60).

Ketika ditemui di Galeri Nasional Singapura pada 12 Jun, LTC Firdaus menyifatkan pelantikan itu sebagai “satu penghormatan dan tanggungjawab yang besar”.

“Saya rasa amat bangga dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk memimpin barisan terunggul negara dalam perbarisan ini… Ia juga satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini sambil kita menyambut SG60.

“Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang besar dan akan saya hargai sepenuhnya. Justeru, saya komited untuk mempersembahkan sebuah perbarisan yang penuh makna pada 9 Ogos nanti,” kongsi beliau.

Menyentuh kenangan zaman remajanya ketika menyertai NDP, beliau berkata dirinya sempat melihat segmen P&C semasa latihan dari kawasan tempat duduk Stadium Negara.

“Saya mula menghargai perbarisan dan kepentingannya sebagai inti pati dan nadi utama NDP kita.

“Oleh itu, menjadi Komander Perbarisan tahun ini (2025) membawa makna yang amat istimewa bagi saya. Saya benar-benar rasa rendah hati kerana impian seorang kanak-kanak lelaki di Stadium Negara yang lama itu kini menjadi kenyataan dengan saya berpeluang memimpin perbarisan di Padang,” kongsi LTC Firdaus.

Bermula dari April lagi, LTC Firdaus bersama dengan Sarjan Mejar Rejimen (RSM) Perbarisan, Pegawai Waran Master (MWO) Lim Jie Hui telah mengemudi latihan kontinjen daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Home Team, serta kontinjen awam sejak Mei dalam memastikan mereka dapat menampilkan perbarisan terbaik.

“Dari segi persiapan, saya mengikuti garis panduan yang telah disusun oleh RSM Perbarisan yang berstruktur dan selari dengan prinsip semua kontinjen lain.

“Contohnya, kami menjalani latihan ketahanan fizikal dan penyesuaian badan dengan cuaca panas,” jelas beliau.

Di sebalik peranannya di Padang, LTC Firdaus juga menekankan sokongan padu daripada keluarganya sebagai pemangkin utama dalam menjalani latihan intensif menjelang NDP.

Ini termasuk kata-kata dorongan isterinya, Cik Latifah Abdul Aziz, 38 tahun, yang menyiapkan sup herba ayam ginseng untuknya sebelum sesi latihan, dengan anak bongsunya, Muhammad Izz Haqq Mohamed Firdaus, turut meniru pergerakan perbarisan di rumah.

Anak sulungnya, Muhammad Ihsan Mohamed Firdaus, pula membina semula Padang dalam permainan Roblox.

“Justeru, tanda yang bermakna, tidak kira kecil ataupun besar, sangat memberi kesan dan telah membantu saya kekal fokus dan bersemangat sepanjang latihan sehingga ke hari perbarisan pada 9 Ogos nanti,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg