Keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membina asas pembangunan kanak-kanak, dan terdapat tanggungjawab kolektif demi memastikan asas tersebut kekal kukuh, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.
“Keluarga dan masyarakat lebih luas adalah asas pembangunan untuk anak-anak kita sedang mereka membesar dan menjadi matang.
“Adalah tanggungjawab kolektif kita untuk memastikan asas pembangunan ini kekal kukuh dan teguh, untuk membantu generasi seterusnya menjadi versi terbaik diri mereka,” kata beliau.
Cik Indranee berkata demikian semasa berucap di Simposium Mendaki 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 7 Julai.
Sekitar 400 peserta menghadiri simposium itu, yang merupakan sebahagian daripada sambutan Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.
Sebuah asas keluarga yang kukuh boleh membantu memupuk kanak-kanak dan belia untuk mencapai potensi mereka, kata Cik Indranee.
Meskipun pendidikan membuka pintu peluang, Cik Indranee menekankan bahawa pendidikan “lebih daripada sekadar buku teks dan bilik darjah”, dan kanak-kanak belajar nilai-nilai yang membentuk diri mereka daripada ibu bapa mereka.
“Di rumah, anak-anak kita belajar nilai-nilai yang membentuk diri mereka – daya tahan daripada memerhatikan ibu bapa mereka mengatasi cabaran, sikap belas ihsan melalui perbuatan kebaikan, dan keyakinan yang datang daripada sistem sokongan yang kukuh,” kata beliau.
Keluarga juga barisan sokongan utama dalam waktu sukar, dan merupakan asas penting dalam kompak sosial (persetujuan antara pemerintah dengan rakyat) negara, tambah beliau.
Pada masa yang sama, keluarga juga merupakan asas dalam memastikan pembangunan positif kanak-kanak dan belia.
Justeru, Cik Indranee berkata tumpuan berterusan Mendaki dalam memperkasa keluarga melalui usaha pendidikan dan pendekatannya adalah sesuatu yang menggembirakan.
Cik Indranee memberikan contoh program KelasMateMatika (KMM) kelolaan badan bantu diri itu, yang telah memberi manfaat kepada lebih 11,000 ibu bapa dan kanak-kanak sejak 2021.
KMM mengadakan bengkel dan kegiatan untuk keluarga yang mempunyai anak-anak prasekolah berusia antara empat dengan enam tahun, dengan ibu bapa turut melalui sesi yang melengkapi mereka dengan kemahiran untuk mengajar anak-anak konsep celik angka asas.
Berdasarkan penilaian Mendaki ke atas program itu pada 2023, sembilan dalam 10 kanak-kanak yang melalui KMM tidak memerlukan sokongan pembelajaran tambahan dalam matematik apabila mereka masuk darjah satu – naik daripada lapan dalam 10 kanak-kanak pada tahun sebelumnya.
Bahkan, selepas melalui program itu, 95 peratus ibu bapa menyatakan mereka rasa yakin dalam mengajar anak-anak mereka kemahiran celik angka – naik daripada 70 peratus berbanding sebelum mereka menyertai KMM.
“Hasil KMM mengesahkan dua perkara penting: bahawa campur tangan dalam masyarakat menghasilkan keputusan positif, dan langkah menyokong ibu bapa dan keluarga membawa kepada hasil yang baik untuk kanak-kanak.
“Program seperti ini melengkapi sokongan pemerintah kepada keluarga dalam membesarkan dan menyokong anak-anak mereka dari sejak lahir sehingga ke tahun-tahun awal, hingga peringkat belia, sedang mereka berkembang maju di sekolah,” kata Cik Indranee.
Pemerintah turut memastikan setiap anak Singapura mempunyai akses kepada pendidikan bermutu, tidak kira latar belakang mereka, dengan setiap anak rakyat Singapura boleh menerima lebih $200,000 dalam subsidi pendidikan dari prasekolah hingga sekolah menengah.
Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan juga boleh mendapatkan sokongan melalui pelbagai skim bantuan kewangan yang ditawarkan pemerintah, sekolah dan institusi, kata Cik Indranee.
Namun begitu, beliau menekankan bahawa masyarakat lebih luas juga memainkan peranan dalam menyokong pembangunan belia.
Beliau memberi contoh satu tinjauan yang mendapati bahawa meskipun ibu bapa memainkan peranan lebih penting dalam pembangunan kanak-kanak sehingga usia 14 tahun, masyarakat dan contoh peranan dewasa lain memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan mereka dari usia 15 tahun dan ke atas, sedang mereka mula mencari pengesahan dan sokongan daripada orang lain.
Tinjauan itu melibatkan lebih 600 pelajar sekolah menengah daripada Program Tuisyen Mendaki.
“Dapatan tersebut menunjukkan peranan saling melengkapi yang dimainkan keluarga dan masyarakat dalam membesarkan kanak-kanak dan belia kita,” kata Cik Indranee.
Sehubungan itu, Cik Indranee berkata Mendaki telah memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan masyarakat Melayu/Islam, dan mempertingkat usahanya dalam bekerjasama dengan pihak berkepentingan masyarakat, sukarelawan dan karyawan untuk menyokong belia melalui pelbagai program.
Ini seperti inisiatif #amPowered yang membantu belia mengenal pasti kekuatan mereka dan menetapkan matlamat bermakna melalui program pementoran.
“Ini tugas yang amat bermakna, dan saya menggalak semua mempertimbangkan untuk menyumbang masa dan usaha anda kepada program Mendaki bagi membantu mempertingkat generasi kita yang seterusnya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg