Acara membangun rangkaian kenalan dalam kalangan karyawan, #MakingConnections, yang membuka tirai gerakan pembelajaran sepanjang hayat, Raikan Ilmu 2025, anjuran Yayasan Mendaki, mengingatkan konsultan kewangan, Cik Nana Syafiqa Robani, tentang kuasa tampil secara tulus, bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk masyarakat.
Cik Nana Syafiqa, 35 tahun, yang bertugas di AIA Financial Advisors, merupakan antara lebih 300 karyawan yang hadir, malahan menjadi moderator bagi sesi dialog yang mengetengahkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Mendaki, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan DBS, Cik Tan Su Shan.
#MakingConnections berlangsung di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 4 Julai lalu.
Ia merupakan sebahagian gerakan Raikan Ilmu selama sebulan dari 4 Julai hingga 27 Julai.
Sepanjang tempoh ini, pelbagai lapisan masyarakat dihimpunkan menerusi forum, persidangan, sesi bina rangkaian dan simposium.
Kata Cik Nana Syafiqa: “Saya tersentuh dengan perkongsian Cik Tan Su Shan mengenai kepentingan ilmu dan komunikasi jelas, yang mengukuhkan lagi idea bahawa kejayaan itu bukan hanya perihal mengejar pangkat atau jawatan mahupun pengesahan, tetapi ia adalah usaha menghasilkan impak bermakna menerusi apa yang boleh kita lakukan.
“Kisah-kisah yang beliau kongsi mengingatkan saya bahawa setiap cabaran adalah undangan untuk memimpin dengan jelas, berani, dan hati-hati, yang saya harap dapat saya terapkan dalam perjalanan saya sendiri sebagai konsultan kewangan dan pejuang isu kemasyarakatan.”
#MakingConnections bertemakan ‘Karyawan sebagai Pemimpin Industri dan Suri Teladan Masyarakat’.
Karyawan dari pelbagai sektor pertumbuhan berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai masa hadapan di samping mendengar perkongsian pemimpin industri dan tokoh pemikir.
Ia merupakan antara empat acara utama yang berlangsung di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands dari 4 hingga 7 Julai.
Tiga acara utama lain termasuk pelancaran Raikan Ilmu 2025 dan Persidangan Masyarakat Gemilang, sesi jaringan YOUth@M³ untuk pelajar pasca menengah dan ibu bapa mereka serta Simposium Mendaki yang menghimpunkan penyelidik, penggubal dasar dan pengamal lapangan.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Encik Zaqy Mohamad, berkata:
“Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, para karyawan telah menganjurkan lebih 30 kegiatan untuk masyarakat, dan lebih 40 lagi dirancang bagi separahun tahun berikutnya.
“Melalui rangkaian karyawan yang merangkumi 13 sektor pertumbuhan yang sedang berkembang, mereka menyumbang masa, tenaga, kemahiran dan pengalaman sebagai mentor serta menganjurkan sesi ‘perjalanan pembelajaran’ bagi golongan belia, mereka yang mencari kerja dan karyawan untuk meneroka peluang dalam sektor tersebut.”
Aktiviti ini, jelasnya, merangkumi projek bimbingan untuk golongan belia agar mereka mendapat tunjuk ajar daripada pakar industri dalam kalangan masyarakat Melayu, sekali gus memberi dorongan dalam perjalanan pendidikan dan kejayaan mereka; sesi libat urus bersama belia dan karyawan; lawatan pembelajaran ke sektor pertumbuhan; serta sesi perkongsian pengalaman bersama pakar industri.
“Usaha dan penglibatan sedemikian disifatkan sebagai satu isyarat jelas tentang peranan karyawan dalam memimpin dan membentuk masyarakat pada masa akan datang,” tambah Encik Zaqy.
Peratusan masyarakat Melayu dalam peranan Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik (PMET) telah meningkat secara berterusan daripada 23 peratus pada 2000 kepada 40 peratus pada 2020.
Kini, hampir 1,000 karyawan menyertai rangkaian karyawan ini dalam pelbagai sektor pertumbuhan, kongsi beliau lagi.
Dialog yang disertai Encik Zaqy dan Cik Tan pula membincangkan peranan kepimpinan berasaskan nilai dan tujuan dalam memberi impak positif kepada masyarakat.
“Dialog sebegini penting dalam memberi pendedahan kepada anak muda agar mereka dapat menceburi sektor pertumbuhan seperti perbankan atau sektor kewangan dan teknologi,” jelas Encik Zaqy.
Ini lebih-lebih lagi dengan “perkembangan teknologi yang lebih pesat dan bagaimana teknologi telah digunakan dalam sektor-sektor demikian”.
Isu lain yang dibicarakan termasuk cabaran masyarakat minoriti seperti kekurangan suri contoh dan keperluan memecahkan ‘siling kaca’ (hambatan yang tidak kelihatan dan menyekat kemajuan kaum minoriti) dalam pemikiran sendiri, usaha membangkitkan semangat belia berpotensi, sokongan kepada wanita yang kembali bekerja, kepelbagaian dalam kepimpinan, serta kepentingan memiliki minda global agar Singapura terus unggul dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
Turut hadir pada acara itu ialah Menteri Negara (Kesihatan, Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin; dan Anggota GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Usahawan, Encik Hatta Aziz, 39 tahun, pula berkata:
“Saya banyak belajar daripada karyawan di balik perusahaan yang bukan bidang saya. Mendengar kisah peribadi mereka tentang perjalanan yang direntasi mencetus inspirasi dan membuka mata saya kepada dunia yang wujud tanpa saya sedari.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg