Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif baharu gembleng badan Melayu/Islam, masyarakat tangani isu dadah bakal dilancar
Inisiatif baharu gembleng badan Melayu/Islam, masyarakat tangani isu dadah bakal dilancar
Inisiatif baharu gembleng badan Melayu/Islam, masyarakat tangani isu dadah bakal dilancar
Sebuah inisiatif baharu untuk mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran mengenai usaha menangani penyalahgunaan dadah serta menyokong integrasi semula bekas pesalah dalam masyarakat Melayu/Islam akan dilancarkan pada 2027.
Dinamakan Bersatu SG, gerakan baharu itu akan menyaksikan anggota Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) mendekati orang ramai sepanjang tahun bagi membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat.
Mengumumkan inisiatif tersebut pada 17 November, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berharap inisiatif itu akan menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat tampil ke hadapan untuk menyokong belia berisiko, bekas pesalah serta keluarga mereka.
Encik Zhulkarnain berkata demikian ketika berucap di Forum MMORN di Masjid Sultan, sebuah acara rangkaian tahunan anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang menghimpunkan sekitar 200 pemimpin masyarakat dan wakil daripada pelbagai pertubuhan.
Menurut beliau, kadar residivisme (pengulangan jenayah) dua tahun dalam kalangan masyarakat Melayu bagi kohort pembebasan 2023 turun kepada 27 peratus – iaitu 7.5 mata peratusan lebih rendah berbanding 34.5 peratus bagi kohort 2012.
Kadar residivisme lima tahun bagi kohort 2020 turut mencatatkan penurunan sebanyak 6.1 mata peratusan kepada 47.6 peratus, berbanding 53.9 peratus bagi kohort 2012.
Membina daripada angka tersebut, Encik Zhulkarnain berkata Bersatu SG merupakan usaha untuk memperluas mesej peluang kedua serta meningkatkan kesedaran awam mengenai isu dadah dan jenayah dalam masyarakat.
“Tugas yang sedang kita pikul ini memerlukan lebih daripada sekadar MMORN.
“Usaha kita memerlukan tindakan seluruh masyarakat. MHA akan menyokong rakan-rakan kongsi masyarakat kita untuk memacu inisiatif Bersatu SG.
“Namun pada akhirnya, Bersatu SG harus menjadi milik kita bersama dan bukan hanya dipacu oleh MHA atau mana-mana satu pertubuhan sahaja,” katanya.
MHA, dalam kenyataannya pada 17 November berkata Bersatu SG bertujuan mengurangkan stigma, meningkatkan kesedaran serta memperkukuh sokongan awam terhadap usaha MMORN dan Bidang Tumpuan Kedua (FA 2) M Kuasa Tiga (M3).
Ini merangkumi inisiatif dalam menangani penyalahgunaan dadah serta menyokong integrasi semula bekas pesalah dalam masyarakat Melayu/Islam.
Mengulas lanjut, Encik Zhulkarnain menegaskan bahawa rakan kongsi masyarakat perlu beralih daripada sekadar menganjurkan aktiviti kepada mengukur keberkesanan sebenar usaha mereka terhadap kehidupan golongan yang dibantu.
“Adalah satu rahmat dan keistimewaan untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain.
“Namun, pada masa yang sama, ia juga merupakan satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan ke atas kita.
“Kita mesti lebih jelas tentang hasil yang ingin dicapai. Penting untuk kita tahu sama ada usaha kita benar-benar membawa kesan ketara terhadap mereka yang berada di bawah jagaan kita dan sumber kita digunakan dengan sebaiknya,” ujar beliau, sambil menyentuh mengenai peranan MMORN.
MMORN ditubuhkan pada November 2021 oleh mantan Anggota Parlimen (AP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Ia bertujuan mengeratkan kerjasama antara rakan kongsi MMO – termasuk badan bukan MMO dan rakan masyarakat lain – bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta kesalahan berulang dalam masyarakat.
Antara program yang dianjurkan sepanjang tahun termasuk lawatan sambil belajar, agihan Korban, serta forum.
Ditemui Berita Harian (BH) di forum tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata inisiatif Bersatu SG menyediakan pendekatan yang lebih berstruktur dan teratur bagi masyarakat menangani isu penyalahgunaan dadah secara menyeluruh.
Menurutnya, jika sebelum ini pelbagai MMO menjalankan usaha secara berasingan mengikut tumpuan masing-masing, rangka kerja baharu itu membolehkan semua rakan kongsi menggabungkan kekuatan dan berkongsi maklumat dengan lebih lancar.
“Dengan Bersatu SG, kita dapat berganding bahu, mencipta huraian bersama dan mengambil pendekatan yang lebih disasarkan serta holistik untuk membantu bukan sahaja penghuni (Rumah Peralihan Pertapis), malah keluarga mereka dan masyarakat yang turut terkesan,” katanya.
Rumah Peralihan Pertapis di Geylang itu menempatkan penghuni lelaki dan menyediakan perkhidmatan rawatan serta pemulihan bagi penyalah guna bahan terlarang, untuk membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat sebagai anggota yang aktif menyumbang.
Mengalu-alukan kerjasama antara MMO dan agensi nasional melalui rangkaian itu, Encik Firdaus berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman luas Pertapis terutama sekali dalam mengendalikan rumah peralihan tersebut.
Menambah, Encik Firdaus berkata peranan rumah peralihan kini lebih daripada sekadar menempatkan penghuni. Sebaliknya, ia menjadi pusat penghubung yang menyatukan keluarga, majikan, sekolah, serta pelbagai badan bukan mencari keuntungan.
“Kami tidak boleh mendakwa diri kami pakar dalam semua perkara.
“Lantas, kami amat mengalu-alukan sokongan daripada semua rakan kongsi dalam ekosistem ini untuk bekerjasama dengan Pertapis demi memperkukuh sokongan buat penghuni dan keluarga mereka,” tambahnya.
Selain itu, mengulas mengenai penurunan kadar residivisme, Encik Zhulkarnain berkata “masyarakat Melayu/Islam telah mencatatkan kemajuan dalam mencegah kesalahan berulang.”
“Saya percaya kita mampu menurunkan lagi kadar ini. Ini semua hasil daripada usaha serta kepercayaan yang ditunjukkan oleh anda semua, para rakan kongsi masyarakat kita,” ujar beliau.