Daya usaha nasional baru, Kesihatan Kerjaya SG, telah dilancarkan pada 10 Julai untuk menyokong pekerja mengakses gabungan latihan dan pembelajaran semasa bekerja supaya mereka boleh mengambil langkah kerjaya selaras dengan aspirasi masing-masing.
Sebuah laman web sehenti baru, juga dikenali sebagai Kesihatan Kerjaya SG, turut diumumkan.
Ia menawarkan kepada pekerja dan majikan gambaran keseluruhan tentang langkah sokongan tersedia yang boleh membantu mereka membuat perancangan kerjaya dan tenaga kerja.
Daya usaha itu diumumkan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semasa Sidang Puncak Kesihatan Kerjaya 2025 yang julung kalinya diadakan, lapor The Straits Times.
Lebih 500 pemimpin perniagaan dan pengamal sumber manusia menghadiri majlis tersebut.
Sidang puncak dua hari itu, anjuran bersama Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Persekutuan Perniagaan Singapura, bertujuan untuk membolehkan majikan dan pakar bertukar idea tentang usaha membangunkan tenaga kerja yang kekal kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan.
Dr Tan berkata majikan memainkan peranan penting dalam membina tenaga kerja yang lebih sihat, kerana mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mengenal pasti kemahiran yang memerlukan pelaburan melalui latihan pekerja.
Beliau juga menyeru majikan agar beralih kepada pendekatan yang mengutamakan kemahiran dalam mengiktiraf dan memanfaatkan bakat – bukan sekadar fokus kepada kelayakan formal semata-mata.
“Ini akan membolehkan perniagaan membuka kunci kumpulan bakat yang lebih luas untuk terus mendahului persaingan,” ujar Dr Tan
Kajian Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendapati majikan yang mengutamakan kemahiran menyaksikan pengambilan pekerja yang lebih pantas serta lebih pelbagai dan prestasi pekerja yang lebih baik, tambahnya.
Beliau juga berkata majikan yang ingin melabur dalam kesihatan kerjaya pekerja tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, boleh mengikuti tiga langkah berikut:
Pertama, menilai jurang kemahiran atau pekerjaan yang berisiko.
Seterusnya, lakar rancangan untuk membantu meningkatkan kemahiran pekerja, dan kemudian melaksanakan rancangan itu melalui laluan kemajuan berstruktur dan pendekatan mengutamakan kemahiran, tambahnya.
Dr Tan berkata MOM akan memperkenalkan lebih banyak sumber pada hujung 2025 untuk membantu majikan menilai kesediaan kemahiran tenaga kerja mereka, mengenal pasti latihan yang sesuai, serta peluang untuk membentuk semula kerja bagi mengoptimumkan kemahiran pekerja mereka.
Sementara itu, pekerja akan dapat berhubung dengan jurulatih kerjaya di bawah program bimbingan kerjaya WSG Polaris untuk merangka perjalanan kerjaya mereka, serta mengetahui lebih lanjut tentang skim yang boleh membantu mereka membaik pulih set kemahiran mereka.
“Akhirnya, visi saya adalah supaya kesihatan kerjaya menjadi norma baru – ia harus menjadi pusat kepada keseluruhan perjalanan kerjaya kita, kehidupan dan perniagaan kita sebagaimana kesihatan fizikal,” kata beliau
Dr Tan juga berkongsi maklumat terkini mengenai perkongsian MOM dan SkillsFuture Singapura dengan portal pekerjaan dalam talian seperti JobStreet dan FastJobs untuk menyampaikan padanan pekerjaan yang lebih baik dan pantas melalui kelayakan yang disahkan di bawah skim pasport kerjaya dan kemahiran.
Sejak April, 23,000 orang telah berkongsi ‘pasport’ mereka dengan portal pekerjaan dalam talian yang bekerjasama dengan bakal majikan.
Laman web Kesihatan Kerjaya SG baru boleh didapati di www.careerhealth.sg
“
“...Visi saya adalah supaya kesihatan kerjaya menjadi norma baru – ia harus menjadi pusat kepada keseluruhan perjalanan kerjaya kita, kehidupan dan perniagaan kita sebagaimana kesihatan fizikal.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg